ISU Malaysia menyerahkan kembali tanah KTMB kepada kerajaan Singapura menerima pelbagai reaksi. Dan seperti biasa, banyak pandangan yang dikemukakan hanyalah berasaskan pendapat peribadi yang tidak bersandar kepada fakta. Akibatnya, orang ramai menjadi keliru dan tidak tahu membezakan di antara fakta dan pendapat.
Pertama sekali, isu ini bukan isu kedaulatan seperti yang cuba dimanipulasi oleh sesetengah pihak. Malaysia hanya dibenarkan menggunakan tanah di Tanjung Pagar selama mana ia memerlukannya untuk kegunaan laluan dan stesen kereta api. Itu adalah perkara yang terkandung dalam Perjanjian 1918 di antara Malayan Railway (Tanah Melayu) dan Singapura. Perjanjian penggunaan tanah itu tidak bermakna Tanah Melayu (kini Malaysia) memiliki tanah-tanah tersebut. Jadi, soal kedaulatan tidak timbul sama sekali.
Ia samalah dengan perjanjian membenarkan Singapura menyelenggara rumah api di Pulau Pisang, Johor. Dalam indenture (kontrak) yang dibuat pada tahun 1900 ini, Singapura dibenarkan menggunakan sebidang tanah seluas 18,090 meter persegi untuk menempatkan rumah api, serta laluan sepanjang 452 meter dan lebar 3.58 meter untuk membolehkan pekerjanya berjalan dari jeti ke rumah api berkenaan.
Dengan membenarkan pekerja rumah api Singapura melalui laluan ke rumah api itu, tidak bermakna Singapura mempunyai kedaulatan ke atas keluasan tanah yang digunakan untuk tujuan itu. Sama juga halnya apabila Keretapi Tanah Melayu diberi kebenaran untuk membina landasan kereta api sehingga ke Tanjung Pagar, ia tidak bermakna Malaysia mempunyai kedaulatan ke atas tanah yang digunakan untuk tujuan itu.
Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa Malaysia tidak melakukan sesuatu supaya Tanjung Pagar dilihat masih diperlukan, dan seterusnya mengikat kerajaan Singapura dengan perjanjian 1918 itu? Soalnya, untuk apa dipertahankan sesuatu yang tidak memberikan faedah? Sesiapa yang pernah menaiki kereta api dari Johor Bahru ke Tanjung Pagar akan tahu bahawa perkhidmatan pengangkutan itu sememangnya tidak wajar diteruskan.
Dengan jumlah penumpang yang terlalu sedikit, tentulah tidak ekonomik untuk meneruskan operasinya. Tanjung Pagar bukanlah destinasi pilihan pelancong yang hendak ke Singapura. Tidak ada pusat-pusat membeli belah moden atau pusat-pusat rekreasi berdekatan. Pelancong yang hendak ke Singapura akan memilih tempat-tempat seperti Orchard Road, Seranggon atau Pulau Sentosa. Tanpa tarikan seperti itu di Tanjung Pagar, pelancong tidak akan menaiki kereta api untuk turun di stesen itu. Jadi, jika pelancong tidak mahu menaiki kereta api ke Tanjung Pagar, apa rasionalnya mahu diteruskan operasi di situ?
Sebenarnya sudah banyak penjelasan yang diberikan oleh pemimpinpemimpin kerajaan berhubung isu ini. Menteri Besar Johor sudah menjelaskannya menerusi temu ramah khas dengan beberapa akhbar harian tempatan, sama ada yang berbahasa Melayu atau Inggeris. Beliau juga sudah menepis dakwaan bahawa Malaysia mengalah kepada Singapura dalam isu ini.
Johor, sebagai negara yang berjiran dengan Singapura, dikatakan akan mendapat faedah besar daripada keputusan ini. Apabila stesen di Woodlands, Singapura, dipindahkan ke Kempas di Johor Bahru pada tahun 2018, Kempas akan menjadi sebuah kawasan pertumbuhan baru yang akan memberi manfaat dari segi ekonomi.
Lebih menguntungkan, laluan kereta api Kunming – Singapura yang selama ini tertera dalam peta dunia akan berubah kepada Kunming-Johor Bahru. Ini bermakna, pelancong dari China yang mahu ke Singapura menggunakan kereta api akan berhenti di Johor Bahru sebelum meneruskan perjalanan ke republik itu dengan mod kenderaan lainnya. Pelancong dari Vietnam, Kemboja, Laos, dan Thailand juga boleh menggunakan perkhidmatan yang sama.
Soalnya ialah siapa yang orang ramai hendak percaya. Berapa banyak pun penjelasan mengenainya, jika mereka memilih untuk mempercayai pandangan pihak tertentu yang mengatakan bahawa keputusan yang diambil itu bermakna kita menyerahkan kedaulatan negara, apa lagi yang kerajaan boleh lakukan?
Jangan hanya tahu mempolitikkan apa sahaja isu, tetapi tidak nampak kebaikan di sebaliknya.