Social Icons

Sultan Johor Tarik Balik Gelaran 'Dato' CEO YPJ


JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menarik kembali pengurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Hamsan Saringat berkuatkuasa serta merta.
Dato' Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor
Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor yang juga Menteri Darjah Mahkota Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli berkata, pembatalan darjah dan pingat berkenaan dibuat selepas menerima titah Sultan Ibrahim semalam.

Menurutnya, Hamsan menerima Darjah Kebesaran itu daripada Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada tahun 2005.

“Semalam Sultan Ibrahim bertitah supaya pengurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang diberikan kepada Hamsan ditarik balik dan dibatalkan serta merta.

“Mulai tarikh itu juga, Hamsan kini tidak lagi boleh menggunakan gelaran dato' yang diberikan kepadanya sebelum ini dalam apa juga urusan pada masa depan,” katanya,” pada sidang media di Istana Besar Johor, di sini, semalam.

Meskipun tidak menyatakan alasan penarikan terbabit, Abdul Rahim berkata, keputusan itu dibuat mengikut Fasal 7(2)(f) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 dan Fasal 13 Undang-Undang dan Peraturan Bagi Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia.

Katanya, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895, Sultan Johor mempunyai kuasa mutlak untuk menarik balik sebarang pingat dan gelaran yang diberikan sekiranya penerimanya gagal memenuhi atau menghormati tanggungjawab yang diberikan.

“Kurniaan yang diberikan ini tidak kekal kerana penerimanya perlu mematuhi peraturan kerana tugas individu yang memegang gelaran Dato' Johor ini berat termasuk berperanan dalam melantik waris kepada Sultan Johor.

“Mereka yang dianugerahkan gelaran Dato' Johor ini perlu mengangkat Sumpah Syarie di depan Mufti Johor bagi menjamin kemuliaan darjah kebesaran yang diberikan,” katanya.

Hamsan pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Pontian dan Batu Pahat pada 2005 hingga 2006, sebelum dilantik sebagai Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) Johor pada 2006.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn Bhd pada 2011 hingga kini.