Social Icons

Sultan Johor Tinjau Mangsa Banjir Di Segamat


SEGAMAT, 5 Dis (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Khamis berkenan berangkat meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di sekitar daerah ini.

Sultan Ibrahim tiba di pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Pogoh 2, kira-kira pukul 3.40 petang dan beramah mesra serta bertanyakan tahap kesihatan kesemua mangsa.

Keberangkatan baginda yang turut menyampaikan bantuan barangan keperluan dan wang tunai menceriakan 26 keluarga yang berada di pusat pemindahan terbabit sejak empat hari lepas.

Baginda kemudian melawat dan menyampaikan bantuan yang sama kepada mangsa banjir di pusat pemindahan balai raya Kampung Paya Dalam dan balai raya Kampung Batu Badak.

Penghulu Mukim Pogoh Hamzah Abu Bakar ketika ditemui berkata 135 mangsa banjir dari Kampung Pogoh 2 masih ditempatkan di pusat pemindahan itu yang melibatkan 56 lelaki, 46 wanita, 32 kanak-kanak serta seorang bayi.

Beliau berkata kampung berkenaan kerap dilanda banjir, bagaimanapun, keadaan banjir ketika ini beransur pulih.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Azizah Mat Tap, 63, berkata keprihatinan Sultan Johor melawat rakyat yang berdepan dengan musibah membuatkannya berasa terharu.

"Saya amat gembira dengan kunjungan Sultan Ibrahim yang sekurang-kurangnya mengubat sedih dan susah hati kami," katanya yang berharap banjir cepat pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.