Social Icons

Papadou kegemaran Tuanku Mizan


"SAYA merasakan seperti langit jatuh ke riba dan kehidupan seperti berakhir apabila diberitahu menghidap kanser."

Demikian luah Datin Majnah Abdul Majid yang didiagnosis dengan kanser payu dara kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun, berbekalkan keazaman yang tinggi dan sikap tidak mudah berputus asa wanita berusia 61 tahun itu berjaya mengharungi detik hitam dalam kehidupannya.

Pengalaman berdepan dengan kanser payu dara amat memeritkan bagi Majnah kerana terpaksa menjalani pembedahan dan beberapa siri kemoterapi sebelum disahkan bebas daripada kanser.

"Selepas menjalani pembedahan tersebut, saya mengambil keputusan untuk duduk di hospital lebih sebulan agar doktor dapat memantau perkembangan kesihatan saya.

"Dalam proses kemoterapi pula, saya merasakan keperitan yang amat sangat kerana badan menjadi lemah dan rambut gugur. Begitupun, saya tetap berfikiran positif dengan segala dugaan itu untuk membuktikan bahawa pesakit kanser boleh pulih dan meneruskan kehidupan seperti orang biasa," katanya.

Ternyata selepas itu, Majnah bukan sahaja membuktikan dia boleh hidup seperti biasa tetapi dengan tugas yang boleh dianggap sangat istimewa. Dengan semangat luar biasa Majnah menguatkan diri untuk meneruskan minatnya sebagai tukang masak.

Jika anda terfikir Majnah ingin membuka restoran atau menjadi usahawan katering anda silap! Ini kerana berbekalkan ilmu masakan yang mula dipraktikkan sejak berusia 21 tahun, pada awal tahun 2009 Majnah bergelar chef diraja.
MAJNAH menunjukkan kemahiran memasak ayam panggang istimewa

Sejak bulan Januari 2009, dia mula menabur bakti kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dengan menjadi chef di Istana Terengganu, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.

Mengimbau kembali bagaimana beliau boleh menjadi chef di Istana Terengganu kongsi Majnah, dia terdengar pihak istana sedang mencari tukang masak daripada seorang exco negeri Penyu itu sewaktu berkunjung ke Kuala Terengganu.

"Ketika itu, saya tidak teragak-agak memohon tugas berkenaan kerana minat mendalam terhadap bidang masakan dan untuk menghilangkan rasa kebosanan," ujar ibu kepada lima cahaya mata itu walaupun dia hakikatnya bukanlah anak kelahiran negeri Terengganu.

Mengetahui dia perlu bersaing dengan tukang masak tukang masak handalan semasa sesi ujian rasa yang dijalankan sendiri oleh Tuanku Mizan, dalam debar Majnah tetap nekad bertandang ke Istana Terengganu selama dua hari.

"Ketika itu selama dua hari saya perlu menyediakan pelbagai jenis hidangan untuk santapan Tuanku Mizan. Saya telah memasak resipi Spanish Paella iaitu masakan nasi dicampur beraneka makanan laut dan daging ayam dengan hiasan menarik pada hari pertama," imbasnya.

Tidak ketinggalan, Majnah turut menambat hati pasangan diraja dengan sajian ayam dan kambing panggang, gulai ayam Terengganu dan spageti bolognese mengikut cita rasa tempatan.

Keenakan air tangan Majnah dalam menyediakan masakan menyebabkan beliau tidak perlu menunggu lama untuk mengetahui adakah dia berjaya memikul tugas sebagai tukang masak diraja.

Menjelang hari ketiga, beliau mendapat berita gembira apabila Tuanku Mizan bertitah Majnah memasuki istana untuk memasak kepada pasangan Yang di-Pertuan Agong. Semenjak itu, bermulalah rutin kehidupannya sebagai chef Istana Terengganu.

Pengalaman di istana

Mengakui berdepan dengan sedikit kesukaran pada peringkat awal tatkala menyediakan menu diraja lantaran perlu menyesuaikan setiap sajian dengan cita rasa tuanku, namun lebih daripada itu ujar Majnah, tiada sebarang pantang larang dikenakan pihak istana saat menjawat tugas istimewa tersebut.

"Pihak istana tidak meletakkan syarat bukan-bukan sebaliknya saya sendiri yang ada pantang larang ketika memasak iaitu perlukan suasana aman dan tenang. Saya tidak suka memasak dalam keadaan bising-bising dan diganggu orang lain di dapur," ujarnya yang selesa berseorangan melakukan kerja-kerja memasak.

Menceritakan mengenai rutin sehariannya sebagai chef di istana, kongsi nenek dengan dua cucu itu, biasanya dia akan mula bertugas pada pukul 11 pagi dengan dapur di istana akan dibiarkan kosong bagi memastikan beliau dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

"Saya akan membersih dan memotong segala bahan sajian pada pukul 11 pagi. Aktiviti memasak pula akan dimulakan 30 minit kemudian serta berakhir dalam masa satu jam sahaja.

SPAGETI bolognese daging merupakan antara masakan bercita rasa tempatan
daripada Majnah.
"Pada kebiasaannya untuk hidangan tengah hari saya akan menyediakan sekurang-kurangnya tujuh macam lauk pauk yang disajikan bersama nasi putih manakala sarapan pagi pula hanya dimasak apabila ada permintaan sahaja," katanya lagi.

Majnah menambah, antara masakan yang dimasak di Istana Terengganu sepanjang berkhidmat sebagai tukang masak ialah nasi delima, kurma ayam, kurma daging, ayam kuzi dan banyak lagi. Namun, saat ditanya apakah kulinari kegemaran Tuanku Mizan, Majnah tanpa berfikir panjang menyebut papadou iaitu sejenis masakan roti dari negara Perancis yang dihidangkan dengan telur dadar.

Punya resipi rahsia sendiri saat menyediakan menu papadou enak kegemaran Tuanku Mizan kongsi Majnah: "Memasak telur dadar itu ada caranya kerana saya akan menyediakan empat biji telur tetapi hanya menggunakan satu sahaja kuning telur, selebihnya hanya putih telur untuk menjaga kesihatan Tuanku Mizan.

"Dalam kebanyakan masakan juga, saya tidak menggunakan bawang kerana Tuanku Mizan tidak boleh melihat bawang dalam masakan. Apabila memasak menu menggunakan ayam pula hanya dada ayam digunakan manakala kulitnya dibuang terlebih dahulu," ujarnya.

Kata beliau lagi, berbeza dengan hidangan tengah hari, untuk masakan malam pula, sebuah buku menu akan dihantar terlebih dahulu kepada Tuanku Mizan seawal pukul 5 petang sebelum baginda bertitah memilih santapan daripada menu tersebut. Selain masakan tradisional, adakalanya sajian Barat menjadi pilihan tuanku untuk sajian makan malam.

Tidak mempunyai rahsia khusus dalam masakannya, Majnah memberitahu dia hanya mengamalkan empat prinsip utama dalam pekerjaan tersebut iaitu kebersihan, peraturan, ikhlas dan kasih sayang.

"Kalau kita mempraktikkan prinsip ini tidak mustahil setiap masakan yang dimasak akan menjadi sedap dan tidak menjemukan," kata wanita yang gemar bersenam di gim, berenang dan mengunjungi spa pada waktu senggangnya.

Momen manis

Ditanya mengenai antara kenangan manis sepanjang menjadi tukang masak di Istana Terengganu, Majnah berkata, beliau berpeluang memasak hidangan seperti roti masra, roti jala bakar berlapis dan kuih bakar berlauk untuk kesemua sultan-sultan, menteri besar serta ketua menteri semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja tahun lalu.

"Saya juga berkesempatan memasak untuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah," katanya lagi sambil menyifatkan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah sebagai majikan yang bertimbang rasa, baik hati dan memudahkan kerjanya dalam bidang masakan.

Majnah yang meminati Martha Stewart merasa sedih bercampur gembira apabila terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti daripada menjadi tukang masak di Istana Terengganu.

"Sedih kerana terpaksa meninggalkan majikan yang begitu baik, gembira pula apabila dapat memperluaskan pengalaman dalam bidang masakan.

"Saya bercadang untuk membuka kafetaria sendiri dan membukukan segala resipi-resipi tersendiri yang sedap serta tidak menjemukan untuk dikongsi bersama penggemar masakan di negara ini," katanya.
MAJNAH bersalaman dengan Tuanku Mizan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun
lalu.
Menceritakan mengenai bibit awal dunia masakan dalam hidupnya, jangan terkejut kerana selain tidak pernah menuntut dalam bidang kulinari atau mempunyai guru khas, Majnah juga sebenarnya hanya mula bermain dengan senduk dan kuali ketika sudah bergelar isteri.

"Sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jalan Othman, Petaling Jaya pada tahun 1966, saya masih berumur 21 tahun dan telah mendirikan rumah tangga.

"Sebagai seorang isteri sudah menjadi tanggungjawab memasak untuk suami dan ketika itulah saya mula mempelajari selok-belok memasak.

Sebelum berkahwin saya tidak pernah memasak kerana keluarga mempunyai orang gaji," katanya jujur.

Bagaimanapun Majnah menambah, selepas berkahwin beliau banyak merantau di negeri-negeri di selatan, utara dan pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Di negeri-negeri ini, saya banyak mempelajari tentang masakan tradisional asli tempatan seperti gulai Terengganu, itik golek, nasi beriani, nasi kandar, pasembur, laksa Kedah, telur kecai, ayam kuzi dan lain-lain lagi.

"Saya tidak mempunyai guru tetap dalam bidang masakan ini tetapi banyak mempelajari daripada penduduk setempat. Jika merasa masakan itu tidak sedap dan aneh saya tidak berat mulut untuk mempelajari resipi berkenaan," katanya yang pernah mempunyai syarikat katering dan pernah memasak di beberapa syarikat swasta termasuk produksi siri lawak popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Ujar anak jati Kuala Lumpur ini, beliau juga sedang dalam perancangan untuk mengacara rancangan memasak di Asia Food Channel (AFC) bersama penyanyi Ferhad.

1 comment:

  1. Assalamualaikum wbt,

    Apa khabar? Saya pernah dengar resepi Roti Berlauk Istana dari seorang kawan yg juga kerabat Di Raja Johor. Tetapi malangnya beliau tak tahu macam mana nak buatnya apabila saya bertanya cara2nya. Kebetulan saya membaca biography Puan yg seorang Chef Istana Johor, saya minta jasa baik Puan utk mengajar cara2 membuat roti berlauk ini. Saya mohon jasa baik Puan. Terima Kasih.

    Sall Bj (FB)

    ReplyDelete