Social Icons

04-01-1961 PERTABALAN DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG KETIGA



Tarikh Peristiwa: 04-01-1961


Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong III
Al-Marhum Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail
(21 September 1960 – 20 September 1965)

D.K., S.P.M.P., D.K.M., D.M.N., S.M.N., D.K. (Brunei), D.K. (Selangor), S.P.D.K. (Sabah), D.K. (Kelantan), D.P. (Sarawak), D.K. (Kedah), D.K. (Pahang), D.K. (Johor), D.K. (Negeri Sembilan), D.P.S.S. (Sarawak), D.K. (Perak), D.K. (Terengganu), D.K.M.B. (Brunei), Knight Commander of St. Michael & St. George (K.C.M.G.), Raja of the Order of Sikatuna, Philippines (Noblest Award of Chivalry), The Great Cross od the Royal Order of Cambodia, The Most Auspicious Order of the Royal Friendship of Thailand, Collar of the Supreme Order of the Chrysanthemum (Japan), Cordone of Hussein Ben Ali (Jordan), Collar of the Nile (United Arab Republic).

RAJA PERLIS

dan



Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong III
Tengku Budriah binti Al-Marhum Tengku Ismail
D.K., S.S.P.J., D.M.N., S.M.N., S.P.M.K.

RAJA PEREMPUAN PERLIS
Pada hari ini 4 Januari dalam tahun 1961, DYMM  Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong Ketiga bagi Persekutuan Tanah Melayu. Upacara kebesaran ini yang dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu dari Persekutuan Tanah Melayu serta Gabenor-gabenor Pulau Pinang dan Melaka, berlangsung di dalam penuh  istiadat lama dan baru, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.  

Tepat pada jam 10.55 pagi nafiri ditiup menandakan keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong hendak masuk ke Balai Rong Seri. Nobat pun dipalu lagu "Raja Berangkat" sebaik-baik saja kedua-dua Baginda masuk ke Balai Rong Seri dengan diiringi di sebelah hadapan oleh Dato' Paduka Maharaja Lela dan panglima-panglima yang membawa cogan aluan dan cogan ugama dan di sebelah belakang oleh juruiring-juruiring baginda dan panglima-panglima yang membawa alatan-alatan kebesaran diraja, iaitu pedang, keris, cokmar, sudang dan tombak berambu. Setelah Baginda berdua bersemayam di atas singgahsana, Dato' Paduka Maharalela pun meninggalkan Balai Rong Seri dan masuk semula dengan diiringi oleh Sohibul Fadilah Tuan Mufti dan panglima-panglima yang membawa sebuah kitab suci AI-Quran, Keris Panjang Diraja, Surat Perisytiharan dan Surat Sumpah.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra, selaku Perdana Menteri kemudian membacakan Surat Perisytiharan bagi pertabalan Seri Paduka Baginda. Setelah sudah, Dato' Paduka Seri Maharajalela pula menyembahkan Keris Panjang Diraja kepada Seri Paduka Baginda, lalu dikucup baginda dan menyarungkannya kembali. Baginda kemudian berangkat turun ke tingkat yang kelima, menerima Surat Sumpah lalu membacanya. Setelah sudah, nobat dipalu lagu "Raja Bertabal" dan diiringi oleh tembakan meriam duapuluh satu das tanda memberi hormat. DYMM Raja yang mewakili Majlis Raja-Raja kemudiannya membacakan ucapan tahniah kepada Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diikuti pula oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang menyampaikan tahniah daripada kerajaan dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Kedua-dua ucapan tahniah itu kemudiannya diserahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setelah itu baginda membacakan Ucapan Diraja. Setelah sudah, nobat dipalu lagu "Genderang Perang" dan diiringi kemudiannya dengan tiupan nafiri menandakan Tuan Mufti akan membaca doa selamat. Setelah doa dibacakan, nafiri ditiup sekali lagi dan Baginda Yang di-Pertuan Agong beserta Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan Singgahsana dengan diiringi paluan nobat lagu "Raja Berangkat". Upacara beristiadat pun selesai.

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Jamalullail adalah Raja Negeri Perlis yang kelima. Baginda ialah Putera kepada Almarhum Tuan Syed Hassan Jamalullail dengan isterinya Almarhumah Puan Wan Teh binti Endut. Diputerakan pada 25 November 1920, baginda ialah susunan yang ketujuh daripada Almarhum Tuan Syed Harun Jamalullail Ibni Almarhum Tuan Syed Ahmad, yang berkediaman di Alor Star, Kedah dan kemudiannya menjadi Penghulu di Arau, Perlis.

Baginda menerima pelajaran dari sekolah Melayu di Arau dan kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris, iaitu di Penang Free School. Pada 4 April 1938, Baginda dilantik menjadi Bakal Raja Perlis menggantikan ayahanda baginda.  Dalam tahun 1939 Baginda berangkat balik dari Pulau Pinang ke Perlis dan menerima latihan sebagai Bakal Raja. Mula-mula Baginda menerima latihan selama 4 bulan di Mahkamah Rendah Kangar dalam tahun 1940. Kemudian Baginda dihantar berlatih undang-undang tempatan di Pejabat Tanah, Kuala Lumpur selama setahun; setelah itu ditempatkan pula di Mahkamah Pengadil, Kuala Lumpur sehingga pecah perang Dunia Kedua pada akhir tahun 1941. Pada tahun itu juga Baginda telah berkahwin dengan Tengku Budriah binti AI-Marhum Tengku Ismail, cucucunda bekas Raja Negeri Petani yang berkeluarga rapat dengan DYMM Sultan Kelantan.

Pada 4 Disember 1945, Baginda dilantik menjadi Raja Negeri Perlis dan ditabalkan pada 12 Mac 1949. Pada 21 September 1960, Baginda telah dipilih oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang Ketiga dan ditabalkan dalam satu istiadat yang gilang-gemilang pada hari ini dalam tahun 1961. Apabila lahir Malaysia pada 16 September 1963, Baginda menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang pertama.  

No comments:

Post a Comment