Social Icons

Adik bongkar rahsia Jalur Gemilang


ABU Bakar Hamzah terpaksa melanggar janji abangnya, Allahyarham Mohamed, apabila mendedahkan juga bahawa abangnya itu adalah perekacipta sebenar Jalur Gemilang yang sudah lebih 50 tahun berkibar megah di tanah air ini atau dahulu dikenali sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Janji si abang dipegang oleh si adik bongsu daripada 10 beradik itu sejak hampir 20 tahun sehinggalah pelbagai pihak berusaha menjejak perekacipta bendera kebanggaan negara, empat tahun lalu.
Mohamed Hamzah satu nama yang tidak begitu di kenali di kalangan rakyat Malaysia dan ramai tidak menyedari bahawa beliau adalah perekacipta Jalur Gemilang.

“Sebenarnya saya sudah melanggar janji abang untuk merahsiakan perkara ini. Tetapi saya terpaksa mendedahkan kerana terdapat orang lain yang mengaku hasil kerja abang saya,” kata Abu Bakar, 72, ketika ditemui di Pontian.
Bangga.. Abu Bakar bersama buku Mohamed Hamzah
Perekacipta Jalur Gemilang

Permintaan Mohamed ketika hayatnya masih ada amat difahami berikutan gelodak rasa jiwanya yang berasa dirinya dilupakan sedangkan beliau telah menyumbang sesuatu yang amat bermakna sempena kemerdekaan negara pada 1957.

Menurut Abu Bakar, ketika abangnya berusia 60-an, beliau berpesan supaya jangan memberitahu sesiapa mengenai sumbangannya merekacipta bendera kebangsaan.

Mohamed, yang dilahirkan pada 5 Mac 1918 sebelumnya bekerja sebagai seorang pembantu teknik di Jabatan Kerja Raya ( J K R ) , Johor Bahru telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 19 Februari 1993 dalam usia 75 tahun.

Ketika itu, negara sudah melupakan jasanya, malah jauh sebelum itu lagi tidak pernah dinyatakan di mana-mana mengenai sumbangannya sebagai penghargaan. Hanya pada 2004, usaha mengesannya dilakukan oleh mereka yang pernah bertugas dalam satu jabatan dengan Allahyarham.

Akhirnya ciptaan Mohamed disahkan berikutan hasil lakaran bendera yang dicipta di atas kertas kalis air (tracing paper) berukuran A4 berserta tandatanganya, dijumpai dalam timbunan lebih 5,000 lakaran di stor kejuruteraan JKR, Kebun Teh, Johor Bahru.

Menurut Abu Bakar, sebelum penemuan itu, ada beberapa individu tampil mengaku bahawa Jalur Gemilang adalah hasil rekaan mereka. Antaranya, seorang bekas wartawan radio Suara Amerika, di RTM, Ali Munawar mendakwa bendera itu dicipta oleh seorang penggiat seni, Allahyarham Idris Rauf pada 1948.

Abu Bakar kemudiannya mendapat bantuan Yayasan Warisan Johor (YWJ), JKR serta individu tertentu
bagi mendapatkan bukti-bukti bahawa abangnya adalah perekacipta Jalur Gemilang sebenar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YWJ atas segala usaha dan penerbitan buku perekacipta Jalur
Gemilang serta kerajaan negeri yang turut memberikan penghargaan kepada hasil kerja abang saya,” katanya.
Buku Mohamed Hamzah perekacipta Jalur Gemilang ditulis oleh Kamdi Kamil dari YWJ. Ia memaparkan sejarah perekacipta, bendera serta cara-cara menghormati bendera selain cara mengibarkan bendera dengan betul.

Abu Bakar mengesahkan Mohamed menghabiskan masa berjam-jam mereka bentuk bendera dan telah menghantar empat rekabentuk bendera untuk pertandingan di peringkat kebangsaan.

“Ketika itu abang berusia 29 tahun dan saya berusia 11 tahun,” katanya. Beliau menambah, disebabkan sifat patriotik dan cintakan negara, Mohamed menyertai pertandingan merekacipta Bendera Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1949 yang dianjurkan selepas pembatalan Malayan Union.

Sebanyak 373 corak bendera diterima oleh Jawatankuasa Khas pertandingan dan tiga rekabentuk telah dipilih untuk dinilai di peringkat akhir dengan dipaparkan kepada rakyat melalui suratkhabar ‘Malay Mail’.
Mohamed menghantar empat rekabentuk dengan dua daripada ciptaannya dipilih ke peringkat akhir. Akhirnya rakyat pula setuju memilih rekabentuk ciptaan Mohamed sebagai bendera negara.

Lakaran dan tracing dengan tandatangan
Mohamed Hamzah
Ketika itu, kata Abu Bakar, Dato’ Onn Jaafar yang juga Menteri Besar Johor, telah berkunjung ke kediaman mereka di Jalan Ungku Puan, Johor Bahru dan mencadangkan Mohamed agar mengubahsuai sedikit rekaan bentuk bintang lakarannya kepada 11 bucu. Beberapa pengubahsuaian turut dibuat ke atas lakaran asal bendera seperti menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning bagi melambangkan warna DiRaja.

Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 22 dan 23 Februari 1950 telah memberi perkenan kepada rekabentuk bendera berkenaan dan dua bulan berikutnya, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara.

Satu majlis mengibarkannya buat pertama kali dilakukan di bawah anjuran Pesuruhjaya Tinggi British pada 16 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh Raja-Raja Melayu.

Namun sekarang, ia mengandungi 14 jalur merah putih melambangkan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna biru tua pula melambangkan perpaduan rakyat, manakala anak bulan sebagai tanda Agama Islam iaitu agama rasmi negara.

Buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan  pada 2 May  1950


4 March 1950 Jawatankuasa peetandingan sebulat suara memilihkan bendera rekaan  Mohamed Hamzah sebagai bendera 
Persekutuan Tanah Melayu

No comments:

Post a Comment