Social Icons

Pontian tidak sekadar lagi pekan persinggahan

Sumber ekonomi...Nanas yang menjadi identiti Pontian.

PONTIAN mula berkembang sekitar abad ke-18 apabila pedagang yang kerap menggunakan Selat Melaka menjadikannya sebagai tempat persinggahan. Lama-kelamaan ia menjadi semakin terkenal yang menyaksikan kepesatan pembukaan kampung terutama di sepanjang pantai. Pembangunannya semakin ketara selepas tahun 70an dengan pembinaan kawasan perumahan dan perindustrian.

Namun, pertanian masih merupakan tunjung ekonomi daerah ini kerana hampir 70 peratus tanah di Pontian digunakan untuk sektor berkenaan. Pegawai Daerahnya Burhan Amin berkata, nanas merupakan hasil utama pertanian bersesuaian dengan struktur muka buminya yang bertanah gambut.

“Nanas ditanam dengan meluas dan menjadi simbol kebangaan masyarakat daerah ini. Projek Johor Barat yang dilaksanakan pada 1970 juga menyumbang kepada peningkatan pengeluaran nanas di Pontian,” katanya.

Projek itu menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda ladang nanas yang terletak di kawasan bertanah rendah. Burhan berkata selain manfaat scara langsung yang dinikmati pekebun nanas, masyarakat juga menikmati limpahannya apabila beberapa kilang memproses buah itu dibuka yang menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka. Sinonimnya nanas dengan daerah ini, sebuah Muzium Nanas juga dibuka yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Pontian.

Seperti daerah lain, Pontian turut mempelbagaikan aktiviti ekonominya untuk memastikan daerah itu maju seiring pembangunan negara.

Sektor pelancongan perindustrian diberi penekanan. Konsep homestay diperkenalkan terutamanya di kawasan Serkat di mana terletaknya Tanjung Piai, hujung tanah paling selatan benua Asia.

Burhan berkata selain itu, kewujudan restoran makanan laut di Kukup yang sentiasa sesak dengan pengunjung turut menyumbang kepada ekonomi setempat.

Menurutnya satu perkara mengenai Selat Kukup yang mungkin tidak diketahui ramai ialah aktiviti ternakan ikan air masin yang semakin berkembang di kawasan itu.

“Tanpa disedari ramai, kawasan penternakan ini adalah yang terbesar di Malaysia,” katanya.

Sektor perindustrian daerah ini banyak bertumpu di Pekan Nenas. Puluhan kilang memenuhi kawasan ini sementara gerai usahawan kecil-kecilan yang menjual makanan muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Semuanya saling lengkap melengkapkan dengan wawasan memantapkan pembangunan Pontian. Sumber ekonomi. Nanas yang menjadi identiti Pontian.