Almarhum Sultan Iskandar ketika menjadi Tunku Mahkota Johor |
Pada pertengahan tahun 60an, ketika zaman kanak-kanak bolasepak
adalah menjadi permainan kegilaan saya dan rakan-rakan.
Keluarga kami tinggal di sebuah Kampung Melayu berdekatan Jalan
Dato’ Dalam, Johor Bahru, di mana saya mempunyai ramai kawan Melayu, Cina dan
India yang selalu bermain bersama-sama di padang permainan di Bukit Coombe bersebelahan
dengan ‘The Crazy Junction’, seperti yang kita ketahui kawasan tersebut terdapat
1 bulatan yang menghubungkan 5 jalan iaitu Jalan Gereja , Jalan Abdul Rahman
Andak, Jalan Gertak Merah, Jalan Md. Noor dan Jalan Abdullah Ibrahim.
Kami mempunyai sebuah pasukan bola sepak, yang dinamakan
Masindo Blue Star. Masindo mewakili semua kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
Beberapa tahun kemudian, Almarhum Sultan Iskandar yang
ketika itu sebagai Tunku Mahkota Johor telah membeli salah satu daripada 3
banglo di Bukit Coombe. (Baginda turut membeli 2 biji banglo selebihnya di
tahun-tahun kemudiannya)
Almarhum Sultan Iskandar yang kami panggil sebagai ‘Uncle’ seringkali
datang ke padang permainan tersebut membawa anaknya berusia 5 tahun iaitu Tunku
Ibrahim Ismail (kini Sultan Ibrahim) untuk melihat kami bermain bola.
Baginda melayan kami dengan baik dan sering membelanja kami aiskrim
apabila terlihat penjual aiskrim melalui kawasan tersebut . Baginda juga turut membelikan
kami bola serta ‘Ankle Guard’ (kerana kami tidak menggunakan but ketika bermain
bola).
Tunku Ibrahim juga
seringkali bermain bersama-sama kami. Kami juga sama-sama menangkap
labah-labah dan kadang-kadang ‘curi’ rambutan dan buah mentega di pokok berhampiran
padang tersebut.
Di padang tersebut terdapat satu lubang yang besar, keadaannya
tidak rata kerana terdapat dua buah bukit (busut), satu kecil dan satu lagi besar dan terdapat beberapa
pokok ditengah padang permainan tersebut.
Satu hari, ‘Uncle’ berjanji kepada kami, jika kami memotong
bukit kecil itu, baginda akan menggunakan mesin dan memotong bukit yang besar
itu dan pokok-pokok, serta meratakan padang sekali.
Jadi aktiviti permainan di waktu petang terhenti selama
seminggu lebih untuk memberi laluan kepada kerja gotong-royong. Kami membawa
cangkul dan mencangkul bukit yang kecil dan memasukkannya ke dalam bakul rumi, lalu
kami lemparkan sisa tanah bukit tersebut ke dalam lubang yang besar tadi untuk
menimbuskannya. Kemudian seperti yang dijanjikan, ‘Uncle’ meratakan padang permainan
kami serta memotong pokok yang menghalang ketika kami bermain bola.
Selepas selesai semuanya, kami mempunyai masa yang menyeronokkan
untuk bermain bola sepak, sorok-sorok, polis sentri dan juga tidak ketinggalan 'rounders' di sana.
Pesanan Buku Sejarah DiRaja Johor Whatsapp 019-799-8249 |
Selalunya jika ada masa terluang, baginda sering menjemput
kami ke rumahnya dan menjamu kami makan kadang-kadang daging rusa. Pada masa
itu, hanya kami yang dibenarkan datang ke rumah tersebut. Ada diantara
kami ‘terpaksa’ (kerana kami kesemuanya lelaki) bermain pondok dan masak-masak dengan
anak-anak perempuannya iaitu Tunku Kamariah (7 tahun), Tunku Zabedah (6) dan
Tunku Azizah (3).
Dalam pondok kecil tersebut, mereka bermain masak olok-olok
(main mak-mak) dan kami terpaksa berpura-pura makan. ‘Uncle’ amat pemurah dan
diberikan kami $5.00 setiap seorang sebelum pulang. Nilai wang tersebut cukup
besar bagi kami pada masa itu.
Untuk Keluarga Diraja Johor, terima kasih banyak-banyak untuk
kenangan ini.
Kepada Almarhum Sultan Iskandar, ‘Uncle’ kami… Al-Fatihah… Semoga
Allah swt mencucuri rahmat keatas roh baginda. Terima Kasih kerana melayan saya
dan rakan-rakan dengan baik pada zaman kanak-kanak dahulu, kenangan itu sangat
indah. Kami tidak akan lupa kenangan manis ini sampai bila-bila.