Social Icons

01-28-1984 IBU ZAIN MULAKAN SIRI PENGKISAHAN SEJARAH



Pada hari ini 28 Januari dalam tahun 1984, Tan Sri Ibu Zain telah memulakan Siri Pengkisahan Sejarah yang bertema ’Wanita di dalam Sejarah Malaysia’, di Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur.  Hajjah Ibu Zainun atau lebih dikenali dengan panggilan Ibu Zain telah dilahirkan pada 22 Januari 1903 di Kampong Nyalas, Melaka.

Perkhidmatannya kepada masyarakat bermula di antara tahun 1916 hingga 1921 apabila beliau membuka sekolah di Pasoh Jaya Waras, Negeri Sembilan di atas perbelanjaannya sendiri.

Di atas kecekapan dan ketekunan beliau di dalam bidang pelajaran dan pendidikan beliau telah dinaikkan pangkat dari masa ke semasa hinggalah menjadi Penyelia Sekolah-sekolah Perempuan di negeri Johor, dalam tahun 1927.

Di atas usaha beliau, ’Persatuan Guru Perempuan Melayu dan Agama Johor,’ ditubuhkan dan persatuan ini berjaya menerbitkan majalah ’Bulan Melayu’.  Ibu Zain juga adalah wanita Melayu pertama yang memasuki Pertubuhan Pandu Puteri. Beliau juga berjaya menubuhkan Kolej Puteri Tunku Ampuan Marian dalam tahun 1948.

Beliau mula melibatkan diri di dalam politik setelah menerima undangan dalam tahun 1945 daripada Datuk Onn bin Jaafar untuk menyatupadukan kaum wanita di Johor Bahru yang akhirnya membawa kepada Pertubuhan Pergerakan Kaum Ibu Semenanjung.

Dalam tahun 1948 beliau telah dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Johor.  Beliau telah dilantik menjadi Ketua Kaum Ibu Malaya dalam tahun 1950.  Dalam tahun 1956 beliau telah dipilih sebagai Naib Ketua Kaum Ibu bagi Malaya Bahagian Selatan di samping menjadi Ketua Kaum Ibu bagi negeri Johor.

Oleh kerana jasa Ibu Zain dalam berbagai bidang, beliau telah dikurniakan bintang-bintang dan berbagai gelaran.  Beliau adalah wanita pertama yang mendapat pingat Ibrahim Sultan (PIS).  Pingat dan gelaran yang diperolehi oleh Ibu Zain termasuk JMN, Darjah Kebangsaan Panglima Sri Mahkota, (Tan Sri), Tokoh Guru, Lady of Burma, Pingat Tun Fatimah, Tokoh Sastera, Tokoh Pendidikan dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment