Tuanku Mizan Zainal Abidin (tengah) mencuba pengalaman menjalani kehidupan seperti saintis dan penyelidik lain di puncak bukit berhampiran tapak kajian dan konservasi penguin, Antartika, semalam. Turut serta, Dr. Maximus Ongkili (kanan) dan Salleh Mohd Nor. |
Helikopter jenis Aerospace EC130 itu dipandu oleh Kapten Rob McPhail, seorang juruterbang berpengalaman selama 20 tahun melakukan penerbangan di Antartika.
Turut sama dalam tinjauan udara itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd. Nor, Ketua Eksekutif Antartika New Zealand, Lou Sanson, dan penulis sendiri.
Helikopter yang pada asalnya dijadual berlepas dari Scott Base, sebuah pusat penyelidikan yang dikendalikan oleh New Zealand di Pulau Ross, pada pukul 9 pagi ini, ditangguh akibat cuaca berubah-ubah dengan salji yang turun serta tiupan angin yang kuat di kawasan lawatan.
Keadaan itu membuatkan jarak penglihatan terbatas yang tidak mengizinkan rombongan itu memulakan perjalanan.
Bagaimanapun, rombongan berlepas pada 11.30 pagi dalam cuaca sejuk bersuhu sekitar bawah 6 darjah Celcius (-6'C) hingga bawah 17 darjah Celcius (-17'C) dengan berlatar pemandangan langit dan bumi Antartika yang amat mempesonakan.
Tempoh 20 minit penerbangan menyaksikan pemandangan glasier dan saujana mata memandang lautan salji yang memutih sebelum tiba di Cape Royds.
Cape Royds ialah kawasan berbatu berwarna hitam menghadap McMurdo Sound yang menempatkan Pondok Shackleton, sebuah pondok yang dibina oleh Ernest Shackleton semasa ekspedisi beliau dalam tahun 1901 hingga 1904.
Seterusnya Tuanku Mizan dan rombongan dibawa melihat Glasier Barne, sebuah glasier setinggi 30 meter yang terletak di bahagian Timur Pergunungan Erebus dan juga menyaksikan penguin Emperor, sejenis penguin paling tinggi (kira-kira satu meter) dan besar dalam spesies keluarga penguin.
Lawatan berakhir dengan kunjungan ke Scott"s Hut di Cape Evans, sebuah pondok yang dibina oleh Robert Falcon Scott ketika ekspedisinya dalam tahun 1910-1913.
Kerja pemuliharaan pondok itu sedang giat dilakukan sebagai usaha untuk mengekalkan sejarah warisan saintis dan penyelidik di benua Antartika ini.
Kedua-dua pondok berkenaan kini menjadi destinasi bersejarah dan ikon bagi para saintis dan penyelidik di Antartika.
Semasa perjalanan pulang dari Cape Royds sejauh 35 kilometer, Tuanku Mizan juga dibawa meninjau dari udara kawasan sekitar Pusat Penyelidikan Scott. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment