GAH...Istana Negara, Jalan Duta lambang kemegahan baru. |
MEMAKAI persalinan busana indah berharga ratusan ringgit, wajah polos milik wanita bergelar pembantu tadbir istiadat ini turut disolek menggunakan produk kecantikan mahal oleh jurusolek profesional sebelum menggalas tanggungjawab mengiringi puteri pengantin kerabat diraja ke singgahsana sebagai pengapit.
Biarpun sudah menerima pendedahan awal mengenai istiadat istana, Nora Mat Yusof, diarahkan mengikuti sesi penerangan berhubung perjalanan majlis perkahwinan diraja untuk memastikan semuanya berlangsung dengan lancar, 10 tahun lalu.
PINDAH...simbolik perpindahan Istana Negara baru di Jalan Duta disempurnakan Rejimen Askar Melayu Diraja. |
“Perasaan teruja sememangnya ada tetapi rasa khuatir lebih menguasai diri, tambahan pula yang berkahwin itu bukanlah orang kebanyakan sebaliknya kerabat diraja.
“Syukur apabila semuanya berakhir dengan lancar. Saya dan pasangan sentiasa berkomunikasi bagi memastikan setiap langkah, pergerakan dan tertib tersusun halus serta lembut. Termasuk cara menyerahkan bunga rampai kepada tetamu kehormat.
TURUN...perarakan keluar pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja selepas istiadat menurunkan bendera Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Jalan Istana. |
Mengagumi setiap istiadat yang dilaksanakan sepanjang majlis perkahwinan berkenaan, Nora menganggap dirinya bertuah kerana menyaksikan semua adat istana dengan sempurna tanpa perlu menonton pada televisyen. Pengalaman itu antara nostalgia indah yang dilalui Nora sepanjang berkhidmat di istana lama. Kini perjuangannya untuk memberi khidmat terbaik kepada Yang di-Pertuan Agong dan keluarganya diteruskan di bangunan istana baru serba canggih.
Memulakan kerjaya di Bahagian Bentara seawal usia 19 tahun, wanita tiga anak itu tidak pernah bermimpi untuk menyaksikan kehidupan ‘orang’ istana dari dekat terutama di tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong, iaitu Istana Negara.
Mengabdikan diri hampir 27 tahun kepada beberapa Yang di-Pertuan Agong, Nora mengakui perasaannya bercampur-baur apabila terpaksa berpindah tempat kerja dari mahligai di Jalan Istana ke istana baru di Jalan Duta berkuat kuasa 11 November lalu.
Menurut Nora, terlalu banyak kenangan manis dilakar dalam hidupnya sepanjang bertugas di istana lama, terutama kali pertama menjejak kaki membiasakan diri dan bertatih mempelajari pertuturan bahasa istana.
Baginya, Istana Negara, Jalan Istana diibaratkan rumah kedua kerana beliau lebih banyak menghabiskan masa di mahligai bersemayam Yang di-Pertuan Agong itu.
Memulakan tugas di zaman pemerintahan Yang di-Pertuan Agong kelapan, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, Nora menganggap lokasi asal Istana Negara bertentangan Jalan Syed Putra, di tepi Bukit Petaling sebagai strategik biarpun memiliki keluasan hanya 11.34 hektar berbanding 97.65 hektar di Jalan Duta.
Katanya, kedudukan strategik di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur memudahkan laluan trafik berbanding lokasi lain.
Berfikiran positif, Nora berbangga apabila Istana Negara akhirnya memiliki bangunan sendiri berbanding istana lama yang dahulunya banglo milik seorang jutawan dari China sebelum dijadikan Mes Pegawai Tentera Jepun selama tiga tahun.
Sejurus berakhirnya pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, bangunan berkenaan dibeli kerajaan negeri Selangor sebelum diambil alih Kerajaan Persekutuan pada 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad.
Bagi Pegawai Khidmat Pelanggan Istana Negara, Hamid Sulaiman, 55, beliau menghabiskan zaman mudanya berkhidmat kepada pemerintah selama 37 tahun, bermula sebagai pembantu telefon pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Sultan Badlishah dan kini giliran itu kembali kepada pemerintah negeri Kedah berkenaan.
Memori paling menyentuh perasaannya sepanjang bertugas di Jalan Istana, apabila Yang di-Pertuan Agong ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman menyuarakan cadangan untuk mengasuh anak bongsu sejurus kematian permaisurinya, 17 tahun lalu, atas dasar simpati.
Menyedari status hidup berbeza ibarat gagak dan merak berbanding kerabat diraja, beliau merendah diri menolak baik cadangan baginda dan sekali gus kenangan itu membuktikan ketulusan serta kemuliaan hati pemerintah berkenaan.
Pernah berkhidmat dengan sembilan ketua negara, Hamid mengakui setiap Yang di-Pertuan Agong memiliki keistimewaan tersendiri.
Bermula daripada kosong, beliau mengutip setiap pengalaman dan sentiasa menambah pengetahuan baru mengenai kehidupan istana selain mengakui pernah menerima teguran daripada ketua negara berkenaan.
Baginya, Istana Negara, Jalan Istana memberi pelbagai kenangan manis apatah lagi seakan mustahil untuk orang kebanyakan sepertinya berpeluang menyelami kehidupan di kalangan kerabat diraja.
Lebih menarik, lelaki ini akan berjalan kaki sejauh lima kilometer setiap hari dari Stesen Bas Klang ke Jalan Istana sejak bergelar kakitangan Istana Negara bermula 1975.
“Saya bekerja mengikut syif, selalunya dari rumah ke pusat bandar, saya akan menaiki bas ke Pasar Seni. Kemudian, saya akan berjalan kaki sambil memegang botol air menuju ke Istana Negara.
“Apabila setiap hari melakukan rutin sama, saya hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk tiba di istana tapi kini, anak memainkan peranan menghantar dan mengambil saya di sini (Jalan Duta),” katanya ketika ditemui.
Berbeza pula pengalaman dilalui Pembantu Am Istana Negara, Zubir Abdullah, 53, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pelayan apabila berlaku kesilapan mengurus atur kakitangan ketika majlis bersantap Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.
“Saya pernah ditegur Tuanku apabila saya tidak berada di sisinya ketika baginda bersantap. Sudah menjadi rutin, baginda mahu saya melayannya terutama dalam penyediaan minuman.
“Dalam kejadian itu, saya sebagai ketua terpaksa ke dapur untuk mengangkat hidangan baginda. Kemudian, baginda bangun mengekori dan menegur kenapa saya tidak menemaninya. Lantas saya memohon ampun sebelum menerangkan kejadian sebenar.
“Baginda sangat toleransi dan memahami kesilapan itu. Malah sempat memberi teguran supaya saya lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya yang kelihatan sedih ketika mengimbas kembali kenangan berkenaan.
Hampir 27 tahun berkhidmat dalam bidang makanan, beliau mengakui pekerjaannya memberi peluang untuk bertemu ramai tokoh negara serta orang kenamaan asing.
Ketua Bentara, Ahmad Awang, 53, pula menganggap perpindahan ke Jalan Duta sebagai sesuatu yang positif biarpun berbeza lokasi namun budaya kerja masih
lagi sama.
Berkhidmat selama 24 tahun dengan Istana Negara, beliau pernah menerima tiga pingat dianugerahkan Yang di-Pertuan Agong termasuk Bentara Setia Diraja, Pingat Pangkuan Negara dan Bentara Setia Wilayah.
Bertanggungjawab memastikan segala urusan seperti menyambut tetamu bagi majlis rasmi dan tidak rasmi dalam mahupun luar istana, beliau pernah mengalami kemalangan termasuk kapal terbang terhempas di Miri ketika sesi lawatan Yang di-Pertuan Agong kesembilan, Sultan Azlan Shah ke Sarawak.
Lebih mengharukan, bagi mengenang jasanya berkhidmat untuk negara, baginda mengurniakan bintang Bentara Setia Diraja kepada semua kakitangan yang terbabit dalam kemalangan berkenan.
Selain berpeluang memayungkan Yang di-Pertuan Agong ketika majlis istiadat, Ahmad turut memiliki kesempatan memayungkan kerabat diraja asing termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Jepun, Akihito.