Social Icons

Titah Sultan Johor sempena Hari Keputeraan ke-56


JOHOR BAHRU 22 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta pihak kerajaan untuk memantau aktiviti pembalakan haram secara berterusan bagi mengekalkan keindahan persekitaran yang hijau.

Baginda bertitah, pihak kerajaan juga perlu memperbanyak kawasan hijau di negara ini serta menjaga kawasan hutan sedia ada dalam usaha mengekalkan persekitran yang le­bih sihat.

“Saya juga menyokong usaha kerajaan negeri yang akan membekukan sebarang kegiatan pembalakan di hutan simpan kekal pengeluaran mulai tahun depan.

“Tidak ada guna menjadi sebuah negeri maju tetapi memiliki persekitaran yang kotor dan tercemar. Tidak guna jika rakyat memiliki pendapatan tinggi tetapi hidup dalam keadaan tidak sihat dan berpenyakit,” titah baginda.

Titah ucapan Sultan Ibrahim dibacakan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, Amran A. Rahman selaku wakil rasmi baginda pada majlis Ikrar Taat Setia sempena menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Taman Johor Jaya, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, rakyat turut diingatkan untuk menjalankan tanggungjawab bagi memastikan kelestarian persekitaran terjaga serta membudayakan sikap menjaga kebersihan.

Baginda turut menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir masyarakat yang malas dan malu untuk berubah sebaliknya le­bih gemar melontarkan kritikan negatif kepada pihak lain.

Sultan Ibrahim pada masa sama turut bertitah agar masyarakat belia membuang sikap memilih dalam pekerjaan dan perasaan malu untuk bermula dari peringkat bawah.

“Mereka (belia) perlu mencari pengalaman dan meningkatkan kemahiran dalam bidang yang diceburi kerana itu adalah faktor pen­ting untuk mengecapi kejayaan,” titahnya.

No comments:

Post a Comment