Social Icons

Tunku Abdul Jalil Anjur Konsert Amal PDRM Hargai Jasa Polis


JOHOR BAHRU: Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan anggota polis, pihak Istana Johor menganjurkan Konsert Amal Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor), di sini, mendapat sambutan baik daripada orang ramai. 


Hasil kutipan konsert cetusan idea Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Iskandar itu antaranya akan disalurkan bagi membeli alat bantuan kurang upaya, sumbangan kepada keluarga polis yang meninggal dunia semasa bertugas dan yang menjadi mangsa bencana alam. 

Turut berangkat, Raja Zarith Sofiah dan turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Pengerusi PERKEP Johor, Datin Bibi Zakiah Meraslam. 

Tunku Abdul Jalil menerusi mesej yang dipertontonkan kepada hadirin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk penaja kerana menyokong usaha mengumpul dana berkenaan. 

"Saya terkilan kerana tidak dapat hadir, namun, Alhamdulillah kerana sehingga kini kami telah berjaya meraih dana yang mencukupi bagi membantu anggota PERKEP yang memerlukan," kata beliau yang pernah berkhidmat dalam PDRM. 

Konsert lebih dua jam itu membariskan penyanyi termasuk Amy Search, Nash, Ziana Zain, Anuar Zain, Adira, Najwa Latiff dan Nomad dengan dihoskan Azlee Senario. 

Majlis turut bertafakur beberapa minit bagi mengenang perjuangan dan pengorbanan anggota PDRM dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013. 

Sementara itu, Mohd Mokhtar mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatian Tunku Abdul Jalil terhadap keluarga PDRM menerusi penganjuran konsert julung kali itu. 

"Terima kasih juga kepada seluruh masyarakat dan penderma kerana kami sememangnya memerlukan sokongan anda bagi membantu keluarga PDRM," katanya. 

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment