Social Icons

23 FEBRUARI PERISTIWA BUKIT KEPONG


23 FEBRUARI PERISTIWA BUKIT KEPONG

SELEPAS Jepun berundur pada Ogos 1945, penduduk Tanah Melayu melalui satu zaman lagi yang penuh dengan ketakutan.

Berbeza ketika pendudukan Jepun, keadaan selepas 1945 lebih mengerunkan kerana pada masa itu komunis bermaharajalela. Keganasan mereka tidak mengira waktu, tempat dan mangsa. Mereka akan menyerang kampung, membakar rumah serta kebun untuk menakut-nakutkan penduduk dan mencuri bahan makanan.

Angka tepat mereka yang dibunuh komunis mungkin tidak akan diketahui. Begitu juga jumlah sebenar serangan yang telah mereka lakukan. Namun Holistik berusaha mengesan peristiwa hitam yang membabitkan komunis di Johor dengan bantuan Muzium PDRM dan berikut adalah antaranya:

Bersejarah.. Pondok Polis Bukit Kepong yang dibina diatas tapak balai yang hangus dibakar komunis

INILAH serangan paling berani komunis terhadap pasukan keselamatan. Ia dilakukan dengan penuh perancangan yang membabitkan tiga kumpulan.

Komunis menugaskan 100 orang dalam pasukan utamanya yang menyerang bahagian belakang sasaran dan 40 lain yang mengempur melalui pintu masuk utama. Kumpulan ketiga yang terdiri
daripada 45 lagi komunis diletakkan di garisan belakang pasukan penyerang ini untuk menyekat sebarang bantuan daripada sampai ke sasaran mereka – Balai Polis Bukit Kepong.

Tembakan pertama ke arah pejabat balai dilepaskan pada kira-kira pukul 4.30 pagi. Mulai saat itu, selama hampir lima jam berikutnya balai polis dan berek kediaman anggota dan keluarga dihujani peluru tanpa henti dari komunis yang ada antaranya bersenjatakan mesingan.

Sekali-sekala terdengar ledakan bom tangan. Congakan komunis bahawa balai polis itu mudah ditawan berdasarkan kepada bilangan mereka yang jauh lebih besar, meleset. Meskipun hanya
23 anggota termasuk lima Auxiliary Police (AP) yang kebetulan berada di balai ketika itu, semangat mempertahankan kedaulatan tanah air begitu membara dalam hati sanubari mereka.

Musnah...Beginilah keadaan balai selepas dibakar komunis.
Api kemarahan terhadap komunis bertambah marak melihatkan seorang demi seorang rakan gugur. Ia ditambah lagi apabila melihat isteri dan anak turut menjadi korban. Tentangan yang diberikan amat di luar dugaan.

Sejarah mencatatkan ada isteri anggota polis yang suaminya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan turut menggalas senjata membalas serangan.

Komunis bernasib baik kerana hanya apabila pasukan keselamatan kehabisan peluru, barulah mereka dapat mara ke dalam kawasan balai.

Terlalu marah kerana diaibkan dengan semangat juang tinggi hanya sekumpulan kecil anggota pasukan keselamatan, mereka membakar balai berkenaan.

Di akhir pertempuran, 14 anggota polis dan lima AP gugur selain empat anggota keluarga mereka.

7 Ogos 1943 - Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi
Segerombolan komunis menyerang pekerja Ladang Getah Telok Sengat yang sedang seronok menyaksikan tayangan gambar di ladang itu. Pengurus ladang berkenaan dibunuh manakala bangunan dibakar. Mereka juga melarikan dua lori sarat berisi beras.

14 September 1948 - Layang-Layang
Sebuah keretapi malam dari Kuala Lumpur ke Singapura telah digelincirkan menggunakan bahan letupan berhampiran Stesen Keretapi Layang-Layang. Motif serangan dipercayai untuk merompak namun ia gagal.

8 Mac 1949 - Johor Bahru
Seorang anggota polis terkorban apabila pasukannya diserang hendap pengganas. Operasi besar-besaran yang dilancarkan serta-merta menyaksikan empat orang komunis dibunuh.

8 Jun 1949 - Kampung Batu Enam, Segamat
Komunis melakukan antara serangan yang paling berani apabila mereka menembak mati seorang pemilik kedai. Sepasukan anggota keselamatan yang dihantar untuk menyiasat kejadian itu sebaliknya diserang hendap. Pertempuran sengit berlaku dan anggota keselamatan berjaya membunuh empat orang komunis dan merampas sejumlah senjata api. Malangnya seorang rakan mereka terkorban dan seorang lagi cedera.


17 Mac 1950 - Kempas
Komunis membakar bangunan Stesen Keretapi Kempas dan merampas kad pengenalan mereka yang berada di stesen berkenaan.

27 Mac 1950 - Kota Tinggi
Menahan dua buah bas di Kota Tinggi dan merampas kad pengenalan serta wang penumpang.

27 Mac 1950 - Batu 8 Jalan Endau, Mersing
Komunis membunuh seorang pemandu bas awam dan merampas kad pengenalan penumpang.

12 Februari 1951 - Gelang Patah
Beribu-ribu pokok getah di Ladang Selbourne telah dimusnahkan manakala pekerjanya dirompak.

19 Jun 1951 - Kulai
Sepasukan tentera Gurkha bertempur dengan segerombolan komunis menyebabkan tiga pengganas terbunuh dan tiga lagi cedera. Dalam pertempuran itu, beberapa pucuk senjata api beserta sejumlah besar peluru, bom tangan dan bahan makanan dirampas.

29 April 1955 - Renggam
Sepasukan peronda dari Batalion Pertama East Yorks Rejiment bertempur dan membunuh dua komunis serta mencederakan seorang lagi.

13 Februari 1956 - Tangkak
Sepasukan peronda dari Batalion Pertama Tentera Fiji bertempur dengan pengganas komunis dan membunuh lima orang.

13 Ogos 1957 - Tangkak
Sepasukan pasukan rondaan bersama tentera dan polis bertempur serta membunuh tiga orang komunis.

27 Disember 1957 - Tangkak
Lima orang komunis menyerah diri kepada eorang awam di Tangkak.

18 Januari 1958 - Segamat
Seorang penoreh getah dikejutkan dengan kehadiran empat orang komunis yang ingin menyerah diri kepada pasukan keselamatan.­



No comments:

Post a Comment