Social Icons

Majlis Perasmian Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail

16 April 2011 - Majlis Perasmian Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Kota Tinggi telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (Tunku Mahkota Johor).


 

Majlis bermula jam 2.00 petang itu turut dihadiri oleh Y.B Dr. Mohd Puad bin Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran), Y.Bhg. Dr. Zahri bin Abd. Aziz (Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Sektor Operasi Pendidikan),Y.Bhg. Pn. Ee Hong (Pengarah Bahagian Sukan KPM), Y.Bhg. Tn. Hj. Markom bin Giran (Pengarah Pelajaran Johor). 


 

Pihak Jabatan Pelajaran Johor merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak sekolah atas kejayaan majlis tersebut.Pemilihan nama Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail untuk menggantikan nama Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) adalah bersempena nama anakanda sulung Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar iaitu Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.


 



DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (Tunku Mahkota Johor)
Tunku Ismail merupakan seorang putera raja yang mempunyai pendidikan dan disiplin yang tinggi setaraf dengan bakal raja. Baginda memulakan persekolahan di Sekolah Sri Utama Johor Bahru dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru sebelum meneruskan pengajian di Australian International School, Singapura dan Hale School, Perth, Australia mulai tahun 1999 hingga 2002. Tunku Ismail dihantar menjalani latihan ketenteraan dan pelajaran sebagai pegawai kadet di akademik tentera terulung, Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, mulai Julai 2003.


 

Dalam bidang sukan, Tunku Ismail begitu aktif dalam lapangan menunggang kuda dan sukan polo sejak kecil. Tunku Ismail juga dianugerahkan "Best in Riding" antara kadet-kadet IMA tahun 2003-2004 selain dipilih pemain Rejimen 61 Cavalry yang membawa kejayaan kepada rejimen itu memenangi beberapa piala kejohonan polo.


 

Tunku Ismail juga aktif dalam sukan bola sepak. Tunku Ismail sendiri merupakan salah seorang pemain dalam pasukan JMF United FC. Selain itu, Tunku Ismail juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan larian sejauh 3.8 kilometer dengan membawa beg galas seberat 20 kilogram dalam Larian Perdana Mahkota di Bandaraya Johor Bahru pada 12 Februari 2011.




Tunku Ismail menempa sejarah apabila menjadi rakyat dari negara luar yang pertama mengetuai pasukan tentera India pada perbarisan hari kebangsaan negara itu pada 26 Januari 2007. Dengan berpangkat kapten, Tunku Ismail mengetuai rejimen berkuda memberi tabik hormat kepada Presiden India, Dr. APJ Abdul Kalam ketika itu semasa sambutan hari kebangsaan ke-58 yang turut dihadiri tetamu khas termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin.