Social Icons

Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor

Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor
Pengarang: Dato' Abdul Rahim Bin Ramli
  • 2011
  • ISBN 978-983-52-0788-4
  • 295 muka surat
  • RM 180.00
  • Bidang Umum

SINOPSIS
Kebudayaan dan adat istiadat istana Kesultanan Johor merupakan hasil percampuran dan adunan budaya Melayu, Islam dan Barat yang diwarisi dari zaman kegemilangan empayar Johor, ke zaman dinasti Bendahara dan dinasti Temenggong sehingga sekarang. Sultan Abu Bakar memperkenal dan menambah budaya Barat, khasnya Inggeris sebagai inovasi pembaharuan untuk menjadikan negeri Johor sebuah negeri yang moden. Pembaharuan yang diperkenalkan termasuk teknologi moden seperti sistem pentadbiran, pengangkutan, keselamatan dan pertahanan, reka bentuk bangunan, cara berpakaian dan cara memartabatkan kedaulatan baginda. Wawasan Sultan Abu Bakar dan sultan selepas baginda banyak mencipta pembaharuan yang mendahului kerajaan negeri–negeri lain dan kini menjadi ikon negeri Johor. Antaranya ialah Undang–undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895, Mahkota Kerajaan, Darjah Kerabat dan Darjah Mahkota, Askar Timbalan Setia Negeri, Jata Negeri dan lain–lain.

Sultan Abu Bakar terkenal sebagai raja Melayu yang pertama melawat England iaitu pada tahun 1866, dan yang pertama diberi pengiktirafan antarabangsa. Baginda berjaya memperkenalkan Johor di arena politik dan perdagangan antarabangsa. Baginda juga terkenal dengan pendirian mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negeri Johor dari penjajahan Inggeris selama 33 tahun berturut–turut. Baginda menggunakan kekuatan sistem pengurusan dan pentadbiran negeri yang cekap dan efisien bagi membanteras perancangan jahat Inggeris. Di samping itu, baginda memberi peluang kepada orang Melayu, orang Cina, orang keturunan Melayu dari kepulauan Indonesia dan orang keturunan India bersama-sama memajukan negeri. Tindakan Sultan Abu Bakar menjadi asas persefahaman, kerjasama dan toleransi antara rakyat baginda sehingga sekarang, tepat dengan seruan baginda “Muafakat itu Berkat”.

Kesultanan selepas Sultan Abu Bakar meneruskan wawasan baginda dengan menambah dan memperbaiki adat istiadat istana. Justeru, kini Kesultanan Johor amat prihatin kepada rakyat, dan perlakuan adat itu seboleh–bolehnya tidak menyulitkan rakyat. Cara memberi hormat takzim bagi lelaki dan wanita adalah ringkas. Cara berpakaian memberi penghormatan kepada kebebasan kaum dan bangsa. Warna larangan diketepikan supaya tidak ada perbezaan antara raja dengan rakyat. Unsur dan budaya Islam tetap dikekalkan, seperti bacaan doa memohon restu dan perlindungan Allah sebelum dan selepas majlis, dan bersumpah secara Islam.

Penulis dapat memberi gambaran terperinci dan sejitu mungkin akan perubahan memperkayakan adat istiadat kerana beliau terlibat secara langsung sebagai Dato’ Penghulu Istiadat Istana Johor yang mengendalikan istiadat diraja.

BIODATA

Dato' Abdul Rahim Bin Ramli, 70 tahun, pernah berkhidmat dengan kerajaan Johor dari tahun 1964 hingga persaraan pilihan sendiri dalam tahun 1993. Berkelulusan Bachelor of Arts (Hons) dari Universiti Malaya. Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Kadet Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor, dan meneruskan kerjayanya melalui kenaikan pangkat kepada Pengawai Daerah, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Johor Bahru, Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan.

Beliau mula berkecimpung dengan tugas istana dalam tahun 1970 sebagai pembawa ceper bagi ucapan dan pingat. Beliau diberi peluang meneruskan perkhidmatan dengan istana sebagai pegawai istiadat dan menjalankan tugas Bentara Kiri, Dato’ Bentara Kanan dan Dato’ Penghulu Biracana. Selepas bersara beliau dilantik oleh Almarhum Sultan Iskandar sebagai Setiausaha Jumaah Majlis Diraja dan Dato’ Penghulu Istiadat, jawatan yang disandang hingga sekarang.

Beliau pernah menyumbang penulisan terhadap sejarah Johor dan adat istiadat istana dalam ruang “Johor Streets” akhbar New Straits Times edisi selatan. Beliau menjadi pakar rujuk tidak rasmi kepada jabatan–jabatan kerajaan terhadap protokol dan istiadat diraja. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melantik beliau sebagai penasihat sejarah dan kebudayaan Johor dalam Jumaah Majlis Diraja.
Di atas bakti dan jasanya kepada kerajaan beliau dikurniakan Darjah Mahkota Johor Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (S.M.J) dalam tahun 1976, dinaikkan pangkat kepada Dato’ Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J) dalam tahun 1978, dan Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) dalam tahun 1986. Beliau juga dikurniakan Darjah Dato’ Setia Sultan Ismail Johor (D.S.I.J) dalam tahun 1980, dan Dato’ Sri Setia Sultan Ismail (S.S.I.J) dalam tahun 1982.

KANDUNGAN
Titah Pengantar
Prakata
Kata Sambutan

Pendahuluan
Ringkasan Sejarah Johor
Wawasan Temenggong
Gelaran dalam Sejarah
Pegawai Istiadat
Peralatan Istiadat
Sejarah Pakaian

Darjah Tanda Kemuliaan dan Kebesaran
Memakai Darjah
Pegawai Darjah
Pingat-pingat
Peraturan Pengurniaan Pingat

Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli
Yang Maha Mulia Sultan Johor
Persiapan-persiapan Awal
Jemputan
Majlis Doa Kesyukuran
Majlis Terima Di Bilik Singgahsana Istana Besar
Majlis Darjah dan Pingat
Majlis Pengurniaan Pingat
Majlis Pengurniaan Pingat di Daerah-daerah
Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Di Istana Besar

Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar

Untuk pertanyaan dan pembelian hubungi talian berikut 019-799-8249