Social Icons

Tiada penganugerahan darjah kebesaran oleh Sultan Johor, Baginda Tuanku sambut bersama Rakyat



Kawan menjunjung kasih atas kebijaksanaan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Negeri Johor Darul Ta'zim kerana tidak mengurniakan sebarang darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 26 Zulhijjah 1432 Hijrah bersamaan 22 November 2011.

Inilah kali kedua baginda berbuat demikian dan rakyat Johor khasnya dan warga Malaysia amnya, sudah tentu gembira dan menyambut baik keputusan baginda itu.

Mungkin orang politik, ahli-ahli perniagaan dan pegawai perkhidmatan awam yang ternanti-nantikan gelaran 'datuk' dan sebagainya, kecewa kerana tidak berpeluang mengumpul gelaran dan anugerah. Kawan kata mengumpul kerana itulah yang berlaku walaupun bukan di kalangan majoriti tetapi memang berlaku.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang menganugerah terlalu banyak gelaran dan pingat serta bintang kebesaran di dunia. Manakan tidak, setiap negeri berbuat demikian selain Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Persekutuan. Macam-macam gelaran diwujudkan sehingga ada yang melucukan.

Tindakan Sultan Ibrahim untuk tidak menganugerahi darjah dan bintang kebesaran serta pingat mengingatkan kawan kepada tindakan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Iskandar semasa menjadi SPB Agong ke-8.

Menurut pegawai yang pernah bekhidmat di Istana Negara ketika itu, setiap kali senarai pencalonan dikemukakan untuk pertimbangan atau perkenan baginda, Almarhum Sultan Iskandar  akan bertanya dua perkara - berapa umur calon dan telah berapa lama berkhidmat (sekiranya calon tersebut pegawai kerajaan).

Baginda hanya akan perkenan penganugerahan kepada pegawai berumur 45 tahun ke atas kerana, menurut baginda, jika seseorang itu telah berumur 45 tahun pastinya beliau telah berkhidmat selama 20 tahun atau lebih.

Almarhum Sultan Iskandar cukup teliti dengan soal penganugerahan darjah atau bintang kebesaran semata-mata untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diberi pertimbangan. Ya, mereka yang benar-benar layak.  

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk begitu ramai. Sesetengahnya dua atau tiga kali menerima, cuma grednya berbeza. Ada yang dapat  dua  darjah kebesaran  dalam satu tahun, dari dua  negeri berlainan.

Selain itu, tidak kurang juga yang berumur bawah 40 tahun dan ada yang tidak sampai 30 tahun menerima anugerah tersebut sedangkan khidmat bakti mereka terlalu kecil malahan tiada sama sekali kepada negeri mahupun negara. Yang mereka miliki kekayaan dan wang ringgit. Ada juga yang mendapat atau diberi anugerah  kerana sering bermain badminton dengan anak 'orang besar'  dan ada pula yang menerimanya kerana tidak lokek mengeluar perbelanjaan untuk keluarga pihak berkenaan.

Ada negeri yang setiap  tahun  memberi anugerah yang membawa gelaran datuk kepada mereka yang tidak berjasa kepada negeri berkenaan tetapi atas pertimbangan dan kepentingan politik atau kepentingan media (nak dapat publisiti).

Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad pernah berkata bahawa penganugerahan pingat dan darjah kebesaran perlu dibuat dengan lebih teliti dan itulah yang diputuskan oleh Kabinet pada mesyuarat mingguannya November 2003. Kabinet meminta PM menyampaikan kepada Majlis Raja-Raja butiran, maklumat, pandangan atau panduan supaya penganugerahan darjah kebesaran lebih tersusun, profesional dan lebih dihormati.

Nampaknya saranan Kabinet pada November 2003 itu tidak lagi dihormati oleh pihak negeri jika dilihat dari sudut bilangan orang yang diberi anugerah yang membawa gelaran datuk. Bak kata orang tua-tua, apa yang diberlaku pada tahun 2003 tidak ubah seperti hangat-hangat tahi ayam.

Oleh itu, apa yang diputuskan oleh Sultan Ibrahim, Sultan Johor,  adalah sesuatu yang bijak dan seharusnya disanjung tinggi oleh rakyat yang semakin muak dengan sikap dan tindakan negeri-negeri yang seolah-olah berlumba-lumba memberi anugerah datuk.