Social Icons

Dendam Inggeris Kepada Abdul Rahman Andak


Dato’ Sri Amar DiRaja Abdul Rahman Andak
(1859-1930)
INGGERIS cukup geram dengan Dato’Abdul Rahman Andak. Walaupun beliau mungkin tidak terlibat secara langsung dengan perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air, tetapi usahausahanya menentang dasar-dasar penjajah Inggeris melayakkan namanya sebaris sebagai seorang tokoh yang wajar diabadikan.

Beliau dilahirkan di Teluk Belanga, Singapura sekitar 1855. Antara 1871-1878, beliau menuntut di England. Pendidikan yang diterima dan pengalaman yang diperolehi selama lapan tahun di London telah membentuk peribadi, falsafah dan prinsip hidupnya. 

Sepanjang hidupnya, beliau menjalankan beberapa tugas termasuk Setiausaha Sulit dan Penasihat kepada sultan Johor, setiausaha di sekretariat kerja-kerja terjemahan, Setiausaha Kerajaan Johor, dan Menteri Hal-Ehwal Luar Negeri Johor. 

Ketika menjadi setiausaha sulit kepada Sultan Abu Bakar, beliau telah memainkan peranan penting menasihati sultan supaya menolak hasrat Inggeris mahu melantik seorang Residen British di negeri Johor, yang akan meletakkan Johor sebagai jajahan takluk British. 

Beliau dibawa oleh Sultan Abu Bakar ke London untuk merundingkan hal itu bersama-sama dengan adinda sultan Ungku Muhammad Khalid dan Dato’ Seri Setia Diraja Abdullah Tahir.
Sir John Anderson, 
Gabenor Negeri-negeri Selat 1904-1911
Sepanjang perbincangan dengan pihak Inggeris, Abdul Rahman menasihati Sultan Abu Bakar supaya menentang hasrat meletakkan Residen British di Johor, sebaliknya mengemukakan cadangan balas agar British meletakkan seorang pegawai yang bertaraf konsul, iaitu bertugas sebagai pegawai dalam Jabatan Konsul. 

Cadangan itu kemudiannya dipersetujui oleh pihak British dan satu perjanjian yang dikenali sebagai “Perjanjian Setia”. Abdul Rahman telah menandatangai perjanjian ini sebagai saksi bagi pihak Kerajaan Johor. 










Sikap anti-penjajah Abdul Rahman sekali lagi terserlah apabila beliau (yang ketika itu menjadi Menteri Hal-ehwal Luar Negeri dan juga penasihat peribadi kepada Sultan Ibrahim) menasihati sultan supaya menolak tawaran Inggeris untuk meminjamkan wang kepada kerajaan negeri Johor bagi membina jalan kereta api dari Segamat ke Johor Bahru. 
Beliau tidak menyetujui cadangan itu kerana mengesyaki ia adalah satu muslihat Inggeris untuk campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri. 

Penolakan cadangan menawarkan pinjaman wang itu menyebabkan pihak Inggeris tidak menyenangi kehadiran Abdul Rahman dalam pemerintahan negeri Johor. 

Orang Inggeris percaya bahawa Abdul Rahmanlah yang memainkan peranan menasihati Sultan Ibrahim supaya menolak tawaran itu. Gabenor Negeri-Negeri Selat ketika itu, John Anderson, juga tidak setuju Abdul Rahman menjadi penasihat sultan. Beliau malah menggelar Abdul Rahman the little rascal. 

Pada 1907, atas usaha John Anderson, Abdul Rahman diberhentikan daripada perkhidmatan negeri Johor. Anderson mendesak Sultan Ibrahim supaya menamatkan perkhidmatan Abdul Rahman dengan diberi pencen $1,000 setahun dan pergi menetap di Eropah. 





Antara alasannya ialah Abdul Rahman menjual rahsia kerajaan kepada golongan Cina, sedangkan motif sebenar Inggeris ialah untuk meneruskan projek pembinaan jalan kereta api yang sebenarnya bermotifkan politik. 

Ini terbukti apabila selepas ketiadaan Abdul Rahman, beratus-ratus pegawai British dibawa masuk bekerja dengan Kerajaan Johor.