DERETAN sampan yang ditambat bersusun di muara Sungai Mersing menyediakan pemandangan klasik Bandar pinggir Laut Cina Selatan ini. Suasana hirok-pikok jetinya dengan perahu nelayan dan bot pelancong mengesahkan status daerah ini sebagai status daerah Mersing tempat percutian.
Mersing yang menurut sejarah dibuka pada 1892 oleh Dato’ Bentara Luar Mohamad Salleh Perang memang cukup terkenal dengan keindahan pulaupulaunya. Namun mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa bandarnya pernah satu ketika dahulu musnah dibakar semasa pendudukan Jepun. Yang tinggal hanyalah bangunan yang kini menempatkan Majlis Daerah Mersing.
Keadaan bagaimana pun jauh berubah selepas merdeka yang menyaksikan kepesatan pembangunan daerah ini terutamanya bandarnya. Selain bertambahnya bilangan bangunan baru, pembukaan Bandar Baru Tepian Sungai Mersing memperlihatkan keazaman kerajaan membangunkan daerah ini.
“Pembangunan yang berlaku di Mersing amat ketara,” kata Pegawa Daerahnya Asmail Kadir. Sebagai contoh, katanya, Bandar Baru Tepian Sungai Mersing dibina dengan deretan gerai yang tersusun.
Menurutnya keadaan kawasan di sekitar jeti Mersing pula lebih menarik berbanding dahulu. “Berdasarkan gambar-gambar lama, jeti itu dipenuhi sampan dan tongkang tetapi kini kita boleh melihat deretan dengan bot pelancong serta kapal kegiatan perikanan laut dalam,” katanya.
Mersing juga menggunakan kelebihannya sebagai daerah pesisir Laut Cina Selatan untuk memajukan sektor pelancongan. Lokasi perkelahan seperti Pantai Air Papan, Pantai Penyabong dan Pantai Tanjung Leman adalah tumpuan terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
Keindahan Pulau Sibu, Pulau Rawa, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur memang menjadi bualan penggemar aktiviti menyelam. Perairan Mersing juga syurga kepada kaki pancing dari serata negara.
Asmail berkata aktiviti ini menawarkan peluang pendapatan kepada penduduk dengan menyediakan perkhidmatan bot untuk ke pulau-pulau atau memancing.
Selain itu, Mersing juga memiliki khazanah hutan semulajadi yang masih utuh terpelihara iaitu Taman Negara Endau Rompin dan Hutan Lipur Gunung Arong.
Asmail berkata perkembangan pesat sektor pelancongan menjadikan ia antara penggerak utama aktiviti ekonomi Mersing selain perikanan.
“Kedatangan pelancong ke daerah ini terutama untuk ke pulau-pulau bertali-arus. “Sehingga Jun lepas, lebih 6,000 pelancong telah mengunjungi pulau berkenaan dan kta percaya angka itu akan terus meningkat,” katanya.