Social Icons

MENTERI BESAR JOHOR







[MB+Johor+1.jpg]



Dato’ Jaafar bin Muhammad (1886 - 1919)


DILANTIK menjadi Menteri Besar Johor yang pertama oleh Sultan Abu Bakar pada 1886 sehinggalah meninggal dunia pada 1919. Beliau yang dilahirkan pada 1838 di Teluk Belanga, Singapura, amat tegas dalam menjalankan tugasnya sepanjang 33 tahun sebaMegai Menteri Besar. 


Ini boleh diperhatikan melalui tindakannya mewajibkan semua pegawai British yang berkhidmat di Johor, supaya memakai pakaian rasmi Kerajaan Johor. Selain itu, bendera Union Jack iaitu bendera kerajaan British, tidak boleh dikibarkan lebih tinggi daripada bendera negeri Johor.
Bangunan Dato' Jaafar


Dato’ Jaafar juga memestikan semua urusan surat-menyurat mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu. 


Beliau juga mengubahsuai pakaian lelaki dan perempuan Melayu Johor, daripada bentuk asal rekaan Sultan Abu Bakar kepada yang ada pada hari ini. Lebih penting, beliau bersama-sama Sultan Abu Bakar menggubal Undang-undang Tubuh Kerajaan supaya Johor kekal bebas dari cengkaman British.






Dato’ Mohamed bin Mahbob (1920 - 1922)



DILAHIRKAN pada tahun 1852, Dato’ Mohammad pernah berkhidmat di Negeri-Negeri Selat dan berpengalaman luas dalam perkhidmatan pendidikan di Negeri Johor sebelum dillantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri pada 1902 dan akhirnya ke jawatan Menteri Besar pada 1920.


Daripada seorang inspektor pendidikan, beliau diberi kepercayaan memikul tugas demi tugas termasuk sebagai Presiden Jabatan Pelajaran Johor, Presiden Jabatan Pelajaran Melayu, Pesuruhjaya Polis Muar dan Pesuruhjaya Kerajaan di Muar.

Apabila Dato’ Jaafar meninggal dunia, beliau dilantik memangku jawatan Menteri Besar sebelum disahkan dalam jawatan pada 6 Julai 1920. Bagaimanapun beliau sempat berkhidmat selama dua tahun sebelum bersara pada September 1922. 




[MB+Johor+3.jpg]

Dato’ Abdullah bin Jaafar (1926 - 1928)




BAPA borek anak rintek, begitulah Dato’ Abdullah mengikut jejak bapanya, Dato’ Jaafar dengan Menjadi Menteri Besar. Cuma, jalan ceritanya berbeza apabila beliau menjadi Menteri Besar Johor pertama menerima latihan ketenteraan.


Dilahirkan pada 1875, beliau memulakan kerjayanya sebagai anggota tentera Johor berpangkat kapten pada 22 Februari 1897. Beliau juga dilantik terlebih dahulu memangku jawatan Menteri Besar mulai September 1922 sebelum diisytiharkan terus memegang jawatan itu pada Januari 1926.

Beliau berkhidmat selama tiga tahun dan berpindah ke Singapura sehingga meninggal dunia pada 1934.






[MB+Johor+4.jpg]




Dato' Mustapha bin Dato' Jaafar (1928 - 1931)

JEJAK Dato’ Abdullah diikuti oleh saudaranya, Dato’ Mustapha. Beliau yang ketika itu menjadi Timbalan Menteri Besar, dilantik oleh Sultan Ibrahim menjadi Menteri Besar Johor mengantikan Dato’ Abdullah.


Beliau yang lahir pada 1862 di Teluk Belanga, memulakan kerjaya sebagai kerani di Pejabat Dato’ Bendahara. Pada 1903 beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat dan Pemeriksa Besar Kira- Kira Kerajaan.

Pada 1 Julai 1931 Dato’ Mustafa telah bersara daripada jawatannya iaitu setelah berkhidmat lebih kurang 50 tahun sebagai pegawai kerajaan Johor.




[MB+Johor+5.jpg]


Dato' Abdul Hamid bin Yusof (1931 - 1934)



DILAHIRKAN pada 17 Oktober 1876, beliau telah dilantik menjadi Menteri Besar Johor yang kelima pada 1931 hinggalah meninggal dunia di Johor Bahru pada 28 Disember 1934.


Karier beliau bermula sebagai prebet dalam pasukan Askar Johor sebelum dinaikkan pangkat ke Lans Koperal dan tahap demi tahap hingga ke pangkat Leftenan Kolonel pada 1919.

Beliau yang pernah menjadi pemerintah tentera di Muar, mendapat penghargaan Menteri Jajahan Takluk British kerana jasanya dalam Perang Dunia Pertama. Pada tahun 1920, beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor.






[MB+Johor+6.jpg]



Engku Abdul Aziz bin Abdul Majid (1934 - 1947)



SEORANG lagi Menteri Besar Johor yang mendapat latihan ketenteraan. Malah, beliau yang lahir pada 7 Ogos 1887, telah dihantar oleh Sultan Ibrahim ke England selama tiga tahun untuk melanjutkan pelajaran pada 1905.


Pada Mei 1909, Ungku Abdul Aziz memulakan kerjaya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

Pada 1919 beliau ditukarkan berkhidmat dalam pasukan askar Johor dengan pangkat Kadet dan pada akhir bulan Mei 1912, dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Muda serta menjadi Pemangku Pengiring Sultan.

Pada awal bulan Ogos 1923, Ungku Abdul Aziz telah dinaikkan pangkat Mejar iaitu pegawai yang memerintah Pasukan Sukarelawan di Johor Bahru, sebelum menjadi Menteri Besar.


[MB+Johor+7.jpg]

Dato' Onn bin Dato' Jaafar (1947 - 1950)

SEORANG lagi anak Dato’ Jaafar mengikut jejaknya. Tokoh yang tak perlu diperkenalkan ini adalah anak ketiga Menteri Besar yang pertama.

Beliau mendapat pendidikan awal di Johor Bahru bersama-sama dengan putera-putera Sultan Ibrahim dan ikut serta belajar di England.

Sekembalinya ke tanah air, beliau belajar pula di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Dato’ Onn pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang tidak berjawatan serta dilantik menjadi Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Johor (Pemangku Raja).

Beliau kemudian bertukar ke Batu Pahat dan memegang jawatan Pegawai Daerah. Bermulalah perjuangannya menentang penubuhan Malayan Union. Namun, beliau adalah anak Melayu pertama menerima anugerah Sir dari Kerajaan British.

Dilantik menjadi Menteri Besar pada 17 September 1947, ketika merayakan ulang tahun Keputeraan Sultan Ibrahim. 


[MB+Johor+8.jpg]

Dato' Syed Abdul Kadir bin Mohamed (1950 - 1955)

MENTERI Besar Johor kelapan ini dilahirkan pada 5 Jun 1900. Mula berkhidmat dengan kerajaan pada 9 Januari 1918 sebagai kerani kelas III di Pejabat Bandaran Muar.

Beliau kemudian memangku jawatan kerani kelas IIB dan seterusnya disahkan dalam jawatan tersebut pada 1923.

Pada 6 Oktober 1925, Dato’ Syed Abdul Kadir menjadi Setiausaha Pejabat Bandaran Muar.
Berikutan kebolehan dan kecekapannya yang terserlah, beliau dilantik sebagai Setiausaha Jabatan Bandaran Johor Bahru pada 1 Julai 1938 hinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Selepas perang, beliau diberi kepercayaan menjadi Yang Dipertua di jabatan yang sama.

Ketika di Muar, beliau terkenal sebagai tokoh yang bergiat dalam lapangan ‘Persekutuan Bahasa Melayu’ serta lapangan bahasa dan persuratan Melayu di Kelab Muar. Beliau adalah penyokong kuat Dato’ Onn dalam menentang penjajah, termasuklah ketika menubuhkan Umno. Malah, beliau menjadi Menteri Besar dengan sokongan Dato’ Onn sendiri pada Febuari 1952. Beliau meninggal dunia pada 3 Jun 1960.





[MB+Johor+9.jpg]

Dato' Wan Idris bin Ibrahim (1955 - 1959)

BELIAU yang lahir pada 3 Oktober 1888 pernah mendapat pendidikan bersama anak-anak pembesar Johor di England.

Bermula sebagai kerani di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, beliau menjadi Timbalan Pesuruhjaya Kastam Kelas II di Muar, Pemangku Bendahari Negeri Johor dan Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat.

Beliau meninggal dunia pada 1973. 




[MB+Johor+10.jpg]

Tan Sri Hj. Hassan bin Yunus (1959 - 1967)

JOHOR seterusnya dipimpin oleh tokoh berlatarkan pendidikan agama.

Dilahirkan di Muar pada 1907, beliau mendapat pendidikan di bidang Syariah di Universiti Al-Azhar.

Beliau adalah Menteri Besar Johor pertama dilantik secara politik melalui sistem demokrasi.

Beliau banyak membangunkan infrastruktur di daerah-daerah di negeri Johor terutama penempatan penduduk dan jalan raya bertar bagi menghubungkan antara daerah.

Beliau meninggal dunia pada 12 Julai 1968.


[MB+Johor+11.jpg]

Tan Sri Hj. Othman bin Saad (1967 - 1982)



DARIPADA seorang ahli perniagaan, beliau memegang tampuk pemerintahan negeri lebih 15 tahun. Dilahirkan di Muar pada 1927, beliau mendapat pendidikan Sekolah Melayu, Inggeris dan juga Arab.

Beliau telah menyertai Umno sejak parti itu ditubuhkan pada 1946 dan meningkatkan kerjayanya sehingga menjadi Menteri Besar ke-11.

Beliau meninggal dunia pada 27 October 2007.



[MB+Johor+12.jpg]

Dato' Abdul Ajib bin Ahmad (1982 - 1986)

DILAHIRKAN pada 13 September 1947 di Segamat Johor, beliau memulakan persekolahannya di Sekolah Bukit Hampar dan merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang ekonomi.

Sebelum menjadi Menteri Besar Johor pada 27 April 1982, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Tun Musa Hitam dari tahun 1975 hingga1982.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum  kembali menerajui Johor.

Beliau meninggal dunia pada 3 Februari 2011.


[MB+Johor+13.jpg]

Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Mohd. Yassin (1986 - 1995)

ANAK kelahiran Muar pada 15 Mei 1947 ini, mendapat pendidikan formal dalam bidang sastera dengan pengkhususan di bidang ekonomi di Universiti Malaya.

Kariernya bermula sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (bahagian latihan dan biasiswa).
Beliau kemudian menjadi Penolong Pegawai Daerah Muar, sebelum meletakkan jawatan untuk menerokai bidang korporat.

Pada 1982, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Luar yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Dari Jun 1983 hingga Julai 1986 beliau menjadi Timbalan Menteri  Perdagangan dan Perindustrian.

Pada 13 Ogos 1986, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar sehingga Pilihanraya Umum 1995.

Beliau kemudian kembali bertanding sebagai di kerusi Parlimen Pagoh, dan kini menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.


[MB+Johor+14+(1995-kini).jpg]

Dato' Hj. Abdul Ghani bin Othman (1995 - kini)


SEORANG lagi anak kelahiran Muar, diberi kepercayaan menerajui Negeri Johor.

Dilahirkan pada 14 November 1946 di pecan Sungai Mati, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Ledang dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar.

Beliau mendapat biasiswa Colombo Plan untuk melanjutkan pelajarannya di Australia. Peluang itu disempurnakannya dengan memperolehi sarjana muda ekonomi dan sarjana ekonomi politik.

Sekembalinya ke tanah air pada 1974, beliau menjadi pensyarah di Universiti Malaya sehingga diberi kepercayaan menjadi Dekan Fakulti Ekonomi.

Beliau kemudian menapak dalam arena politik, sehingga mendapat kepercayaan pula dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada 1984.

Bermulalah kariernya daripada seorang ahli akademik kepada ahli politik. Beliau kemudian memenangi kerusi Parlimen Ledang dan terus dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos dari tahun 1987 – 1990; dikuti sebagai  Timbalan Menteri Kewangan serta sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 1 Disember 1993.
Selepas itu beliau bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri dan dilantik menjadi Menteri Besar ke-14 mulai 5 Mei 1995.

3 comments:

  1. bangga sebagai anak muar kerana kebanyakan Menteri Besar Johor anak kelahiran Daerah Muar..

    ReplyDelete