Social Icons

Sultan Iskandar tepikan protokol



KEMANGKATAN Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Al Haj ibni Armarhum Sultan Ismail pada usia 78 tahun semalam amat dirasai. Sultan Iskandar akan terus dikenang sebagai seorang sultan yang penuh dengan ceritera berwarna- warni.

Menjadi Sultan Johor selama 28 tahun, baginda cukup dikenali sebagai seorang pemimpin yang sanggup mengetepikan protokol untuk bebas bergaul dengan rakyat jelata.

Biarpun adakalanya bersikap serius, baginda tidak segan silu menegur perbuatan yang dianggap tidak betul. Bahkan baginda gemar bertanya sesuatu isu dengan lebih lanjut pada majlis-majlis keramaian.

Sikap tegas baginda secara terbuka dapat lihat apabila membabitkan kepentingan rakyat negeri Johor. perkara ini terbukti pada tahun lalu apabila Sultan Iskandar tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga bagi menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Pendirian baginda itu disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail pada pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor ke-12, di Kota Iskandar di Nusajaya.

''Saya dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa baginda tidak setuju dengan cadangan untuk membina jambatan ketiga," kata Tunku Ibrahim Ismail.

Selain itu, tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP tidak memakai songkok pada majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), dua tahun lalu juga menunjukkan ketegasan baginda. Sultan Iskandar mencabar empat ADUN itu untuk menunjukkan diri mereka di dalam dewan apabila baginda hadir merasmikan sidang pembukaan DUN itu.

Baginda turut diingati kerana pendiriannya yang konsisten ke atas Tambak Johor apabila sentiasa mengulangi ia agar dirobohkan supaya saliran air di Selat Tebrau dapat mengalir secara sempurna.

Kemuncak ketegasan baginda apabila berikrar untuk mendapatkan semula hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih yang kini dimiliki Singapura, menyentuh hati semua rakyat Johor.

Itulah antara karakter tegas yang dimiliki baginda walaupun sebenarnya almarhum bersikap ramah untuk menjadi seorang pemerintah yang disenangi dan disayangi rakyat sama ada di bandar atau pun di desa.

Sultan Iskandar yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932 juga terkenal dengan sifat prihatin, rendah diri dan tidak lokek dengan senyuman di sebalik raut wajah yang kelihatan agak garang.

Ternyata, tembok besar dan tinggi di Istana Bukit Serene tidak pernah menghalang putera Sultan Ismail Sultan Ibrahim dan Sultanah Ungku Tun Aminah Ungku Paduka Bena Sri Maharaja Utama Ahmad itu untuk mendekati dan menyelami hati rakyat.

Sultan Iskandar mangkat pada usia 78 tahun di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru setelah gering kerana diserang penyakit jantung.

Almarhum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8 pada 26 April 1984 untuk tempoh selama lima tahun menggantikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang tamat tempoh sebagai ketua negara.

Baginda mempunyai dua putera dan lapan puteri daripada dua orang isteri. Dengan isteri pertama, Josephine Trevorrow, baginda dikurniakan seorang putera dan tiga puteri iaitu Tunku Ibrahim Ismail yang merupakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Hajah Kamariah (Tunku Puteri Johor), Tunku Zabedah Aminah (Tunku Besar) dan Tunku Azizah Aminah Maimunah.

Selepas bercerai, baginda berkahwin dengan Tunku Zanariah pada 21 Ogos 1961. Hasil perkahwinan itu, baginda dikurniakan seorang putera, Tunku Abdul Majid Idris selaku Tunku Bendahara Johor dan lima puteri iaitu Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)

Pendidikan awal almarhum Sultan Iskandar bermula daripada pengajar persendirian dan Sekolah Inggeris Ngee Heng, Johor Bahru.

Baginda menyambung pendidikan di English College yang kini dikenali Maktab Sultan Abu Bakar sebelum melanjut pelajaran di Australia dan Britain.

Baginda mendapat Ijazah Kehormat Sains, Universiti Teknologi Malaysia pada 10 April 1997 dan Ijazah Kehormat Undang-Undang, Universiti of Singapura berikutan sumbangan baik atas hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura pada 12 April 2007.

Pada 2007, baginda dianugerahkan sebagai Ahli Payung Terjun Sayap Kehormat-Master oleh Menteri Pertahanan Singapura pada ketika itu, Teo Chee Hean.

Baginda diisytiharkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 8 Mei pada 1959 sebelum digantikan dengan kekanda bongsunya, Tunku Abdul Rahman pada 10 Ogos 1961.

Pada 1966 hingga 1981, baginda dilantik sebagai Raja Muda Johor.

Pada 29 April 1981, almarhum telah dilantik semula sebagai Tunku Mahkota Johor berdasarkan perjanjian dengan Majlis Mahkamah Diraja Johor.

Pada 9 Mei 1981, baginda dilantik sebagai pemangku Raja Johor semasa Sultan Johor gering sebelum diisytiharkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Dalam sektor kerajaan, baginda pernah menjawat jawatan Pegawai Kadet di Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Perbendaharaan bermula 25 Januari 1956 hingga 8 Mei 1959.

Baginda juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia pada 1960.

Kebijaksanaan baginda dalam bidang perniagaan turut terserlah apabila menjadi ahli perniagaan semasa menjadi Raja Muda Johor selain terlibat dalam sebuah syarikat usahasama, Mados-Cito-Daiken.

Jasa baginda dalam bidang pendidikan juga tidak boleh dilupakan apabila dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia pada 12 Disember 1981 selain Kolonel atau Komander Angkatan Tentera Johor dan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando).

Sumbangan Sultan Iskandar turut mendapat perhatian pelbagai pihak sama ada tempatan dan antarabangsa apabila menerima anugerah Venerable Order of St. John, Sovereign Head of the Order, Queen Elezabeth II pada 1980.

Pada 1984, baginda dikurniakan Darjah Kehormat Marsyal Tentera Udara Diraja dan Darjah Kerabat Mahkota Brunei (DKMB) oleh Kerajaan Brunei 1988.

Pada waktu lapang, baginda gemar memburu, bermain polo, golf, tenis, meluncur air, berenang dan payung terjun selain memiliki sijil juruterbang yang berkelayakan.

Kira-kira 10 tahun lalu, Sultan Iskandar pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Amerika Syarikat dan pembedahan bahu di Hospital Tentera Diraja Thai di Bangkok, Thailand bagi rawatan kecederaan lama ke atas bahu ketika bersukan.

Sultan Iskandar sudah mangkat dan meninggalkan rakyat negeri Johor buat selama-lamanya, namun sumbangan baginda akan terus diingati oleh semua golongan.

Pastinya nama baginda akan bersemadi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Mahmood Iskandar, Parit Saidi, Batu Pahat dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmood Iskandar 1 and 2 di Pontian.

Kejohanan Golf Terbuka Iskandar, wilayah koridor pembangunan ekonomi Iskandar Malaysia dan Bangunan Sultan Iskandar tetap menjadi mercu tanda kegemilangan pemerintahan baginda.

1 comment: