Social Icons

31-01-1862 - INCHI WAN ABU BAKAR MEMEGANG JAWATAN TEMENGGONG



Hari ini 31 Januari dalam tahun 1862, Inchi Wan Abu Bakar (Sultan Abu Bakar) memegang jawatan Temenggong berikutan kemangkatan ayahandanya Dato' Temenggong Sri Maharaja Daeng Ibrahim Temenggong Sri Maharaja Abdul Rahman. Baginda memegang jawatan Temenggong selama 6 tahun dari tahun 1862 hingga 1868 sebelum menyandang gelaran Maharaja dan Sultan.


Sultan Abu Bakar
Jawatan
Tahun
Tempoh
Temenggung
1862 – 1868
6 years
Maharaja
1868 – 1885
17 years
Sultan
1885 – 1895
10 years

Portal eAduan Kesultanan Johor


Selamat datang ke Portal eAduan Kesultanan Johor (eADUAN) yang dibangunkan oleh Laman Kesultanan Johor. Portal ini berfungsi sebagai salah satu medium untuk rakyat memberi maklumbalas dalam bentuk aduan, cadangan dan penghargaan berkenaan 10 daerah di negeri Johor tanpa ada perselisihan faham atau perbincangan berkenaan politik.


DAERAH
01. Daerah Johor Bahru

02. Daerah Kulaijaya

03. Daerah Pontian

04. Daerah Kota Tinggi

05. Daerah Kluang

06. Daerah Segamat

07. Daerah Muar

08. Daerah Batu Pahat

09. Daerah Mersing

10. Daerah Ledang


Aduan anda mestilah didahului dengan nama daerah. Contoh, ' Daerah_Aduan Anda'

Portal masih dalam peringkat kajian, pihak admin Kesultanan Johor akan perbaiki dari semasa ke semasa. Semoga kewujudan portal ini mendapat manfaat kepada kita semua. Terima Kasih.



1. Untuk membaca aduan-aduan dari penghantar sila klik ikon panah kebawah, anda boleh klik 3 item yang disediakan iaitu:
  • Social Ranking               - Untuk aduan yang paling ramai setuju.
  • Chronological                - Membaca aduan yang lama.
  • Reverse Chronological   - Membaca aduan terbaru.


2. Untuk membuat aduan sila klik butang 'Add a comment'




SULTAN JOHOR BIDAS PENGECUT YANG LARI KELUAR NEGARA DAN MEMBURUK-BURUKKAN KERAJAAN DI LAMAN SOSIAL

DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar semasamerasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijayadi sini hari ini. - Gambar Polis Johor Fan Page

KULAIJAYA 29 Jan. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyifatkan tindakan sesetengah pihak mempertikaikan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan membuat tuduhan bahawa pasukan keselamatan itu sudah tidak boleh dipercayai sebagai tidak masuk akal.

"Tindakan itu hanya akan dilakukan penjenayah yang bersalah sahaja dengan memutar belit fakta selain menyalahkan undang-undang bagi mengelak diri mereka daripada dihukum," titah baginda semasa mencemar duli merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya, di sini hari ini.

Baginda bertitah, tuduhan seperti itu amat melampau dan menyifatkan tindakan itu hanya akan dilakukan penjenayah yang bersalah sahaja dengan memutar belit fakta selain menyalahkan undang-undang bagi mengelak diri daripada dihukum.

"Lebih teruk lagi, ada penjenayah yang lari meninggalkan negara kerana takut untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang dan kemudian mereka mula membuat tohmahan yang memburukkan negara sendiri.

"Manusia berlidah biawak seperti ini adalah pengkhianat kepada negara. Jika mereka berkata benar, buktikanlah kebenarannya dan jangan terus menjadi pengecut, ibarat melontar batu sembunyi tangan," titah baginda lagi.

Turut berangkat Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim serta Tunku Aminah Sultan Ibrahim.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar; Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Sultan Ibrahim bertitah, Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat dan mempunyai undang-undang yang digubal begitu rapi selain semua tindakan yang diambil pihak berkuasa pastinya mengikut peruntukan yang telah digariskan.

Titah baginda, semua anggota polis sudah menjalani latihan dan dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi untuk menguatkuasakan segala undang-undang.

"Janganlah ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan tindakan mereka dan menuduh mereka berat sebelah. Tanggungjawab menjaga ketenteraman awam dengan menguatkuasakan undang-undang dan membanteras jenayah mestilah dipikul oleh pasukan polis dengan cekap dan bersungguh-sungguh.

"Setiap anggota mestilah berdisiplin dan bertindak dengan betul serta menjalankan tugas dengan tegas dan berani tanpa bertolak ansur," titah Sultan Ibrahim.

29-01-2010 - TUNKU ISMAIL DIMASYURKAN SEBAGAI TUNKU MAHKOTA JOHOR

Ikrar setia...Tunku Ismail yang dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor berikrar akan sentiasa melaksanakan
segala arahan serta bersikap jujur dan ikhlas kepada rakyat. Gambar oleh Hairul Abu Bakar.

Hari ini 29 Januari dalam tahun 2010 Anakanda sulung Sultan Johor, Tunku Ismail, dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor semalam di Dewan Singgahsana, Istana Besar, di sini.

Istiadat pemashyuran itu turut disaksikan oleh bonda Tunku Ismail, Raja Zarith Sofiah, dan kerabat diraja.

Istiadat permasyhuran itu diumumkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab, mengikut Undang-Undang Tubuh negeri Johor, memilih dan melantik seorang waris takhta bergelar Tunku Mahkota Johor.

"Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1 fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor, mengikut nasihat Jumaah Diraja, dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," titah baginda.

Sejurus Sultan Ibrahim selesai bertitah, Tunku Ismail mengangkat ikrar setia dan berjanji akan sentiasa melaksanakan segala arahan serta bersikap jujur dan ikhlas kepada rakyat.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Dr Prof Jamilah Ariffin; Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot; barisan Exco, Ahli Dewan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Tunku Ismail dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Ibrahim, yang dimasyurkan sebagai Sultan Sabtu lalu berikutan kemangkatan nendanya, Almarhum Sultan Iskandar, pada malam Jumaat lalu.

Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan dilantik sebagai Raja Muda Johor pada 8 April 2006.

Tunku Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Utama, Johor Bahru dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru, sebelum meneruskan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Antarabangsa Australian, Singapura, dan kemudian melanjutkan pengajian di Sekolah Hale, Perth, Australia antara 1999 dan 2002.

Baginda yang mewarisi minat nenda dan ayahandanya, turut mendapat latihan ketenteraan di Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, sebagai Pegawai Kadet di sana pada 2003.
Setelah tamat pengajian di IMA, Tunku Ismail dikurniakan pangkat leftenan dan diserapkan ke dalam Angkatan Tentera India, berkhidmat sebagai pegawai dalam Rejimen 61 Cavalry, Jaipur, India.

Tunku Mahkota mencatatkan sejarah apabila baginda menjadi rakyat asing pertama mengetuai pasukan tentera India pada Hari Kebangsaan Republik India pada 26 Jan 2007 serta dipilih oleh Presiden India sendiri untuk mengetuai unit regimen terdiri 400 anggota itu.

Tunku Mahkota Johor tidak pernah minta tukar venue Piala FA


DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim

TIADA permohonan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk menukar  venue perlawanan dari Stadium Darul Aman ke Stadium Larkin bagi saingan kedua Piala FA bulan depan.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim berkata, dakwaan itu tidak benar dan tidak mengetahui dari mana isu tersebut ditimbulkan.

“Kita tidak tahu dari mana cerita ini datang dan seterusnya disebarkan, malah kami tidak mengetahui niat sebenar cerita ini dibuat.

“Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak pernah menyatakan untuk menukar venue Piala FA, malah kami ikut  seperti yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya semalam.

Katanya, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah untuk beraksi di Darul Aman atau di mana sahaja kerana ia perkara biasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memohon kepada FAM untuk menukar venue dari Stadium Darul Aman ke Stadium Larkin bagi saingan kedua Piala FA menentang Kedah.


Sultan Johor rasmikan Masjid Desa Temu Jodoh


LABIS 26 Jan. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan masjid baharu bernilai RM2.5 juta di Desa Temu Jodoh dekat sini semalam.

Sultan Johor berangkat ke Masjid Desa Temu Jodoh dengan memandu 

Rolls-Royce Rolls-Royce Phantom Drophead Coupé 

- Gambar Mohd Haffiz Mahadi




Baginda turut menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di masjid berkenaan dan beramah mesra dengan rakyat jelata selepas itu.


Pengerusi Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan, Abdul Latif Mohd. Nor melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih atas kesudian Sultan Ibrahim mencemar duli berangkat merasmikan masjid tersebut.


"Masjid baharu yang siap dibina penghujung tahun lalu itu memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk setempat menjalankan ibadah serta aktiviti lain kerana masjid lama tidak lagi mampu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah.

Turut berangkat ke Majlis perasmian ialah Tunku Mahkota Johor 

- Gambar Mohd Haffiz Mahadi

"Diharapkan penduduk dapat mengimarahkan masjid yang serba lengkap dan tersergam indah ini dengan menjalankan aktiviti yang boleh membangunkan ummah sebaik mungkin," katanya.


Menurutnya, masjid yang dibina berhampiran jalan utama di atas tanah seluas kira-kira setengah hektar itu juga memberi kemudahan kepada mereka yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat dan sebaliknya untuk singgah menunaikan solat.


Sementara itu bekas bilal Masjid Desa Temu Jodoh, Omar Sarip, 61, menyifatkan pembinaan masjid baharu itu tepat pada masanya kerana masjid lama yang dibina secara bergotong-royong oleh penduduk, kini tidak lagi mampu menampung jemaah yang semakin bertambah.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat penjual tekstil terkenal, Jakel yang menyumbang sebahagian besar kos pembinaan masjid tersebut dan orang ramai serta penduduk setempat yang sudi menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pembinaannya.


Bagi Rahmat Kisot, 57, masjid baharu tersebut mampu menyemarakkan lagi syiar Islam dalam kalangan penduduk setempat terutamanya bagi menganjurkan aktiviti keagamaan seperti kelas al-Quran bagi golongan dewasa.



"Soal minta tukar venue bukan urusan saya"


JURULATIH pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Fandi Ahmad enggan mengulas lanjut dakwaan yang mengatakan skuad Harimau Selatan akan memohon kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menukar venue dari Stdium Darul Aman ke Stadium Larkin bagi saingan kedua PialaFA 2013, bulan depan.


"Saya tidak tahu mengenai hal ini. Jadi, saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Lagipun, itu semua urusan pihak pengurusan, bukan saya," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memohon kepada FAM untuk menukar venue dari Stdium Darul Aman ke Stadium Larkin bagi saingan kedua Piala FA menentang Kedah, bulan depan.




Kembara Mahkota Johor peluang bertemu rakyat
















Saya ucapkan terima kasih pada rakyat saya. Saya harap-harap mereka ikhlas dan saya ikhlas. Selagi saya ada kederat, saya akan berjalan ke Kembara Mahkota Johor,"

"Dan saya tengok juga mereka bila saya lalu, bersalam semuanya senyum. Bukan senyum saje, baju pun macam... takut baju raya yang akan datang dah pakai dulu tak. Semua cukup, memang cukup molek sume,"

DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar”

Bolasepak Johor kembali gemilang

Terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berusaha membuatkan Stadium Larkin kembali sesak. Dulu cuma 30 orang, kini lebih 30,000 penyokong hadir memberi sokongan.



Pada tahun 1964, sebidang tanah di Jalan Dato' Jaafar, Larkin dikenalpasti untuk didirikan sebuah stadium negeri. Stadium tersebut yang bernilai $555,000 dinamakan sempena nama Menteri Besar Johor iaitu Tan Sri Hassan Yunos yang memegang jawatan tersebut pada tahun 1959 hingga 1967.
Stadium Larkin pada tahun 1970
Hasilnya pada hari ini, Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos ataupun Stadium Larkin kelihatan seperti yang baginda impikan.

Rusuhan di Stadium Larkin pada tahun 1973

Pergaduhan penyokong Johor dan Kelantan di Stadium Larkin pada tahun 1987

Stadium Larkin sekali lagi penuh sesak dengan kehadiran peminat dengan lautan biru dan merah. Stadium berusia 49 tahun ini kelihatan sempurna dari setiap sudut.


Lahir di Muar pada tahun 1907, beliau adalah Menteri Besar yang pertama dipilih melalui kempen pilihanraya. Beliau juga merupakan salah seorang daripada anggota ‘Orang Tujuh’ yang menandatangani memorandum bantahan kepada Sultan Ibrahim yang bersetuju dengan pembentukan Malayan Union, persekutuan negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, Pulau Pinang dan Melaka yang dibentuk untuk menggantikan British Malaya.

Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos juga dikenali sebagai Stadium Larkin.

Stadium tersebut pada mulanya dibina dengan kapasiti 10,000 tempat duduk apabila ia mula digunakan pada tahun 1968. Sepanjang 1966 hingga 1973 beberapa kerja menaik taraf telah dilakukan. (Tahun perasmian tidak dapat dipastikan kerana tiada dokumen sokongan atau bahan bergambar yang dapat membuktikan tahun bila stadium ini dirasmikan)

Diuruskan dan dimiliki oleh Johor Corporation (JCorp), stadium ini menjalani beberapa kerja-kerja pengubahsuaian dan juga naik taraf sejak tahun 1991.

Sebanyak RM50 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf stadium ini pada tahun 1991, ia telah meningkat dan kini mencecah kapasiti sebanyak 30,000.

Stadium ini pernah menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan sama ada di peringkat tempatan, negara mahupun antarabangsa, antaranya ialah Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 1968, SUKMA 1992 dan Piala Dunia Belia FIFA 1997. Pada 25 Feb 1973, stadium ini buat pertama kalinya digunakan  untuk perlawanan bolasepak Piala Malaysia zon Selatan diantara Johor dan Singapura yang berkesudahan Singapura menang dengan jaringan 1-0.

Ia juga merupakan gelanggang tuan rumah bagi pasukan Johor Darul Takzim dan stadium ini akan digunakan untuk Kejohanan Ragbi Piala Dunia pada tahun 2019 kelak.

Kira-kira setahun yang lalu, Tunku Mahkota Johor DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih jawatan presiden Johor FA.

Pasukan bola sepak negeri yang sebelum ini mengalami pelbagai masalah termasuk dakwaan pemain terlibat dalam gejala pengaturan perlawanan dan rasuah sehingga mencemarkan kejayaan Piala Malaysia dan kemenangan berganda pada tahun 1991. Malah terdapat juga dakwaan bahawa pemain tidak menerima gaji.

Apabila Tunku Mahkota Johor menjadi presiden Johor FA Februari lalu, perkara pertama yang baginda lakukan adalah untuk  memberikan tranformasi kepada bola sepak Johor bermula dengan namanya.

"Saya ingin mengumumkan kepada rakyat Johor yang saya telah mengambil alih Persatuan Bolasepak Johor sebagai presiden. Matlamat saya adalah untuk menghentikan perlibatan politik dalam sukan ini dan mengembalikan zaman kegemilangan bolasepak Johor demi rakyat ini."

Baginda berjanji untuk membawa bola sepak Johor kembali ke zaman kegemilangan di era 80-an apabila stadium penuh sesak dengan kehadiran peminat. Bermula dari itu, baginda menggesa peminat untuk keluar dan memberi sokongan kepada pasukan bola sepak negeri.

Baginda juga turut sama menyaksikan hampir setiap perlawanan pasukan ini beraksi bukan dari bilik VIP, seperti tamu terhormat yang lain, tetapi dari bangku simpanan bersama pengurus, jurulatih dan pemain gantian yang lain.


Selain lampu limpah, kerusi stadium juga telah diganti dan kemudahan bertambah baik termasuk tandas. Satu tambahan yang menarik di stadium ini adalah set bangku pemain simpanan yang pertama seperti ini di Malaysia. Bangku dipasang dengan baket yang diimport seperti yang digunakan dalam Liga Perdana Inggeris.

Untuk Liga Super 2013, Johor Darul Takzim menjadi tuan rumah kepada Perak pada 11 Januari 2013 di Stadium Larkin. Meskipun permainan berkesudahan Johor Darul Takzim menang cuma 1-0, suasana stadium yang penuh sesak dengan kehadiran lebih 30,000 peminat ke stadium dengan diwarnai bendera negeri biru dan merah adalah begitu menakjubkan.

Tingkah laku penyokong Johor Darul Takzim amat baik, walaupun tampak kecewa dengan permainan pasukan kesayangan mereka yang tidak menggunakan kesempatan bermain dengan pasukan Perak yang kehilangan seorang pemain akibat layangan kad merah.

Sudah tentu tingkah-laku penyokong seperti juga sukan lain. Terdapat di kalangan penyokong yang mencemuh pemain Perak apabila pemain lawan sengaja melambat-lambatkan permainan, tetapi hingga ke hari ini belum ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Pada 18 Januari 2013, pasukan Johor Darul Takzim menjadi tuan rumah kepada Angkatan Tentera Malaysia, keputusan seri dicatatkan iaitu 2-2.

Kali ini, penyokong mendapat bonus, apabila Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mencemar duli ke stadium untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Kali ini penyokong bola sepak Johor menjadi sedikit senyap berbanding perlawanan sebelum ini. Ini adalah adab Rakyat Johor yang sentiasa memaparkan rasa hormat yang tinggi kepada raja-raja dan pemimpin mereka.

Sultan Ibrahim dan putera-putera yang mengiringi baginda dilihat menonton perlawanan di kalangan penyokong, bukannya di tempat duduk VIP, manakala Tunku Mahkota Johor berada di bangku pemain simpanan bersama-sama jurulatih Fandi Ahmad dan pemain.

Pernah Tunku Mahkota Johor ditanya, apakah baginda tidak mahu menukar nama stadium ini ke nama baginda?

Dengan merendah diri baginda menjawab,"Saya prefer nama yang asal. Kerana ia adalah sejarah. Dan sejarah tidak boleh ditukar."

Satu stadium yang baru dengan pelbagai kemudahan kini sedang dibina di Nusajaya berhampiran Kota Iskandar, tetapi Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos yang sudah berkhidmat berpuluh-puluh tahun lamanya tetap lebih indah.

23-01-2010 - TUNKU IBRAHIM DIMASYHURKAN SEBAGAI SULTAN JOHOR KE-5




Pada hari ini 23 Januari dalam tahun 2010 Tunku Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang ke-5.

LAUNGAN Daulat Tuanku bergema sejurus Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, mengumumkan pemasyhuran DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

Pemasyhuran itu disempurnakan di  tangga Istana Besar Johor Bahru, jam 1.35 petang, sebelum jenazah Almarhum Sultan Iskandar di bawa turun dari Balai Singgahsana ke pedati diraja untuk diiring dan disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.

Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai Sultan Johor kelima kelihatan sebak ketika membaca watikah perlantikan dan bersumpah akan menjaga negeri Johor dan rakyatnya dengan adil.

"Ketahuilah olehmu sekalian rakyat negeri kita daripada bangsa keturunan Melayu dan lain-lain keturunan dan ketahuilah juga olehmu sekalian yang berkenaan dengan negeri dan jajahan tanah air kita bahawa mengikut Fasal 8 Bagi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor tahun 1895 kita. Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menaiki tahta kerajaan."

"Dan telah mengangkat sumpah di dalam Bilik Singgahsana di Istana Besar Johor Bahru pada pukul 10.15 pagi pada 7 Safar 1431 bersamaan dengan 23 Januari 2010 di hadapan jumaah pangkuan negeri menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dalam jajahan Johor dan segala daerah takluknya bagi menggantikan Seri Paduka ayahanda kita, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail bertarikh di Istana Besar Johor Bahru pada 23 Januari 2010 dengan titah perintah Datuk Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor."

Tunku Ibrahim melafazkan Watikah Pemasyhuran sebagai Sultan Johor ke-5 di Istana Besar,  Johor Bahru

“Saya, Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar menaiki takhta menjadi Sultan Yang Dipertuan Negeri Johor Darul Ta’zim dan Jajahan Takluknya. Saya bersumpah akan memerintah dengan adil, saksama dan timbang rasa pada semua rakyat."

"Saya akan memelihara dan menghormati agama Islam, adat istiadat Melayu dan memegang teguh pada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor dan undang-undang Negeri."

Sebelum dilantik sebagai Sultan Johor, Sultan Ibrahim merupakan pewaris takhta selepas ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor. Baginda yang lebih mesra dengan panggilan 'Ku Yem' oleh rakyat Johor telah mengatur satu program membolehkan baginda melihat kehidupan rakyat sebenar, sekali gus mewujudkan hubungan mesra di antara rakyat dan institusi istana.

Program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang dilancarkan sejak 2001 itu amat sinonim dengan baginda dan telah menjadi acara tahunan di negeri ini. Pergerakan rombongan KMJ ini adalah secara konvoi motorsikal berkuasa tinggi, membawa baginda dan rombongan pengiring yang terdiri daripada Menteri Besar, ketua-ketua Jabatan, pegawai kerajaan dan media, menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini.

Program itu turut disusuli dengan tinjauan pembangunan di negeri ini terutamanya yang melibatkan penduduk luar bandar, golongan miskin, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), petani, penternak dan nelayan.


Selain itu, penjelajahan itu juga mencakupi hal-ehwal kemasyarakatan seperti bantuan perumahan, penjagaan kesihatan, program ekonomi, kebajikan rakyat, agama, pendidikan dan riadah. Sepanjang program ini berlangsung, baginda mengetepikan protokol dan tidak kekok untuk bergaul mesra dengan masyarakat tempatan sama ada ketika menjamu selera, menjalankan aktiviti bersama atau solat berjemaah.

Sepanjang program KMJ berlangsung, baginda bukan sahaja melihat kehidupan harian rakyat, malah turut memberikan sumbangan kepada yang memerlukan. Baginda dengan murah hati menyampaikan bantuan sepuluh basikal kepada kanakkanak miskin dan tiga kerusi roda kepada Orang Kurang Upaya. Aktiviti turun padang itu turut disertai oleh Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah serta putera dan puteri baginda.
Tunku Ibrahim mencuba permainan sumpit pada sukan rakyat di Kampung Sagil Parit 3, Muar
Ketika KMJ 2008, baginda telah mempopularkan kembali sukan rakyat dan penduduk di kampung Sagil Parit 3, Ledang berpeluang menyertai acara itu. Baginda membuktikan bahawa pewaris tahkta juga mahir dalam permainan rakyat. 

Sultan Ibrahim Ismail yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar.

Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, pasangan diraja itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Sultan Ibrahim mula mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School di Australia mulai 1968 hingga 1970. Sultan Ibrahim juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) dari 1971-1975.

Baginda turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru. 

Setelah tamat persekolahan, Sultan Ibrahim telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.

Kemudian baginda ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, Amerika Syarikat.

Baginda turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, Amerika Syarikat untuk menjalani latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying‘s School dan menerima anugerah sayap penerbangan.

Selain itu, baginda juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tuftf, Amerika Syarikat.

22-01-2010 - SULTAN ISKANDAR MANGKAT


SUASANA pilu dan bunyi 77 das tembakan meriam mengiringi perjalanan pedati diraja yang membawa jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dari perkarangan Istana Besar Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, 23 Januari lalu.

Lebih 2,000 rakyat berbilang kaum termasuk pemimpin-pemimpin negara hadir memenuhi perkarangan Istana bagi memberikan penghormatan serta menyaksikan istiadat pemakaman sultan yang amat dikasihi itu.

Sebelum istiadat pemakaman itu, jenazah almarhum diletakkan di Istana Besar Johor dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk memberi peluang kepada pemimpin dan rakyat memberi penghormatan terakhir.


Kira-kira jam 1.45 petang, jenazah almarhum dibawa menggunakan pedati diraja yang ditarik oleh pegawai Askar Timbalan Setia Negeri Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, kira-kira 3 kilometer dari perkarangan Istana Besar Johor sambil diiringi anggota kerabat, pemimpin negeri dan rakyat jelata.

Jenazah almarhum disemadikan di sebelah makam ayahanda baginda. Bacaan talkin dan doa disempurnakan oleh penasihat Agama Islam Johor, Dato’ Nooh Gadut.


Antara yang berangkat memberikan penghormatan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob.



Hadir sama ialah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; dan dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sultan Iskandar mangkat pada 7.15 malam Jumaat, 22 Januari lalu di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital itu kerana gering. Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman.

Almarhum diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat  pada 11 Mei 1981. Baginda pernah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 15 November 1984.

Sultan Iskandar adalah putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Ketika hayatnya, baginda adalah seorang sultan yang sangat disenangi, tegas dan sanggup mengetepikan protokol istana untuk bersama-sama rakyat jelata dan meninjau kehidupan mereka.

Semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Pengalaman Tuanku memandu keretapi


DYMM Sultan Ibrahim menceritakan pengalaman memandu keretapi dari Johor Bahru ke Seremban.

"Saya ni kira takut-takut juga bawak kerana... yelah kadang-kadang malang tak berbau kan. Takut pasal 350 orang kat belakang ni.  Kalau diri saya sendiri apa-apa jadi pada saya takpelah, tapi jangan pada orang lain. Tapi yelah, sebelum saya berlepas dari 'rumah' adalah doa-doa semua. Mintalah perjalanan ini selamat mudah-mudahann Allah kurniakan saya rahmat."

DYMM Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
18 Fabruari 2011

19-01-1962 - DATO' ONN JA'AFAR MENINGGAL DUNIA


Pada hari ini 19 Januari dalam tahun 1962, Dato' Onn bin Jaafar meninggal dunia. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada negara kita.


Dato’ Onn  adalah seorang pejuang kebangsaan dan tokoh politik yang terulung di Tanah Melayu yang berjaya meniupkan semangat kesedaran kebangsaan kepada orang-orang Melayu.
Dilahirkan dalam tahun 1895 di Johor Baharu, Dato' Onn mempunyai 15 orang adik beradik, lelaki dan perempuan dari seibu sebapa, sebapa sahaja dan yang  seibu sahaja dengannya.


Tidak seperti adik-adiknya yang lain, beliau semenjak dari kecil dipelihara oleh Sultan Ibrahim sebagai anak angkat baginda. Malah kakaknya Che Dara berkahwin dengan Sultan Ibrahim.


Dengan asuhan dan layanan diraja, pendidikan timur dan barat (di England) serta ajaran Islam maka tertanamlah di sanubari dan jiwanya perasaan berkeluarga, bermasyarakat, bernegara, cintakan tanahair dan semangat kebangsaan dengan suburnya.


Ketika hayatnya, Dato' Onn telah berjuang untuk memperbaiki dan meninggikan taraf hidup, pelajaran dan ekonomi orang-orang Melayu supaya setanding dengan bangsa-bangsa lain.

Dato' Onn antara lain pernah bekerja sebagai kerani pelatih di Pejabat Setiausahha Kerajaan Johor di Johor Bahru, berkhidmat sebagai kadet dalam Angkatan Tentera Negeri Johor (Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Pegawai Daerah Batu Pahat, Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Johor, Menteri Besar Johor, Pro Canselor Universiti Malaya (Singapura), Ahli yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Dalam Negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Pengerusi RIDA.


Sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan petah bercakap dan berhujah, Datuk Onn telah berjaya memimpin orang-orang Melayu menentang dan seterusnya menumbangkan Malayan Union. Dato' Onn juga terkenal sebagai pengasas UMNO dan dipilih sebagai Presiden yang pertama apabila pertubuhan itu ditubuhkan dengan rasminya pada 11 Mei 1946.


Bagaimanapun, beliau telah keluar dari pertubuhan yang diasaskannya itu pada 27 Ogos 1951 kerana perselisihan faham dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain mengenai dasar perkauman Melayu UMNO.


Dato' Onn ingin menjadikan UMNO sebagai pertubuhan politik yang tidak mengira kaum dan terbuka kepada semua kaum, tetapi tidak dipersetujui malah ditentang habis-habisan oleh sebahagian besar pemimpin pemimpin UMNO yang lain.


Dato’ Onn  kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya atau Independence Malayan Party (IMP) sebaik-baik sahaja keluar dari UMNO. Parti itu hanya dapat bertahan selama tiga tahun lebih.


Dalam Mac 1954 Dato’ Onn  menubuhkan pula Parti Negara atau "National Party" yang mengamalkan semula dasar perkauman Melayu.


Dalam tahun 1959 Parti Negara telah memenangi pilihanraya Umum Persekutuan dan Dato' Onn dilantik meriadi Anggota Parlimen.


Berita kematian putera Tanah Melayu dan jaguh politik kebangsaan yang ulung itu pada hari ini (Jumaat) dalam tahun 1962 setelah berusia 67 tahun diterima dengan rasa sedih dan terharu yang amat sangat oleh rakyat jelata dan pemimpin-pemimpin negara di seluruh negara.


Di saat keharuan itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dengan serta merta mengumumkan penghormatan negara kepada jenazah Dato' Onn sebagai mengenang jasa beliau yang tidak ternilai kepada bangsa dan nusa.


Jenazah Dato’ Onn  disembahyangkan di Masjid Abu Bakar Ialu dibawa ke Istana Besar untuk rakyat memberikan penghormatan terakhir.


Tembakan meriam hormat sebanyak 17 kali telah dilepaskan sebaik-baik saja jenazah itu dibawa keluar dari Istana Besar di atas sebuah kereta meriam yang ditarik oleh anggota-anggota Angkatan Tentera Laut Diraja Malaya dengan diiringi oleh 300 orang anggota dan pegawai-pegawai dari Angkatan bersenjata Tanah Melayu dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) menuju ke Perkuburan Diraja Mahmoodiah.



Jenazah Dato’ Onn  disemadikan bersebelahan kubur ayahanda beliau. Dato' Jaafar Muhammad dan abangnya, Dato' Mustapha.


Di samping beribu-ribu rakyat jelata yang turut mengiringi jenazah Dato’ Onn  itu ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Anggota-anggota Parlimen, Menteri-menteri Besar, Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Wakil Raja-Raja Melayu, Pembesar-Pembesar Negeri/Daerah, Wakil Kerajaan Singapura dan Canselor Universiti Singapura.

Lada Hitam dan Gambir tuah kepada Negeri Johor


Di Johor, motif lada hitam dan gambir terdapat di banyak tempat.


Sebagai contoh perhatikan kerawan besi tiang lampu jalan di bandar-bandar di negeri ini. Jelas kelihatan corak awan larat yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan itu.


Di istana motif awan larat daun gambir dan lada hitam dalam warna kuning keemasan terdapat pada permaidani biru di Bilik Singgahsana. Bilik Persemayaman Istana Besar dan ruang istana-istana lain. Motif itu juga menghiasi peralatan jamuan istana termasuk pinggan mangkuk, sudu garpu, cawan dan gelas, serta kulit buku program istiadat.


Di luar istana pula motif itu dilorek sebagai hiasan pada tiang dan dinding bangunan (khursusnya bangunan Kerajaan Negeri), kad jemputan rasmi, kepala surat jabatan-jabatan kerajaan, kulit luar dan muka dalam buku surah Yasin dan jadual solat yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Johor.


Motif itu juga menghiasi permaidani biru di dalam pesawat peribadi Sultan Ibrahim, Masjid Sultan Abu Bakar dan Masjid Pasir Pelangi.


Apa signifikannya lada hitam dan gambir sehingga dijadikan motif pada begitu banyak benda di Johor?


Menurut buku Adat Istiadat Diraja Johor, motif lada hitam dan gambir dipopularkan oleh Sultan Abu Bakar sebagai tanda mengabadikan peranan yang dimainkan oleh kedua-dua tanaman itu dalam memajukan ekonomi negeri Johor.


Dato' Abdul Rahim Ramli
Penulis buku 'Adat Istiadat Diraja Johor'

Dalam buku yang ditulis oleh Dato' Abdul Rahim Ramli itu dinyatakan bahawa dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri moden, Sultan Abu Bakar membawa masuk ramai orang Cina ke negeri ini bagi menjalankan aktiviti pertanian lada hitam dan gambir secara komersial.


Dalam bab 3, "Wawasan Temenggung" halaman 30, dinyatakan bahawa dalam mengusahakan ekonomi berasaskan gambir itu, daun pokok gambir direbus di dalam besar sebaik saja dipetik. Jika tidak, daun itu akan bertukar warna dan tidak boleh digunakan lagi. Setelah hampir kering, baki air ditapis dan direbus lagi sehingga pekat. Tinggalannya kemudian dibuang ke dalam acuan leper dan dibiarkan kering, kemudian dipotong-potong kecil dan dijual.




Pada awalnya gambir dikatakan dalam buku itu diniagakan secara pertukaran dengan beras dari pedagang Jawa, kemudian dengan barangan yang dibawaoleh pedagang Cina seperti beras dan tekstil. Kepingan gambir dibawa ke negeri China untuk melembutkan dan mewarnakan kulit haiwan untuk dijadikan pakaian dan perhiasan.


Buku itu seterusnya menyatakan bahawa gambir mengandungi antigen, iaitu bahab yang boleh mengecutkan kulit dan dijadikan campuran bagi ubat sakit tekak. Sebahagian besar gambir it didagangkan keluar negeri, khasnya ke negara Barat untuk dijadikan bahan perubatan. Sebahagian kecil pula digunakan sebagai bahan ketika makan sirih.


Menurut penulis, lazimnya gambir ditanam bersama-sama lada hitam. Hampas daripada hasil pemprosesan gambir dijadikan baja bagi tanaman lada hitam. Oleh sebab pokok gambir tidak memerlukan perhatian rapi daripada pengusaha ladang, perhatian boleh ditumpukan kepada tanaman lada hitam.


Pada waktu itu, penulis menjelaskan lagi, Johor merupakan pengeluar gambir dan lada hitam terbesar. Oleh sebab itu, ekonomi Johor berkembang maju disebabkan oleh hasil pengeluaran tanaman tersebut.


Hari ini meskipun sudah berlalu, lada hitam dan gambir bukan lagi penting yang menyumbang kepada pendapatan Johor, namun jasanya kepada kerajaan negeri tetap diabadikan.

"Perhatian ibu bapa mampu lahir modal insan hebat" - DYMM Raja Zarith Sofiah


KOTA TINGGI 19 Jan. - Ibu bapa harus memberikan perhatian kepada anak-anak mereka dengan meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang secukupnya agar menepati hasrat melahirkan modal insan yang memacu negara.


Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, kemajuan sesebuah negara terletak pada generasi baru yang akan menggalas tanggungjawab membawa negara ke peringkat yang lebih tinggi.


"Kemajuan sesebuah negara terletak pada pembangunan aset utama iaitu modal insan. Anak-anak kita adalah modal insan untuk masa depan yang sekali gus menjadi pewaris bagi meneruskan agenda negara.


"Sebagai ibu bapa kita haruslah mengenali kekuatan serta kelemahan anak kita dan memupuk potensi mereka supaya menjadi insan yang berilmu serta berkemahiran," titahnya selepas berkenan merasmikan Seminar Kenali Anak Kita Petronas Zon Selatan , dekat sini hari ini.


Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Hamimah Mansor; Naib Presiden dan Pengarah Usahaniaga Kompleks Bersepadu Pengerang, Juniwati Rahmat Hussin dan Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd. Yunus Pathi.


Seminar yang dihadiri 500 peserta dari tiga buah negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan itu dianjurkan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan kerjasama Persatuan Pengasih Malaysia.


Program yang bermula sejak empat tahun lalu itu bertujuan menggalakkan hubungan sihat dalam kalangan ahli keluarga dan melengkapkan ibu bapa dengan kemahiran, maklumat serta pengetahuan bagi mengesan seterusnya menghalang tingkah laku tidak bermoral anak masing-masing.


Titah baginda lagi, ibu bapa seharusnya membimbing anak-anak mereka supaya mempunyai kekuatan dan ketahanan daripada terpengaruh dengan tingkah laku sosial yang memesongkan.


"Anak kita adalah satu amanah yang dikurniakan oleh tuhan. Mereka ibarat kain yang putih kita ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka," titah baginda.


Sementara itu, Juniwati dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah badan korporat yang bertanggungjawab, Petronas sentiasa berusaha meningkatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sekali gus menyumbang ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan masyarakat setempat.


Ujarnya, program berkenaan adalah pendekatan diambil Petronas dan Persatuan Pengasih Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan mencapai sebuah masyarakat bebas dadah menjelang 2015.


"Pembinaan jati diri melalui pendidikan dan keseimbangan sosial adalah mustahak dalam pembentukan sebuah negara dan bangsa," katanya.


Tunku Mahkota Johor kesal dengan KAFA

Tunku Ismail kesal dengan Kelantan FA yang tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong Johor


Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu telah melahirkan kekecewaan terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang tidak melakukan persediaan bagi mengawal keselamatan penyokong Johor yang hadir di stadium semasa perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu pada Selasa (15 Januari).

Tindakan KAFA tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong Johor sepanjang mereka berada di stadium adalah amat dikesali, titah baginda.

Tunku Ismail bertitah pihak baginda menerima banyak aduan penyokong Johor dibaling batu dan botol oleh penyokong fanatik Kelantan.

"Selain itu para pemain dan penyokong Johor terpaksa menyelinap keluar melalui pintu lain selepas lampu limpah dipadamkan dan diiringi Polis Diraja Malaysia sejauh 20 kilometer meninggalkan stadium," titah Tunku Ismail.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata anggota tentera yang kelihatan di stadium ketika perlawanan berkenaan dua hari lepas merupakan anggota komando Rejimen 21 Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tunku Ismail menafikan mereka yang lengkap bersenjata itu merupakan anggota tentera daripada pasukan Timbalan Setia Negeri Johor (TSN).

"Mereka (anggota Gerak Khas) berada di stadium kerana menerima arahan yang menyatakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu," titah baginda pada sidang media di kediaman baginda di sini hari ini.

Baginda bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan persediaan keselamatan sekiranya Sultan Johor, yang juga Kolonel Komandan GGK menyaksikan perlawanan terbabit.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan prosedur biasa yang telah ditetapkan dan tidak perlu dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

"Kita boleh tanya kepada para pegawai mereka (Grup Gerak Khas), mereka ditugaskan bersedia untuk kehadiran Sultan Johor," titah baginda.

Media hari ini melaporkan ketidakpuasan hati penyokong pasukan Kelantan berikutan kehadiran anggota tentera lengkap bersenjata yang disangka daripada TSN pada perlawanan antara kedua-dua pasukan dua hari lepas.


Mengenali Askar Timbalan Setia Negeri


Di seluruh Malaysia, hanya negeri Johor mempunyai askarnya sendiri.

Bagaimanapun, fungsi Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) atau Johor Military Force (JMF) ini hanya terhad kepada hal istiadat istana negeri .

Tugas utama pasukan ini adalah untuk menjaga keselamatan dan keselesaan Sultan, Tunku Mahkota Johor, serta tetamu-tetamu diraja.

Sebagai sebuah pasukan yang bertanggungjawab terhadap istiadat berkaitan istana, ATSN terlibat dalam perbarisan kehormat pada setiap hari Keputeraan Sultan Johor dan juga setiap kali pembukaan persidangan Dewan Negeri Johor.

Tugas-tugas ATSN yang lainnya adalah mengawal kesemua empat istana di Johor, memberikan khidmat sokongan berkaitan pengurusan istana, dan mengendalikan segala aktiviti yang dijalankan pihak istana.


Selain itu, ATSN juga bertugas mengawal kem ATSN di Taman Dahlia, Tampoi, gate Straits View, gate Skudai, gate Kolam Air, bangunan pancaragam, dan bot-bot Tuanku di Stulang.

Boleh membaca Jawi
Menurut Pegawai Tadbir ATSN, Kapten Jalalludin Hamsan, segala pelantikan, kenaikan pangkat, dan persaraan anggota adalah tertakluk kepada keputusan dan pengesahan Sultan.

"ATSN diterajui oleh DYMM Sultan Johor selaku pegawai pemerintah sementara DYAM Tunku Mahkota Johor adalah naib pemerintah," katanya.

Jelasnya, pengambilan anggota pasukan ini hanya terbuka kepada anak jati Johor yang boleh menulis dan membaca Jawi kerana tulisan berkenaan banyak digunakan dalam laporan, perintah serta jadual harian.
"Malah, perkataan dan istilah bahasa Inggeris seperti duty, Regimental Order, military record, superior officer, state prisioners dan software juga dieja dalam tulisan Jawi.

"Anggota yang terpilih juga perlu ada asas dalam pengetahuan agama termasuk boleh membaca al-Quran, memandangkan mereka akan banyak terlibat dengan majlis-majlis keagamaan," katanya.

ATSN dibahagikan kepada tiga unit, iaitu pentadbiran, kawalan dan pancaragam. Setiap anggota akan ditempatkan dimana-mana unit yang bersesuaian dengan kebolehan mereka.

"Tugas Unit Pentadbiran tertumpu kepada kerja-kerja pejabat manakala Unit Kawalan bertanggunjawab menjalankan kawalan di istana dan keselamatan Sultan dan Tunku Mahkota Johor



"Unit pancaragam lebih kepada bidang muzik. Antara tugas mereka ialah memainkan lagu Bangsa Johor pada setiap majlis rasmi yang dihadiri oleh Sultan," katanya.

Jelasnya, anggota ketiga-tiga unit ini juga perlu menguasai beberapa kemahiran seperti berkawad dan menembak.

Sejarah Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN)
ATSN ditubuhkan oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1886 bagi memenuhi syarat Perjanjian Setia 1885 antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Great Britain.

Pada mulanya, ATSN dianggotai seramai 60 pemuda Melayu yang dipimpin oleh Syed Mohamed Nong Yahya dan Mejar Daud Sulaiman. Pada tahun 1895, Sultan Ibrahim dilantik sebagai kolonel pemerintah Timbalan Setia Negeri.

Bagi memperkukuhkan ATSN, Sultan Ibrahim telah menubuhkan Johor Volunteer Forces (JVF). Pada tahun 1915, keanggotaan ATSN ditambah kepada 576 orang dengan 394 daripadanya dalam Unit Infantri, 98 orang di Unit Meriam dan 84 orang di Unit Pancaragam. 

Antara nama besar yang pernah menyertai ATSN ialah pengasas UMNO, Dato' Onn Jaafar, Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussien Onn, dan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail.

Keratan akhbar di awal penubuhan Johor Volunteer Force (JVF)
Mohon sebaran dengan menekan button 'SHARE' 

Tunku Mahkota Johor duduk di bangku pemain bukan satu kesalahan

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) duduk di bangku pemain simpanan semasa menyaksikan perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan Selasa lalu. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

PETALING JAYA - Tindakan kelab Johor Darul Takzim membenarkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim duduk di bangku simpanan pasukan ketika menentang Pahang di Kuantan dalam Liga Super 2013, Selasa lalu, tetap boleh diterima dan tidak menyalahi peraturan pertandingan Liga M.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kad pentauliahan sebagai ketua delegasi skuad Harimau Selatan turut telah dikeluarkan kepada Tunku Ismail oleh pihaknya, sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa seorang presiden persatuan negeri tidak layak berada di situ.

"(Berada di bangku simpanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu) boleh diterima. Kad penauliahan Liga M juga sudah dikeluarkan (kepadanya) sebagai ketua delegasi (Johor Darul Takzim)," kata Azzuddin pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Bagaimanapun, Johor Darul Takzim atau sebelumnya Johor FC tetap tidak terlepas daripada perhatian jawatankuasa itu yang mengarahkannya merundingkan penyelesaian tuntutan oleh bekas jurulatihnya, K. Devan dalam tempoh 30 hari atau jika gagal, terpaksa mendengar kes mereka semula.


Sultan dan Tunku Mahkota semak calon penerima anugerah

Sultan Ibrahim mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli di pejabat baginda di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru
JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenakan syarat ketat ke atas penerima anugerah dan pingat sempena sambutan ulang tahun baginda ke-54 yang lalu.

Satu proses tapisan telah dilakukan untuk memastikan hanya yang layak sahaja akan diiktiraf, kata baginda.

"Saya mahu melihat apa yang telah mereka lakukan kepada kerajaan dan rakyat. Bagi kakitangan kerajaan, seseorang itu tidak akan secara automatik mendapat Pingat Ibrahim Sultan (PIS) hanya kerana dia telah berkhidmat 20 tahun atau 45 tahun," kata baginda.

Sultan Ibrahim menambah bahawa baginda tidak akan bertolak ansur dengan sikap acuh tak acuh penjawat awam dan akan memberikan syarat lebih ketat berbanding Almarhum ayahandanya dalam memberi anugerah negeri.

Baginda sendiri menyemak senarai calon penerima anugerah bersama-sama Tunku Mahkota dan Jumaah Majlis Diraja Johor.

Selain dari menganugerahkan pingat ketika sambutan di Muar, baginda juga akan menganugerahkan pingat ketika mengadakan lawatan ke daerah-daerah yang baginda lawati.

"Tiada kira masa. Ia memberikan saya peluang untuk bertemu rakyat saya," tambah baginda lagi.

Sultan Ibrahim berkata baginda juga tidak ambil peduli dengan komen negatif berkaitan baginda atau keluarga diraja Johor di laman media sosial.

Sultan Ibrahim juga menafikan dakwaan bahawa telah mengarahkan polis untuk menahan mereka yang menulis artikel yang negatif berkenaan baginda.

"Saya tidak ambil peduli tentang ini. Mengapa saya perlu masuk campur?" Kata baginda sambil menambah bahawa polis hanya bertindak setelah menerima laporan.

Istana tidak mempunyai apa-apa kaitan.

"Saya tidak mahu fikir apa mereka sudah buat. Saya hanya berasa sedih kerana mereka kurang didikan," tambah baginda..

Berhubung dengan komen-komen yang mencaci keluarga diraja Johor di Facebook dan blog beberapa orang telah ditangkap tahun lalu, termasuk juruukur kuantiti berusia 27 tahun.

Comment

www.kesultanananjohor.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.