Social Icons

Kiyai Fadhil rujukan Istana Johor



DYMM Almarhum Sultan Ibrahim bersama Kiyai Fadhil
ketika baginda melawat Muar dalam tahun 1935.
Kiyai Fadhil mendapat perhatian istana Johor kerana ketika pemerintahan Jepun (1942 hingga 1945), Sultan Ibrahim yang mendapat layanan agak baik dari Jepun merasakan baginda serta kerabat tidak bebas dalam mengecapi kemakmuran seperti zaman sebelum perang.

Timbul hasrat mendapatkan ketenangan dan memohon keselamatan dari Allah SWT demi menyelamatkan kerajaan Johor dan keluarganya dengan apa cara sekali pun.

Atas nasihat beberapa insan yang arif, baginda mendekati beberapa ulama sufi yang mustajab doanya dan menitahkan mereka yang mempunyai keistimewaan kerohanian dibawa ke Istana Pelangi.

Bersama dengan tokoh lain, Kiyai Fadhil diperkenalkan oleh Datuk Othman Buang kepada baginda. Selepas diteliti, baginda memilih Kiyai Fadhil dan menegaskan beliaulah ulama yang dimimpikan sebelum ini. Hajat Sultan Ibrahim dipersetujui oleh Kiyai Fadhil.

Sultan menyediakan sebuah rumah berhampiran istana di Pasir Pelangi bagi memudahkan Kiyai Fadhil beramal dan beruzlah. Pada waktu malam, beliau berwirid di sebelah bilik peraduan Sultan.

Tidak lama selepas itu, beliau bercadang untuk tinggal di Masjid Pasir Pelangi kerana lebih mudah melakukan amalan wirid dan munajat selain masjid adalah tempat paling mulia dan lebih berkat.

Dengan amalan dan doa yang berterusan, akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa.

Setelah Perang Dunia Kedua tamat, baginda melantik dan menganugerahkan pangkat Mufti Peribadi Sultan. Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan kerana ia bertanggungjawab terus kepada Sultan.

Ia memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh Sultan. Selain anugerah kedudukan itu, Sultan Ibrahim juga membiayai Kiyai Fadhil dan isterinya menunaikan haji dan pelbagai ganjaran.

Hadiah paling besar daripada Sultan Ibrahim ialah keizinan menubuhkan kumpulan Wirid Khaujakan di seluruh Kerajaan Johor tanpa sebarang halangan. Amalan wirid Khaujakan masih subur hingga sekarang dan berkesinambungan di Johor seperti juga di beberapa tempat lain di seluruh dunia Islam.