ARKIB : 15/05/2012
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menulis kaligrafi Cina bermaksud 'Tuanku di hati rakyat' di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim, Kluang, semalam. |
Kemahiran dan kesudian baginda menulis kaligrafi itu mendapat tepukan gemuruh tetamu kehormat dan orang ramai yang kagum terhadap baginda sebagai Sultan untuk semua rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
Hadirin juga tidak melepaskan peluang untuk bersalam dengan baginda yang kelihatan ramah dan tidak kekok mencemar duli bersama rakyat.
Individu yang paling gembira dengan kunjungan KMJ 2012 adalah seorang warga emas, Ibrahim Oyok @ Zainal, 81, yang 'ditarik' untuk bersantap di sebelah Sultan Ibrahim.
Ditanya bagaimana dia mendapat peluang itu, Ibrahim menjelaskan dirinya telah dilihat oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail yang kemudiannya memberitahu ayahandanya untuk mengajaknya santap bersama.
Ibrahim memberitahu, dia mula dikenali keluarga diraja itu ketika zaman Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan berasa sangat gembira kerana keturunan baginda sekeluarga masih mengingati dirinya.
"Saya mula bertemu dengan Almarhum pada suatu petang di surau Askar Timbalan Setia ketika menumpang rumah abang ipar yang berkhidmat sebagai askar tersebut.
"Esoknya, saya masuk kerja sebagai buruh di Jabatan Hutan dan kebetulan bertemu lagi dengan baginda. Saya terkejut apabila baginda masih mengingati saya hasil hikmah pertemuan di surau," katanya yang berasal dari Negeri Sembilan dan kini menetap di sini.
Warga emas itu menyatakan, dia mungkin disayangi Almarhum Sultan Iskandar selepas lulus 'ujian' apabila baginda memberikannya wang sebanyak RM50 setelah mendapati dompetnya hanya ada RM2 suatu masa dulu.
"Wang diberi Almarhum itu saya belanja makan kawan-kawan lain di Jabatan Hutan dan tanpa pengetahuan saya, salah seorang rakan telah memberitahu Almarhum mengenai tindakan saya itu," jelasnya.
"Suatu hari, Almarhum panggil saya dan beritahu bahawa baginda juga pernah memberikan wang kepada salah seorang pekerja di Jabatan Hutan tetapi pekerja itu tidak membelanja rakan-rakan lain. Kata tuanku, saya jenis yang tidak lupa kawan dan mungkin itu sebabnya baginda sayang pada saya," katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Kluang, Dr. Hou Kok Chung; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Md. Jais Sarday; ADUN Paloh, Hoo Seong Chang, ADUN Kahang, R. Vidyanathan dan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar. Mohd. Shariff.
No comments:
Post a Comment