Social Icons

"TUNKU ISMAIL MENGINGATKAN PEMIMPIN BERKHIDMAT DENGAN JUJUR" - DATO' ABDUL RAHIM RAMLI

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli hari ini menjelaskan bahawa kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini adalah bertujuan mengingatkan pemimpin yang memegang jawatan supaya sentiasa berkhidmat dengan jujur dan telus untuk rakyat.

Menurut beliau, apa yang dimaksudkan Tunku Ismail melalui kenyataannya sebelum ini adalah bagi memastikan sejarah hitam 1992 tidak berulang kembali malah baginda juga tidak pernah meletakkan pendiriannya untuk menghentam atau memihak kepada sesiapa.

“Baginda mahukan agar bangsa Johor sentiasa bersatu demi mengekalkan perpaduan antara semua kaum.

“Kenyataan tersebut adalah untuk mengingatkan pemimpin yang memegang jawatan supaya sentiasa berkhidmat dengan jujur dan telus untuk rakyat,” katanya menerusi laman Facebook Johor Southern Tiger hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail sebelum ini turut meminta semua pihak membaca kenyataannya dengan teliti dan mengingatkan media agar tidak memutarbelitkan kata-katanya atau mengambil kenyataannya di luar konteks.

Selain itu, Abdul Rahim berkata, terdapat isu lain yang lebih besar perlu ditangani di negara ini dan bukannya dengan menjadikan kenyataan Tunku Ismail tersebut sebagai untuk mengalih perhatian.


Sultan Johor lancar buku "The Coronation of HRH Sultan Ibrahim of Johor"

SULTAN Ibrahim berkenan menerima buku The Coronation of HRH Sultan Ibrahim of Johor yang dipersembahkan oleh Dato' Haji Abdul Rahim Ramli pada Jamuan Teh bersama Rakyat di Dataran Bandaraya Johor Bahru, semalam. - Gambar ihsan JOHOR Southern Tigers

DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini melancarkan buku bertajuk "The Coronation of HRH Sultan Ibrahim of Johor", yang memberi tumpuan persiapan dan perjalanan Upacara Kemahkotaan baginda pada 23 Mac 2015 yang lalu.

Buku tersebut yang ditulis oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Haji Abdul Rahim Ramli yang juga merupakan Karyawan Tamu UTM berdasarkan kepada penyelidikan dan pengalaman beliau mengurus dan melaksanakan istiadat istana lebih 40 tahun.

Buku ini membolehkan pembaca mengetahui dengan lebih mendalam mengenai perjalanan adat istiadat istana Johor yang memang terkenal dengan ciri-ciri kebudayaan yang unik seperti Istiadat Meletak Kerja, Siram Tabal sehinggakan ke Istiadat Kemahkotaan.

Dua buah buku hasil Dato’ Haji Abdul Rahim Ramli berjudul “Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor” dan “Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012” yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM Press) sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pengedar di talian
Tel: 0197998249



ARTIKEL BERKAITAN

SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN SULTAN JOHOR 2016

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli (tengah depan) bersama para jemputan menyaksikan upacara menaikkkan bendera Diraja Johor di Istana Besar Johor Bahru, sempena Istiadat Letak Kerja sebagai tanda simbolik untuk meraikan hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU: Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, dimulakan dengan Istiadat Letak Kerja sebagai simbolik bermulanya sambutan berkenaan pada 17 Mac lalu.

Istiadat disempurnakan dengan menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di Tugu Peringatan, Istana Besar, di sini kira-kira 9 pagi.

Upacara menaikkan bendera itu dimulakan dengan pengisytiharan Dato' Penghulu Istiadat, Dato' Latiff Yusuf dan bacaan doa yang diketuai Mufti Johor, Dato' Mohd Tahrir Shamsudin.

Latiff ketika membacakan pengisytiharan berkata, bendera istiadat itu akan berkibar sepanjang sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor 2016.

Upacara menaikkan bendera disempurnakan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Rahim Ramli, diiringi pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri (TSN) Johor.

Sejurus bendera dinaikkan, tujuh das tembakan meriam dilepaskan oleh TSN.

Yang turut hadir dalam istiadat berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ismail Karim; Ketua Polis Johor, Dato' Wan Ahmad Najmuddin Mohd; barisan EXCO kerajaan negeri, ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan.


Pada 23 Mac, 2016, DYMM Sultan Johor dan juga DYMM Permaisuri Johor serta Paduka Putera dan Puteri berkenan menghadiri Majlis Jamuan Teh bersama Rakyat di Dataran Bandaraya Johor Bahru, jam 3.00 petang. Seluruh rakyat Negeri Johor dipersilakan hadir bagi memeriahkan majlis ini.

Beberapa majlis sambutan juga telah dirancang dan akan berlangsung dari 23 Mac hingga ke 3 April 2016 di Dataran Bandaraya Johor Bahru.