Pada tahun 1897 Sultan Ibrahim menukar tarikh sambutan Hari Kerajaan kepada ulangtahun hari keputeraan baginda 17hb September 1873 selaras dengan kehendak Islam ketika menyambut Hari Maulud bagi Nabi Muhammad SAW, dan seperti diraikan oleh raja-raja Eropah.
Pada tahun 2015 DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menukar sambutan ulangtahun hari keputeraan baginda dari 22hb November kepada 23hb Mac diatas keprihatinan baginda mengelakkan kesulitan rakyat semasa musim banjir yang sering belaku dalam bulan November. Justeru itu, tarikh 23hb Mac dipilih bersempena tarikh Istiadat Kemahkotaan baginda bermula tahun 2015.
MAJLIS SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN
(Istiadat Letak Kerja, Majlis Tahlil Dan Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Mengadap Takzim, Majlis Darjah dan Pingat, Majlis Jamuan Teh)
Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku mengandungi adunan tradisi Melayu dan budaya istana, unsur-unsur ajaran Islam dan perlakuan barat.
ISTIADAT LETAK KERJA
Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku dimulakan dengan Istiadat Letak Kerja yang dilakukan 3 hari sebelumnya sebagai simbolik bermulanya sambutan berkenaan.
Istiadat itu disempurnakan dengan upacara menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di Tugu Peringatan Istana Besar.
Upacara menaikkan bendera berkenaan dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera Istiadat Kerajaan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan diikuti bacaan doa oleh Mufti.
Dato' Penghulu Istiadat akan membacakan pengisytiharan bendera Adat Istiadat akan dikibarkan sepanjang Sambutan Hari Keputeraan.
Istiadat itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor diiringi pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN). Tujuh das tembakan meriam kedengaran sejurus bendera dinaikkan.
MAJLIS TAHLIL DAN DOA KESYUKURAN
Pada malam sebelum Sambutan Hari Keputeraan Majlis Tahlil Dan Doa Kesyukuran diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah SWT melanjutkan usia Tuanku dalam keadaan aman dan sejahtera bagi menaungi dan memimpin rakyat.
MAJLIS DOA KESYUKURAN
Pada hari esoknya diadakan Majlis Doa Kesyukuran bertempat di Dewan Cina Istana Besar, dihadiri dif lelaki sahaja. Pakaian yang ditetapkan adalah uniform istiadat dengan tanda-tanda kebesaran.
DYAM Tunku Mahkota berangkat ke Majlis tersebut. Tembakan meriam 21 das bermula sebaik sahaja Mufti menyebut nama DYMM Tuanku didalam doa. Setelah tamat doa Perangkatan Tunku Mahkota, kerabat dan dif berjalan menuju ke Bilik Singgahsana Istana Besar didahului Pasukan Penjawat Istana yang membawa semua Peralatan Istiadat Kerajaan.
Peralatan Istiadat Kerajaan yang diilhamkan oleh Sultan Abu Bakar mengandungi Cogan Agama, Cogan Alam, Panji-Panji Raja, Bendera Negeri Johor, Keris Darjah Kerabat, Keris Darjah Mahkota, 2 payung besar, 2 payung kecil, 16 batang lembing dan 8 batang tongkat. Peralatan ini simbolik memperkasakan kedaulatan dan kuasa Raja.
Lagu Bangsa Johor dimainkan bagi menyambut keberangkatan tiba DYMM Tuanku dan DYMM Permaisuri Johor di Tangga Agong Istana Besar. Kemudiannya, DYMM Tuanku berkenan memeriksa barisan kehormatan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN) sebelum berangkat naik ke Bilik Persemayaman.
MAJLIS TERIMAN
DYAM Tunku Mahkota akan mempersembah ucap selamat dan Ikrar Taat Setia bagi pihak kerabat, serta berdoa agar usia DYMM Tuanku Sultan dan DYMM Permaisuri Johor berpanjangan, bertambah kedaulatan dan kekal memerintah negeri Johor. Tunku Mahkota juga berterima kasih di atas keperihatinan dan perkenan baginda membolehkan DYAM Tunku Mahkota mempelajari hal-hal pentadbiran negeri dan bercampur gaul dengan rakyat jelata.
YAB Menteri Besar diapit oleh seorang wakil kaum Cina dan seorang wakil kaum India mengadap dan menyembahkan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat.
DYMM Tuanku bertitah menyeru rakyat hidup dalam rukun damai, sentiasa bermuafakat serta mengukuhkan perpaduan.
MAJLIS MENGADAP TAKZIM
DYAM Tunku Mahkota dan YM Che Puan Khaleeda mengadap takzim, diikuti YAM Tunku Temenggong, YAM Tunku Bendahara, YAM Paduka Putera-putera dan Puteri, Yang DiPertua Jumaah, dan Menteri Besar. Perlakuan mengadap takzim adalah berdiri tegak dihadapan Tuanku, kedua dua tangan rapat dibadan, dan tundukan kepala sambil merencungkan badan sedikit kehadapan.
MAJLIS DARJAH DAN PINGAT
Majlis diakhiri dengan baca doa penutup Istiadat oleh Kadi Besar.
MAJLIS JAMUAN TEH
Majlis Jamuan Teh untuk rakyat yang diadakan pada hari esoknya memberi peluang kepada DYMM Tuanku untuk bercampur gaul dengan rakyat dalam semangat Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.
Kerajaan prihatin memastikan rakyat jelata turut mengambil bahagian bersama dalam perayaan ini. Oleh itu kerajaan mengatur beberapa temasya termasuk sukan, pertunjukan kebudayaan, dan pertandingan yang melibatkan penyertaan rakyat di setiap daerah di negeri Johor.
Penulis,
Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli
Yang DiPertua
Jumaah Majlis DiRaja Johor
15 November 2016
![]() |
| Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp) |




















