Social Icons

Tukar gelaran

JOHOR BAHRU: Balu Almarhum Sultan Iskandar, Sultanah Zanariah Iskandar dan bonda tirinya, Sultanah Nora Ismail iaitu balu Almarhum Sultan Ismail, kini bergelar Tunku Puan atau Tunku.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Negeri Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata Zanariah Iskandar dan Nora Ismail hendaklah dibahasakan sebagai Tunku Puan atau Tunku dalam ucapan dan persuratan.

“Sebelum ini, tiada pertabalan rasmi bagi menggelarkan mereka berdua dengan gelaran Sultanah. Ketika Almarhum Sultan Iskandar masih hidup, baginda Tuanku hanya memakaikan mahkota kepada Tunku Puan Zanariah dalam upacara khas.

“Sepatutnya pelantikan Sultanah perlu melalui istiadat khas dan hendaklah dimasyhurkan bersama Sultan Johor bagi melayakkan digelar sama ada isteri, Sultanah mahupun permaisuri ataupun gelaran lain,” katanya kepada pemberita di Istana Besar Johor, semalam.

Katanya, berhubung perkara itu, mereka berdua tidak boleh lagi menggunakan lambang mahkota permaisuri dalam cetakan kepala surat, surat dan alat tulis bagi urusan rasmi.

“Jika mereka mahu menggunakan kemudahan dibolehkan dengan syarat perlu memohon melalui istana dan mendapatkan kebenaran Sultan Johor, Tuanku Sultan Ibrahim,” katanya.

Katanya, Tunku Puan Zanariah Iskandar dan Tunku Puan Nora Ismail, bagaimanapun masih diiktiraf sebagai Kerabat Damping dan menikmati kemudahan seperti dibenarkan mengibar bendera kerabat pada majlis rasmi dihadiri Sultan Johor.

“Bendera berkenaan berwarna kuning dengan logo bulan sabit dan bintang pecah lima,” katanya.

Dalam pada itu, tidak ada gelaran ‘Permaisuri’, ‘Sultanah’ dan ‘Isteri Sultan Johor’ bagi merujuk status Raja Zarith Sofiah Ibni Sultan Idris seperti dipaparkan dalam media cetak dan elektronik kerana upacara pertabalan serta istiadat rasmi gelaran rasmi kepada baginda belum diadakan.

Katanya, bagi mengelak rakyat terkeliru dengan gelaran sebenar, panggilan Raja Zarith perlu disebut dalam dalam ucapan serta persuratan dan dibahasakan Tuanku dan baginda akan dimasyhurkan bersama Sultan Johor bagi memakai gelaran rasmi tidak lama lagi.

Katanya, gelaran diraja diguna pakai sebagai menjunjung titah Sultan Ibrahim dan Jumaah Majlis Diraja Johor yang dibuat berdasarkan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895 dan Adat Istiadat Diraja Johor.

Sementara itu, kerajaan negeri bersetuju menghapuskan tauliah Jaksa Pendamai (JP), yang diperkenalkan sejak 1948 kerana fungsinya sudah tidak relevan digunakan pada masa kini kerana Johor mempunyai bilangan majistret yang mencukupi.

Katanya, peranan JP pada masa dulu seperti fungsi majistret kini yang berkuasa untuk menjatuhkan hukuman ringan kepada pesalah.

“Tauliah JP diperkenalkan sejak 1948 dan kali terakhir dianugerahkan pada tahun 1980 iaitu kepada 55 pegawai kerajaan, namun Tuanku Sultan berpendapat ia sudah tidak relevan dan perlu dimansuhkan serta-merta.

“Ini bermakna tidak ada lagi gelaran JP diguna pakai dan daripada 55 JP ditauliahkan hanya empat masih hidup. Mereka akan dinasihatkan memulangkan kembali tauliah kepada istana dan kuasa sebagai JP terbatal serta-merta,” katanya