Social Icons

PERLETAKAN BATU ASAS TAMBAK JOHOR

Pada hari ini 24 April dalam tahun 1920, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar meletakkan batu asas Tambak Johor. Upacara ini dihadiri bersama oleh Sir Lawrence Guillemard sebagai wakil kerajaan Negeri-negeri Selat. Batu asas ini telah diletakkan di bahagian tengah Selat Teberau antara Tanjung Puteri dengan Woodlands, Singapura.

Sebelum rancangan pembinaan tambak Johor ini dijalankan, beberapa skim telah dikemukakan untuk membina sebuah jambatan bagi menghubungkan Negeri Johor dengan Singapura. Tetapi oleh kerana tapak bagi pembinaan jambatan itu tidak meyakinkan, rancangan ini dibatalkan. Perbezaan perubahaan paras air surut antara 46 hingga 70 kaki memerlukan satu rentangan-terbuka untuk disesuaikan dengan perubahan paras air. Dengan rentangan terbuka ini bermakna pembinaan sebuah jambatan akan memerlukan perbelanjaan yang lebih banyak berbanding dengan pembinaan sebuah tambak. Akhirnya Pengarah Jabatan Kerjaraya Negeri-negeri Bersekutu, Mr W. Eyre Kenny mengemukakan cadangan bagi pembinaan tambak Johor. Tambak batu ini yang berukuran 3,465 kaki panjang dan 60 kaki lebar mengandungi tambakan batu pejal yang dianggarkan berjumlah setengah juta kaki persegi. Di atas tambak ini dibina landasan keretapi dua hala dan sebatang jalan raya selebar 26 kaki untuk kenderaan. Di sebelah kiri dan kanan tambak ini pula dibina lorong untuk berjalan kaki. Projek pembinaan tambak ini selesai dalam masa lima tahun dengan perbelanjaan sebanyak RM 17 juta.


Pada bulan Januari tahun 1942. tentera British telah mengebom tambak ini untuk menahan kemaraan tentera Jepun ke Singapura. Sepanjang 70 kaki dari bahagian tambak ini telah musnah. Kerosakan ini telah diperbaiki oleh pihak Jepun dua bulan kemudiannya. Hingga ke hari ini tambak Johor masih tetap utuh dan kukuh sebagai nadi perhubungan darat yang terpenting di antara Semenanjung Malaysia dengan Singapura.








No comments:

Post a Comment