JOHOR BAHRU – Projek pembinaan Kem Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM118.7 juta merangkumi empat fasa pembangunan bakal didirikan di Jalan Datin Halimah dan dijangka siap pada tahun 2018, nanti.
Pada majlis berkenaan, Sultan Johor, Yang Amat Mulia Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanahnya di tapak projek Kem Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Jalan Datin Halimah, di sini, semalam.
Turut berangkat mencemar duli menyaksikan majlis tersebut, Tunku Mahkota Johor, Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, projek pembangunan Kem Timbalan setia Negeri Johor ini melibatkan tanah seluas 47.2062 ekar yang telah dirizabkan Kerajaan Negeri dan tanah tambahan seluas 4.0 ekar di sebelah utara dengan jumlah keseluruhan tapak 51.2063 ekar.
Menurutnya, reka bentuk pembangunan bagi kem ini pula adalah berkonsepkan senibina vernakular iaitu senibina Melayu tempatan dengan ciri-ciri iklim tropika dan konsep ini sangat sesuai dengan iklim dan cuaca di negara kita.
“Fasa pertama bernilai RM68 juta bermula tahun ini dan dijangka siap pada akhir tahun 2014 dan selepas itu fasa kedua yang dijangka mengambil masa selama dua tahun, fasa ketiga dijangka mengambil masa setahun dan fasa terakhir mengambil masa selama tiga tahun. Keseluruhan projek dijangka siap pada tahun 2018 nanti.
“Pembangunan keseluruhan kem ini melibatkan pembinaan bangunan ibu pejabat, surau, dewan makan, bangunan latihan menembak, stor senjata dan peluru, bangunan balai pegawai, dewan serbaguna, mess pegawai dan menara pemerhati,” katanya semasa memberi ucapan semasa Majlis Perasmian Pecah Tanahnya di tapak projek Kem Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Jalan Datin Halimah, di sini, semalam.
Abdul Ghani berkata, kem baru ini turut dilengkapi dengan lebih banyak kemudahan dan infrastruktur sekaligus diharap dapat membantu para anggota untuk lebih fokus terhadap tugas dan tanggungjawab mereka kepada Raja dan negeri Johor khususnya.
“Kerja-kerja tanah untuk projek ini dijangka bermula dengan giatnya pada awal Disember tahun ini dan diikuti pembangunan bagi fasa satu yang merangkumi pembangunan kawasan perumahan untuk anggota Askar Timbalan Setia sedia ada serta lain-lain keperluan seperti pondok pos pengawal, padang bola, padang kawad dan latihan merempuh halangan serta pembangunan lain akan dilaksanakan pada fasa seterusnya.
“Kini, tapak baru bagi kem Askar Timbalan Setia Negeri Johor terletak di Jalan Datin Halimah dan perpindahan ke tapak baru ini adalah menampung pertambahan anggota selain memberi keselesaan kepada para anggota.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri berbesar hati kerana Johor Corporation telah diberi kepercayaan untuk mengetuai pengurusan projek pembangunan ini yang dahulunya tapak asalnya terletak di Jalan Trus berhampiran Perhentian bas Johor Bahru.
“Kem ini dipindahkan ke kawasan penempatan sementara yang terletak di Taman Dahlia dengan kos sebanyak RM10 juta berikutan memberi laluan kepada pembinaan Persada Johor,” katanya