Social Icons

Upacara, istiadat Kesultanan Johor dihidupkan semula

MAJLIS Letak Kerja Pertabalan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan 
Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja dengan menaikkan bendera 
diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor

MUAR 19 Nov. - Majlis Letak Kerja Pertabalan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang akan disambut lima hari lima malam bermula Rabu ini disempurnakan di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Upacara tersebut dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin sebelum pembacaan perisytiharan oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan diakhiri dengan upacara menaikkan bendera diraja dengan diiringi tiga das tembakan meriam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Zulkiflee Abbas dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.

Pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Abu Bakar selepas majlis tersebut, Abdul Rahim berkata, Majlis Letak Kerja-kerja Pertabalan dengan menaikkan bendera diraja dilakukan sebagai simbolik bermulanya kerja-kerja sempena sambutan berkenaan. Upacara itu akan mengulangi kembali sejarah 117 tahun lepas semasa sambutan hari keputeraan nenda baginda, Sultan Abu Bakar pada 1 Mac 1895 yang sebelum itu sejak 1874 dikenali sebagai Hari Kerajaan, juga diadakan di bandar Muar. Biasanya bendera akan dinaikkan tiga atau empat hari sebelum majlis berkenaan berlangsung.

Beliau berkata, upacara tersebut amat istimewa dalam Kesultanan Johor yang sudah tidak dipraktikkan serta tidak terdapat di negeri lain dan kali terakhir diadakan pada 1922 bagi meraikan perkahwinan Tunku Temenggong Ahmad.

"Upacara ini sangat istimewa sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja pada minggu ini, upacara ini dihidupkan semula selepas 90 tahun tidak dilakukan," katanya.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim merupakan seorang yang suka menghidupkan kembali kebudayaan dan istiadat Kesultanan Johor yang telah lama,"

Beliau berkata, selain upacara itu, terdapat beberapa lagi amalan dan adat istiadat Kesultanan Johor yang akan dihidupkan semula sempena sambutan berkenaan terutama pada Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran, Majlis Triman, Majlis Mengadap Takzim dan Majlis Pengurniaan Darjah dan Pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Khamis ini.

"Antaranya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan mengurniakan gelaran yang pernah digunakan pada masa lalu, contohnya Laksamana Bentan kepada salah seorang daripada anakandanya," katanya.

Katanya, bahasa yang digunakan juga adalah bahasa istana mengikut tradisi dan istiadat Kesultanan Johor yang biasa digunakan oleh raja dan kaum kerabat sahaja, tidak boleh digunakan oleh rakyat biasa.

Menurutnya, penduduk Muar amat bertuah kerana daerah itu dipilih untuk sambutan tersebut kerana tidak pernah diraikan di daerah lain apatah lagi dalam satu majlis yang gilang-gemilang seperti yang dijadualkan kali ini.

Sambutan yang bermula Rabu ini dan berakhir Isnin depan dijangka menarik kira-kira 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga penduduk negeri lain.