Social Icons

Hajat bertemu Sultan Johor termakbul


 NORSHIKIN MOHD SALLEH
11 Jun 2012

Orang ramai yang menyertai Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia 

Sultan Johor, semalam.
JOHOR BAHRU – Dalam suasana sesak ketika Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Sultan Johor di sini semalam, kelibat warga emas bersama kerusi rodanya mencuri pandangan.

Biarpun terpaksa bersesak bersama lautan 30,000 orang ramai, Aishah Mohd Salleh, 65, tidak berputus asa sematamata untuk bersemuka Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. “Saya datang dari Muar dan berangkat menaiki bas seawal jam 8  pagi tadi (semalam). Kami sampai jam 11 tadi bersama rombongan tiga bas dari sana. “Dari rumah lagi memang memasang niat untuk bertemu Sultan biarpun saya tahu, keadaan saya agak terhad,” katanya yang ditemui di  perkarangan Istana Pasir Pelangi, di sini, semalam.

Menurut ibu tunggal ini, niat bertemu Sultan Johor telah lama dipendam biarpun Sultan Ibrahim mencemar duli ke Muar sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang lalu, namun kekangan dirinya menyebabkan tidak dapat bertemu.

Salah seorang orang awam menandatangani sebagai tanda sokongan.
“Bukan tidak pernah bertemu sultan, tapi itu sudah lama. Ketika KMJ lalu tiada siapa membawa makcik biarpun hajat bertemu telah lama disimpan. “Saya nekad walau apapun, saya ingin berjumpa sultan hari ini (semalam),” katanya.

Beliau yang ditemani sepupunya Adam Mat Lih, 64, yang datang dari Kluang bersungguh- sungguh berbaris dibarisan hadapan untuk bertemu Sultan Johor.

Impian Aishah termakbul apabila Sultan Johor berkenan untuk bersalaman dengan rakyat yang hadir ke perhimpunan terbesar yang pernah tercatat itu.