Social Icons

SULTAN ABU BAKAR DUKACITA KEHILANGAN CUCUNDA SULUNG



Pada penghujung tahun 1892, Ungku Maimunah bt. Abdul Majid (Yang Amat Mulia Tunku Ampuan Johor) telah melahirkan seorang putera di Istana Semayam Johor Bahru. Malangnya, putera sulung Tunku Ibrahim (Sultan Johor Kedua : 1895-1959) itu mangkat tidak lama selepas diputerakan.

Kemangkatan cucunda sulung itu amat mendukacitakan Sultan Abu Bakar kerana baginda amat menantikan kehadiran pewaris kedua kerajaan Johor.

Bagaimanapun, impian Sultan Abu Bakar untuk menimang cucunda termakbul juga apabila Ungku Maimunah melahirkan seorang putera pada tanggal 28 Oktober 1894 dan dinamakan Tunku Ismail (Sultan Johor Ketiga : 1959-1981).

Malangnya, Sultan Abu Bakar hanya sempat bersama cucunda baginda itu lebih kurang 5 bulan sahaja apabila baginda jatuh gering dalam bulan Mac 1895 dan belayar ke England untuk mendapatkan rawatan dan kemudian mangkat di sana pada 4 Jun 1895. Al-Fatihah.