Social Icons

Royal Pahang 1, RJPC 1 tentukan juara Polo





Aksi Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Idris Sultan Ibrahim (tengah) dalam Royal Pahang Classic 2010 di Pekan, semalam.



PEKAN - Royal Pahang 1 dan Royal Johor Polo Club 1 (RJPC 1) bakal menurunkan barisan utama dalam aksi akhir Kejohanan Polo Royal Pahang Classic 2010 di Arena Polo di sini, hari ini.

Perlawanan akhir itu akan berlangsung sebanyak empat chukka bagi merebut trofi Royal Pahang Classic dan Liga Antarabangsa Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA).

Atas kertas, Royal Pahang 1 merupakan pasukan pilihan untuk muncul juara apabila pasukan itu berkongsi 24.5 mata dengan Thai Polo.

Kedudukan itu ternyata tidak mampu dicabar oleh mana-mana pasukan setelah musuh utamanya, Thai Polo kecundang dalam laluan ke akhir.

Namun begitu, Thai Polo masih mampu untuk dinobatkan sebagai naib juara liga RMPA jika mereka menang pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

RJPC 1 yang mengumpul 16 mata berada di tempat kelima carta liga menerusi empat sirkit hanya mampu untuk melonjak setapak di tempat keempat dan menyingkirkan pasukan kebangsaan, 1Malaysia di tangga kelima.

Pada perlawanan akhir hari ini, RJPC sudah tentu akan menumpukan sepenuhnya untuk mencipta sejarah tersendiri bagi menjulang trofi Royal Pahang yang masih belum dimenangi sejak pasukan itu menyertai kejohanan tersebut lebih 20 tahun lalu.

Royal Pahang Classic 2010 merupakan sirkit terakhir bagi perebutan Piala Liga RMPA musim 2009/10.
Pada aksi akhir itu, Royal Pahang 1 yang beraksi di gelanggang sendiri akan diketuai Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan diperkuat tiga pemain profesional dari Argentina, Emelio Del Campo, Gaston Moore dan Rafael Silva.

RJPC 1 pula membariskan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Sofyan Rashid dan menggunakan dua pemain profesional dari Argentina, Santiago Cernadas serta Raul Laplacette.
Sepanjang kejohanan selama 10 hari, RJPC 1 hanya menurunkan dua pemain profesional berbanding Royal Pahang yang menyenaraikan tiga pemain.

Royal Pahang 1 layak ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan pasukan Thai Polo 5-4 manakala RJPC 1 menewaskan pasukan La Sarita 7-3.

Rekod perlawanan di peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan agak cemerlang apabila memenangi semua pertemuan.
Royal Pahang 1 menang besar ke atas pasukan Ranhill-Jogo dengan pungutan mata 8-3 dan mengalahkan Head Hunters 8-2 yang sekali gus menjuarai Kumpulan B.

RJPC 1 pula muncul juara Kumpulan A selepas mencipta kemenangan ke atas pasukan Terengganu Polo 9-2 dan menang tipis ketika bertemu La Sarita 5-4.

Sementara itu, pasukan Thai Polo dan La Sarita akan turun beraksi bagi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat sebelum perlawanan akhir dilangsungkan.