Social Icons

Hina Sultan Johor dan PDRM, 3 NGO buat laporan polis

JOHOR BAHARU, 8 Nov (Bernama) -- Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor membuat laporan polis berhubung kenyataan menghina Sultan Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh seorang lelaki dalam laman sosial Facebook.

Laporan polis itu dibuat oleh Umno cawangan Taman Wawasan, Kelapa Sawit, Persatuan Bekas Tentera Malaysia Kulaijaya dan Persatuan Penggerak Pengguna Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya JUmaat.

Ketua Umno Cawangan Taman Wawasan, Kelapa Sawit Basiron Saimon yang mewakili ketua-ketua Umno Parlimen Kulaijaya meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap lelaki berkenaan.
"Saya membuat laporan polis agar satu siasatan dan tindakan tegas dikenakan kepada individu itu supaya menjadi pengajaran kepada mana-mana individu dari pelbagai bangsa agar tidak mengikut perbuatan seperti ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Pemilik akaun facebook yang didakwa menghina Sultan Johor dan PDRM itu bagaimanapun didapati telah memadamkan akaun laman sosialnya selepas status kenyataannya yang berbaur penghinaan itu tersebar.