D.Y.M.M Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar |
Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Obet Tawil berkata Sultan Ibrahim turut berkenan meringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara terhadap empat banduan dan memberi pengampunan kepada seorang lelaki yang disabitkan kesalahan ketika berumur 18 tahun pada 1985 untuk membersihkan namanya daripada rekod sabitan kesalahan. "Sultan Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 19 Januari lalu.
"Atas nasihat daripada anggota Lembaga Pengampunan Negeri Johor, Peguam Negara dan mempertimbang semua aspek seperti kesalahan banduan, tempoh hukuman yang dijalani serta pemulihan yang dicapai oleh banduan, maka Sultan Ibrahim dengan limpah kurnia dan perkenannya telah mempertimbangkan pembebasan dan meringankan hukuman kesemua banduan yang terlibat," katanya kepada pemberita, di Kota Iskandar, di sini.
Beliau berkata mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail serta tiga anggota lembaga pengampunan iaitu Datuk Law Boon King, Datuk Rashidi Mohd Noor dan Datuk Dr M.Harjit Singh.
Obet berkata daripada lapan banduan yang akan dibebaskan pada 1 Ramadan itu, seorang daripadanya, Sapuan Hanin, 58, adalah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 manakala tujuh yang lain yang berumur 41 hingga 63 tahun, adalah banduan di bawah kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Beliau berkata Sapuan telah menjalani hukuman 24 tahun penjara sejak 1987 atas kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.
Tujuh yang lain pula, katanya, dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat dan telah menjalani hukuman penjara antara 22 dan 37 tahun serta dikenakan antara enam dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan memiliki senjata api.
Katanya empat banduan yang diringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara pula adalah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 iaitu yang terlibat dengan kes pengedaran dadah dan bunuh.
"Tiga daripada mereka yang berumur 36 hingga 41 tahun dan telah menjalani hukuman penjara antara lapan dan 14 tahun, diperkenan diringankan hukuman penjara sepanjang hayat (tiada tarikh bebas) manakala seorang lagi yang berumur 57 tahun, yang telah menjalani hukuman 16 tahun penjara, diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup (20 tahun)," katanya.
Obet berkata, keseluruhannya sebanyak 32 kes rayuan telah disemak oleh Lembaga Pengampunan Negeri Johor, namun hanya 13 kes yang mendapat pengampunan daripada Sultan Ibrahim.
Beliau berkata lapan banduan yang dibebaskan itu diharap dapat menggunakan peluang kedua untuk memanfaatkan diri, keluarga dan masyarakat dengan membuktikan mereka benar-benar insaf manakala banduan yang diringankan daripada hukuman gantung kepada hukuman penjara hendaklah menggunakan peluang itu bagi pemulihan dan pembangunan diri. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment