Social Icons

Tambak Johor: Impian atau kenyataan



Sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ke-53 pada 22 November lalu mengingatkan kawan titah baginda Tuanku berkenaan Tambak Johor pada Hari Keputeraan baginda tahun lalu.

Hasrat baginda menyentuh sanubari rakyat Johor yang sudah lama ‘mengidam’ untuk melihat Tambak Johor atau Tambak Tanjung Puteri yang menghubungkan negeri berkenaan dengan Singapura diganti dengan yang baru. 

Ternyata hasrat Sultan Ibrahim disambut dengan teriakan semangat serta desakan pelbagai pihak di Johor untuk melihat ia direalisasikan, khasnya apabila ini kali ketiga baginda bertitah berkaitan perkara itu.

Sedikit fakta sejarah, sepanjang 1,056 meter, Tambak Johor direka Messr Coode, Fizmaurice, Wilson dan Mitchell daripada Westminster, Britain dan dibina oleh Topham, Jones & Railton Ltd dari London pada 1909.

Pada 1909, tambak ini hanya mengandungi sebatang landasan dari stesen kereta api Johor Bahru ke Singapura dan pembinaan jalan raya bermula pada tahun 1919 sebelum siap pada 1924.

Sejak era mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib Razak, isu Tambak Johor cukup hangat diperkatakan.

Tambak Johor sememangnya sinonim dengan keluarga diraja Johor apabila Sultan Ibrahim sendiri pernah bertitah bahawa sejak zaman pemerintahan nenda baginda lagi, Tambak Johor memang begitu rapat dengan Kesultanan Johor.

Hasrat baginda turut diperkukuhkan dengan kenyataan bahawa selain berfungsi sebagai laluan masuk utama ke Kota Singa, Tambak Johor turut menjadi penyambung hubungan antara republik itu dengan Malaysia dalam pelbagai aspek terutama ekonomi. 


Tidak dinafikan sekurang-kurangnya 80,000 rakyat republik itu mengunjungi Johor setiap hari seperti pernah dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seang Chang baru-baru ini dan kehadiran mereka mendatangkan keuntungan bukan sedikit kepada ekonomi negara ini.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menarik kehadiran pelancong ke negara ini, namun kehadiran 80,000 pengunjung yang sebahagian besarnya masuk keluar pada setiap hari sama ada membeli-belah, sekadar mengisi minyak atau mencuci kereta jelas mendatangkan kesan besar.

Persoalannya di sini, apakah Tambak Johor perlu diganti atau dibiarkan saja? Sudah banyak perancangan dibuat untuk menggantikannya malah sebelum ini, kerja membina jambatan baru dikenali sebagai jambatan bengkok sudah dimulakan tetapi dihentikan sekerat jalan atas alasan pendapat umum rakyat Johor menyatakan tidak mahu ia dilaksanakan.

Ramai terpinga-pinga apabila projek pembinaan itu dihentikan dan ia mendatangkan kesan besar ke atas rakyat Johor yang sekian lama beriya-iya mahu melihat kejayaannya.

Sebahagian penganalisis berpendapat penggantian tambak kepada jambatan akan mewujudkan sebuah sistem pelabuhan yang menyeluruh untuk mengaitkan Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Oleh sebab sama, Singapura enggan bersetuju kerana penggantian itu akan mengancam kegiatan di Pelabuhan Singapura.

Disebabkan kesesakan jalan raya yang teruk, laluan kedua yang dikenali sebagai Laluan Kedua Malaysia-Singapura disiapkan pada Oktober 1997, sepanjang 1,920 meter, jambatan dua tingkat ini mengandungi jalan duaan berlorong tiga yang mengaitkan Kampung Ladang di Tanjung Kupang, Johor dengan Jalan Ahmad Ibrahim di Tuas, Singapura.

Tambak Johor menjadi sumber perbalahan sejak perpisahan Singapura dari Malaysia. Air yang bertakung disebabkan tambak ini telah menimbulkan rasa bimbang terhadap kesihatan di Johor.

Malaysia di bawah Dr Mahathir mencadangkan penggantian tambak kepada jambatan untuk membolehkan air mengalir tetapi cadangan itu ditolak Singapura.

Bagaimanapun, Malaysia tetap mahu meneruskan projek itu dengan cadangan membina jambatan bengkok. Berdasarkan perancangan, jambatan di sebelah Malaysia akan menurun untuk menyambungkannya dengan tambak di sebelah Singapura.

Najib sebelum ini pernah berkata, Kerajaan Pusat perlu mengkaji pelbagai implikasi termasuk undang-undang untuk membina jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Benar apa yang dikatakan Najib kerana ia membabitkan pelbagai perkara termasuk hubungan dua hala dengan Singapura dan tidak sukar untuk menjangka isu jambatan ini memberatkan kepala banyak pihak.

Mungkin pihak di Kota Singa bimbang dengan jambatan baru, tetapi berdasarkan kajian, ia sebenarnya tidak seperti yang difikirkan pemimpin di seberang tambak itu.

Ini kerana, Selat Tebrau selebar 1.5 kilometer cetek dan tidak sesuai untuk kegunaan kapal dagang manakala alasan ia boleh dilalui kapal dagang untuk terus ke Laut China Selatan juga tidak masuk akal memandangkan kedalamannya tidak sesuai dek enapan lumpur.

Walaupun banyak komentar, pandangan, penyelidikan dan pelbagai lagi usaha dilakukan untuk mengaitkan sama ada Tambak Johor perlu digantikan dengan jambatan baru atau sebaliknya, ia tetap akan menimbulkan pelbagai polemik kepada mana-mana pihak yang tidak puas hati.

Akhirnya, semua keputusan itu akan kembali kepada rakyat Johor, apakah projek berkenaan akan diteruskan atau impian rakyat Johor masih tetap sekadar impian, ceria atau duka. 

3 comments:

  1. Sekarang ini sedang dijalankan kajian untuk kemungkinan membina terowong bawah tanah utk menggantikan tambak singapura...

    ReplyDelete
  2. harap kerajaan dpt melaksanakan kembali pembaharuan kepada Tambak Johor.nampak lagi indah, Selat Tebrau bertambah bersih dan merancakkan ekonomi sert perjalanan bagi kedua-dua buah negara. jika Singapura tidak mahu buat, Malaysia buat saja seperti yang pernah dirancang oleh kepimpinan Tun Dr Mahathir sebelum ini. :)



    ISU : Emas & Provokasi

    ReplyDelete
  3. Harap walaupun keluar statement nak buat jambatan bengkok lagi high speed train berbillion ringgit jadi capati take jadi.Tapi statement yang ini kekuatan besar malaysia melarang lori2 daripada lalu tambak johor,pasal spore takde lori eksport pun ke johor habis second link tu siapa lalu xde lori then jembalang masam lalu.harap imej mengeletis mat tokak diheret untuk bersihkan sampah sarap didarat dan marin.Semarangg juga buattt.

    ReplyDelete