Kalau datang ke Johor, jangan lupa pekena nasi ambeng!
NASI ambeng (beng disebut seperti dalam perkataan bengkak) asalnya adalah satu jamuan tradisi keturunan Jawa pada majlis-majlis kenduri arwah atau tahlil. Dalam tradisi ini, laukpauk seperti serunding, sayur goreng, ikan masin bulu ayam, mi goreng dan ayam goreng diletakkan di atas nasi di dalam sebuah dulang. Apabila majlis tahlil selesai, mereka akan menjamah hidangan yang disediakan itu beramai-ramai, biasanya empat orang sedulang.
Dalam tradisi ini, tetamu hanya memakan beberapa suap nasi berserta sedikit lauk-pauk ala kadar. Selepas itu, nasi dalam dulang itu akan dibahagikan kepada empat bahagian. Pembahagian biasanya dilakukan menggunakan bahagian tepi tapak tangan dengan membuat garisan di atas nasi. Kemudian, lauk-pauk akan dibahagikan sama rata kepada empat bahagian.
Setiap bahagian tadi akan dibungkus dalam kertas surat khabar lama yang dilapik dengan daun pisang, dan kemudian diikat dengan tali pisang (sekarang tali rafia), untuk dibawa balik ke rumah masing-masing. Di kalangan masyarakat Jawa, nasi ambeng yang sudah dibungkus itu disebut berkat.
Mengapa tetamu hanya jamah-jamah sahaja, dan kemudian dibungkus untuk dibawa pulang?
Mengikut ceritanya, amalan itu bertujuan membuktikan suami atau anak-anak lelaki yang menghadiri sesuatu majlis itu benar-benar pergi menghadirinya. Jadi, nasi ambeng yang dibawa balik itu adalah bukti bahawa suami benar-benar hadir di majlis kenduri berkenaan.
Kebaikan tradisi ini ialah, nasi ambeng atau berkat itu boleh dinikmati oleh ahli keluarga walaupun mereka tidak pergi ke majlis kenduri itu . Maknanya, walaupun isteri dan anak-anak tidak menghadiri sesuatu majlis kenduri, mereka boleh sama-sama menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah yang menganjurkan majlis itu.
Sudah dikomersilkan
Sejak beberapa tahun kebelakangan, nasi ambeng sudah dikomersilkan. Sudah banyak gerai atau restoran yang menyediakan nasi ambeng sebagai salah satu menunya. Bukan itu saja. Lauk-pauknya juga sudah dipelbagaikan sementara mengekalkan lauk-pauk asal seperti serunding dan ikan kering. Sesetengah penjual masih memasukkan mi goreng sebagai salah satu lauk-pauknya, sementara sebahagian lagi tidak memasukkannya.
Sambutan terhadap nasi ambeng nampaknya amat menggalakkan. Nasi yang dijual pada harga di antara tiga dan lima ringgit itu dijual sebagai sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam. Walaupun makanan ini berasal dari Johor, ia sudah boleh didapati di tempat-tempat lain, terutama Kuala Lumpur.
Menurut seorang peniaga nasi ambeng, Azman Chayus, 47, beliau menjual kira-kira 100 bungkus sehari di antara awal pagi dan tengah hari. Katanya, selain orang Melayu yang menjadi sebahagian besar pelanggannya, orang Cina dan India juga sudah pandai menikmati juadah itu.
Warung Man Mak Ram miliknya di Kampung Pasir, Johor Bahru, itu amat popular di kalangan penggemar nasi ambeng.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment