Johor sebelum merdeka amat terkenal
dengan banyaknya rakyat yang berpelajaran dan tokoh cerdik pandai. Cendekiawan
yang lahir telah menyumbang jasa dan menjana kemajuan serta pemodenan negeri
Johor. Sumbangan mereka telah mempercepat kemajuan dan pemodenan Johor semenjak
era Temenggong hingga ke hari ini. Dasar pelajaran yang sangat diutamakan sejak
zaman Temenggong
Johor iaitu Temenggong Abd Rahman pada 1820-an dan anakandanya Temenggong Daing
Ibrahim pada 1840-an. Dasar ini telah diteruskan serta menjadi dasar, pada
zaman pemerintahan Temenggong Abu Bakar yang kemudiannya bergelar Maharaja pada
tahun 1868 dan Sultan Johor pada1885, telah mengangkat negeri Johor sebagai
negeri Melayu yang termaju dan moden.
Maharaja Abu Bakar sangat bijak
mengeksploitasi orang-orang yang mempunyai pendidikan dan pengetahuan. Pada
zaman baginda, semua kerabat diraja yang dekat dengan baginda sama ada lelaki
atau perempuan tiada lagi yang buta huruf. Banyak antara mereka berpelajaran
tinggi. Mereka bukan sahaja berpengetahuan agama tetapi juga berpengetahuan
tentang kebudayaan asing terutamanya Inggeris, Jepun dan Cina. Selain galakan
dan dasar pemerintah Johor dalam pelajaran, pengetahuan dan pengalaman luas
yang diperoleh adalah juga hasil daripada pemerhatian dan pengaruh pelbagai
budaya dan cara hidup di Singapura.
Kemudahan dan para sarana kehidupan
yang terdapat di Singapura yang diamalkan dan disediakan oleh Inggeris dan
orang-orang asing terutama dari Eropah atau barat adalah lebih teratur,
bersistematik dan baik. Perbenturan nilai-nilai kebudayaan asing yang tinggi di
Singapura telah diteladani khususnya oleh kaum kerabat sultan dan para pembesar
tanpa meminggirkan nilai budaya Melayu yang diwarisi.
Seorang tokoh Johor yang terkenal,
lahir daripada dasar ini ialah Dato’ Wan Idris bin Wan Ibrahim. Beliau
merupakan generasi kedua dalam pelaksanaan dasar memberi latihan kepada kaum
kerabat dan anak-anak Melayu yang terpilih menjadi bakal pembesar Johor. Hal ini kerana Dato’ Wan
Idris telah dipilih oleh Sultan Abu Bakar untuk dilatih dan dididik serta
dihantar ke England tetapi menyumbang bakti kepada Sultan
Ibrahim berikutan kemangkatan baginda pada tahun 1895.
Ketokohan Dato’ Wan Idris pula adalah
begitu unik kerana menjadi bukti beberapa dasar dan kebijaksanaan Sultan Abu Bakar
dalam mengatasi masalah yang baginda hadapi ketika memperluaskan pengaruh dan
kuasa. Sultan Abu Bakar begitu bijak menonjolkan diri dan mengambil kesempatan
di tengah-tengah kancah kelemahan Kesultanan Melayu Johor yang berdepan dengan
kuasa besar asing iaitu Inggeris dan Belanda.
Pengenalan tokoh Johor melalui Dato’
Wan Idris, juga telah menyingkap dan memperlihatkan satu nostalgia kedudukan
keluarga pembesar tradisional Johor yang berdaulat iaitu Temenggong Muar. Oleh
kerana itu, Dato’ Wan Idris adalah ikon kerabat Temenggong Muar yang menjadi
perantara dan kejayaan Sultan Abu Bakar menguasai negeri Johor secara
keseluruhannya. Dengan mengetahuiketokohan Dato’ Wan Idris, beberapa dasar dan
tindakan Sultan Abu BakarJohor telah menjadi bukti sejarah, sama ada berbentuk
diskriminasi mahupun kebijaksanaan telah diperlihatkan.
Tindakan mengeksploitasi kaum kerabat
dan rakyat yang berpelajaran tinggi ini bukanlah secara
kebetulan tetapi adalah melalui perancangan rapi dan kesedaran yang tinggi. Hal ini
terdorong daripada nasihat dan pemerhatian pembesar-pembesar Johor terhadap
desakan Inggeris yang mempunyai tujuan dan bercita-cita menguasai Singapura dan
Johor milik Sultan dan Temenggong. Maharaja Abu Bakar telah menyambut baik
saranan para pembesar bagindadan saranan Inggeris supaya mengutamakan pelajaran
moden bagi
persiapan diri memajukan dan meluaskan kuasa di negeri Johor.
Maharaja Abu Bakar yang telah
mengangkat diri baginda menjadi sultan Johor pada tahun 1885 dengan bantuan
Inggeris, bukan sahaja menjadikan pelajaran sebagai dasar utama dalam
pemerintahan baginda tetapi juga menjadikan pelajaran sebagai wadah mengubah
minda dan semangat jati diri yang
tertumpu pada pembaikan dalam kehidupan seharian. Baginda juga menjadikan
bidang pelajaran untuk memperluaskan pengaruh, sokongan, kesetiaan dan
keterikatan secara langsung dan tidak langsung.
Rakyat yang berpelajaran telah
diberikan jawatan dan pangkat yang wajar. Mereka yang terbaik diambil bekerja
disamping baginda. Akhirnya kaum kerabat, pembesar dan rakyat yang tidak
mengiktiraf keturunan temenggong menaiki tahta sultan, terpaksa akur dengan
sendirinya. Langkah baginda ini amat bijak bagi melahir dan mewujudkan
perpaduan minda dan wawasan fikiran. Hasilnya, rakyat
Johor telah menerima dan mengiktiraf baginda sebagai sultan Johor yang
bijaksana dan berdaulat.
Strategi dan kebijaksanaan baginda
Sultan Abu Bakar terbukti dengan kelahiran tokoh-tokoh birokrasi Johor yang
menjadi pembesar dan berkhidmat dengan penuh setia kepada baginda. Mereka
berjaya mengisi kekosongan dan melaksanakan pemodenan yang dicabar oleh Inggeris.
Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim selaku generasi kedua dalam dasar ini telah
mencapai kemuncak kerjayanya apabila beliau menjadii Menteri Besar Johor Ke-9
dan sebagai penasihat pribadi kepada baginda sultan. Beliau merupakan
penasihat rasmi dan pelaksana dasar dan titah perintah sultan. Beliau telah
berkhidmat dengan cemerlang ketika zaman pemerintahan Sultan Ibrahim yang
memerintah Johor dari tahun 1895 hingga 1959.
Dato’ Wan Idris bin Wan Ibrahim telah
mencurahkan bakti sejak berusia 10 tahun pada 1898 sehinggalah beliau meninggal
dunia pada tahun 1973. Secara rasminya, beliau telah berkhidmat kepada Sultan
dan kerajaan Johor sejak tahun 1898 hingga keusia bersara wajib pada tahun 1955. Kemudian
beliau telah diperkenankan oleh Sultan Ibrahim, melantik beliau sebagai Menteri
Besar Ke-9mulai 1 Oktober 1955 sehingga 16 Jun
1959.
Dato’ Wan Idris bin Wan Ibrahim telah
dilahirkan di Segamat Johor pada 13 Oktober
1888. Beliau adalah dari keturunan Temenggong Muar. Kaum kerabat beliau banyak
di Jementah, Pengkalan Kota dan Lubok Batu Segamat. Saudara-mara beliau juga
banyak terdapat di Pagoh Muar. Beliau adalah dari keturunan Temenggong Muar
yang sampai salasilah dan susurgalur kepada Dato’ Bendahara Skudai dan
Bendahara Tun Habib Abdul Majid, Kota Tinggi. Keluarga beliau mewarisi jawatan
Temenggong Muar secara turun-temurun kerana bercantum juga dengan darah
keturunan Bendahara Melaka, Dato’ Bendahara Tepok yang telah membuka Segamat
ketika angkatan Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka semasa serangan
Portugis. Bendahara telah mangkat di Lubok Batu, Segamat dan Sultan telah
menabal anaknya memerintah Segamat dengan jawatan bertaraf menteri. Jawatan
Temenggong Muar I, kemudian telah ditabalkan oleh Sultan Johor kepada ahli
warisnya iaitu Dato’ Sagar Diraja
pada abad ke 17 ketika beribu negeri di Kota Tinggi.
Ketika
Sultan Abu Bakar meraikan Majlis Pertabalan Tahta Sultan di Bandar Maharani
Muar pada tahun 1888, baginda mendapati Temenggong Muar dan kaum kerabatnya
tidak hadir. Baginda amat sedar dan faham ketidakhadiran Temenggong dan kaum
kerabatnya adalah kerana berkecilhati terhadap baginda. Hal ini adalah
berikutan pengambilan Muar Kesang oleh Sultan Abu Bakar dan meletakkan Segamat di bawah jajahan pemerintahan baginda yang
menjadi Sultan Johor dan diiktiraf oleh Inggeris. Ketidakpuasan hati Temenggong
Muar dan kaum keluarganya bertambah menebal apabila Sultan Abu Bakar melantik
kerabat baginda sendiri menjadi Temenggong Johor dan mempunyai kuasa sebagai
wakil raja di seluruh negeri Johor.
Sultan
Abu Bakar telah menunjukkan pengaruh dan kuasa dengan membuka Bandar Maharani pada tahun 1884 ketika
masih bergelar Maharaja. Baginda telah membuka Bandar Maharani sebaik sahaja
baginda menang dalam perang saudara yang terkenal sebagai Perang Jementah.
Peristiwa Perang Jementah berlaku pada tahun 1879 kerana putera sulong Almarhum
Sultan Ali , Tengku Alam tidak bersetuju dan berpuas hati, waris tahta Sultan
diberikan oleh ayahanda baginda kepada adindanya yang masih kecil. Penyerahan
Kesang –Muar kepada Maharaja Abu Bakar juga sangat dimusykilkan
dan banyak muslihat. Tengku Alam menganggap ia tidak
sah dan menuntut Maharaja Abu Bakar dan Inggeris mengembalikan semula hak
baginda.
Walaupun
kuasa Temenggong Muar di Segamat telah dimansuhkan, Sultan Abu Bakar dengan
bijaksananya telah berusaha mengambil hati dengan memberi kebenaran menggunakan
terus gelaran Temenggong Muar. Temenggong serta kaum kerabatnya di Segamat
diberi pencen bulanan seumur hidup. Kuasa Temenggong Muar dihadkan setaraf
penghulu tetapi kebanyakan keluarga Temenggong tidak dapat menerimanya dengan
hati yang terbuka . Ini adalah kerana mereka terasa seperti dipaksakan akibat
dari peristiwa Perang Jementah.
Bagi kaum
kerabat Temenggong Muar, kedaulatan dan kuasa Temenggong Muar seolah-olah berdiri sendiri turun
temurun di bawah kedaulatan Sultan Johor Pahang. Mereka tidak menganggap dan
tidak melibatkan diri dengan percaturan politik yang dimainkan oleh Inggeris
bersama Temenggong Johor. Mereka juga menganggap tindakan Temenggong Johor dan
Inggeris telah melanggar adat istiadat kesultanan Melayu bernegara dan beraja.
Mereka lebih suka duduk di bawah kuasa Pahang yang mempunyai pertalian dari
segi kuasa dan juga hubungan darah keturunan. Tetapi pada masa itu Pahang juga
telah mengambil jalan sendiri dan tidak lagi duduk di bawah kuasa Sultan Johor
di Riau mahupun di Singapura.
Setelah
menang dalam perang saudara iaitu Perang Jementah, Maharaja Abu Bakar dengan
segera menguatkan pengaruh baginda dengan membuka Bandar Maharani dan
mendirikan balai-balai polis di sepanjang Sungai Muar, Bukit Kepong, di Pagoh hingga ke Segamat. Baginda memang menyedari Temenggong Muar dan
kaum kerabatnya berkecil hati dengan baginda. Baginda juga mengetahui sebenarnya
kerabat Temenggong Muar juga mempunyai pertalian saudara dengan baginda dari
jalur Bendahara Tun Habib Abdul Majid.
Sehubungan
dengan itu, baginda telah mengambil inisiatif memudik ke hulu melalui sungai
Muar dengan kapal api baginda dan sampai di Segamat. Baginda telah menziarahi
Temenggong dan kaum kerabat beliau. Baginda juga tidak melucutkan gelaran
Temenggong yang dipakai turun temurun kecuali kuasanya dihadkan hanya di
beberapa kampung di Segamat. Untuk mebuktikan bahawa baginda masih mengiktiraf
Temenggong dan kaum kerabatnya sebagai saudara, baginda bercadang mengangkat
anak-anak lelaki Temenggong Muar menjadi pembesar baginda di Johor Bahru.
Malangnya Temenggong Muar tidak mempunyai anak-anak lelaki yang ramai
sebagaimana dikehendaki oleh Sultan Abu Bakar.
Walau
bagaimanapun Sultan telah meninggalkan pesan supaya Dato’ Temenggong menghantar anak atau keturunan beliau ke Johor supaya dididik, dilatih dan
ditempatkan ditempat yang sewajarnya mengikut kepandaian, tahap pendidikan dan
kebolehan. Baginda berpesan supaya menghantar pada bila-bila masa Temenggong
Muar suka tetapi hendaklah anak yang dihantar itu masih kanak-kanak berusia 7
hingga 10 atau 15 tahun, baik perilaku dan cerdik. Jika menghantar anak
yang telah berusia 10 tahun mestilah telah tahu membaca, menulis dan mengira.
Sultan Abu Bakar bijak membuat perancangan kerana anak-anak yang masih kecil mudah dibentuk dan dipengaruhi. Matlamat utama baginda adalah
bagai serampang dua mata. Silaturahim tertaut, permusuhan atau pertelingkahan keluarga
dapat dibentur dan anak-anak itu sendiri menjadi pendokong dan pelaksana dasar
pemerintahan baginda yang dilakukan oleh mereka dengan cekap berikutan
pelajaran yang dibekalkan.
Temenggong
Muar telah menghantar anak saudara beliau, Wan Idris yang pada ketika itu
beusia 10 tahun dan abangnya, Wan Abd Samad berusia 16 tahun pada tahun 1898.
Temenggong Muar tidak dapat menghantar cepat kerana banyak mendengar nasihat
kaum keluarga yang melihat usaha itu sebagai muslihat untuk menundukkan
pengaruh dan kuasa keluarga Temenggong Muar.Beliau lambat mengirimkan
kanak-kanak lelaki dari keturunannya, juga kerana beliau sendiri tidak banyak memiliki anak lelaki. Beliau
dianggap terpaksa menghantar Wan Idris dan abangnya kerana menunai janji kepada
Sultan Abu Bakar. Lebih-lebih lagi Sultan Abu Bakar baru saja mangkat pada tahun 1895.
Sebelum
baginda mangkat, beberapa kali baginda menghantar utusan supaya kerabat
Temenggong Muar menghantar kanak-kanak lelaki, ahli keluarga temenggong bagi
menyambung silaturahim kekeluargaan kerabat Temenggong Muar dengan Kerabat
Temenggong Johor yang kini telah menaiki tahta sultan bagi negeri Johor Dan
Negeri-negeri Jajahannya. Para utusan Sultan Abu Bakar juga sering
melaporkan bahawa Wan Idris dan abangnya adalah kanak-kanak yang cerdik dan aktif dalam
keluarga Temenggong. Pada awalnya, ayahanda Wan Idris iaitu Wan Ibrahim bin Wan
Hussein juga berkeberatan untuk menyerahkan anak-anak lelakinya kepada
Temenggong Muar untuk diserahkan kepada Sultan Johor. Isterinya Wan Zaleha Shahadan
juga tidak merelakannya. Tetapi beliau terpaksa akur memandangkan demi masa
depan anak beliau dan juga kepentingan keluarga bagi menamatkan rasa
ketidakpuasan hati terhadap Sultan Johor.
Wan
Ibrahim, saudara kepada Temenggong Muar dianggap lebih terbuka fikiran kerana
biasa berdagang dan merantau. Beliau acap memberi pandangan dan nasihat kepada
Temenggong Muar. Beliau dapat melihat perubahan dan kemajuan di luar dan dapat
membayangkan masa depan dan nasib anak-anaknya. Beliau juga memujok agar
anak-anaknya pergi, agar dapat melanjutkan pelajaran dan berbakti kepada
Sultan. Beliau terpaksa menerima kenyataan terhadap kedudukan Sultan Abu Bakar
yang bertambah kuat dan berpengaruh. Meskipun terasa pahit jika dilihat dari
segi kejatuhan maruah dan martabat keluarga, beliau percaya bahwa untuk
mendapatkan hak kuasa Temenggong Muar seperti sebelum Perang Jementah adalah
mustahil.
Memandangkan
banyak faedah dan demi masa depan yang baik bagi anak-anaknya berikutan
keikhlasan Sultan Abu Bakar, Wan Ibrahim yang memiliki seramai 9 orang anak dan
ramai antaranya adalah lelaki, telah mengambil inisiatif membantu saudaranya, Temenggong Muar.
Beliau juga berpendapat bahawa, ini adalah peluang yang sangat baik kerana ada niat murni untuk mentautkan semula perhubungan darah
seketurunan antara keturunan Temenggong Muar dengan Sultan Abu Bakar.
Wan
Ibrahim sendiri telah menyiapkan persediaan awal anak-anaknya, sebelum
berangkat ke Johor Bahru. Beliau telah mengajar anak-anaknya belajar membaca,
menulis dan mengira. Beliau juga menghantar anak-anaknya belajar mengaji,
bersilat dan belajar bahasa Inggeris. Wan Idris dan abangnya sangat suka
belajar dan Wan Idris sendiri mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu
persilatan. Ketangkasan beliau dalam ilmu persilatan atau pertahanan diri
secara tradisional ini melebihi dari abang-abang beliau sendiri. Minat beliau
ini telah mendorong dan mempengaruhi beliau menjadi pegawai tentera Pasukan
Timbalan Setia atau Askar Tuanku (JMF) yang cemerlang dan cekap.
Ketika
Wan Idris sampai ke Johor Bahru, beliau telah pun pandai membaca, mengira dan
menulis. Beliau juga boleh menulis rumi dan mengerti sedikit bahasa Inggeris
meskipun ketika itu beliau belum berusia 10 tahun. Ramai pembesar Johor telah menjadikan beliau sebagai anak angkat kerana beliau adalah
kanak-kanak cerdik dan disukai ramai. Di sekolah, beliau adalah murid yang
pintar dan sering dipuji oleh guru-guru Inggeris kerana budikerti yang tinggidan
bersopan santun. Beliau juga sering mendapat markah yang tinggi dalam semua
mata pelajaran.
Semasa di
alam persekolahan di Johor Bahru, beliau juga telah menjadi anak angkat kepada
Sultan Ibrahim. Beliau bersahabat baik dan bercampur bebas dengan putera-putera
sultan dan anak-anak kaum kerabat diraja serta anak-anak pembesar Johor. Beliau
juga telah dididik oleh Dato’ Jaafar Muhamad yang menjadi Menteri dan Penasihat Sultan ketika itu. Beliau juga berkawan rapat dengan
Dato’ Onn anak Dato’ Jaafar Muhamad yang juga menjadi anak angkat kepada Sultan
Ibrahim. Wan Idris lebih tua 7 tahun daripada Dato’Onn. Dato’ Onn telah
dilahirkan pada tahun 1895. Wan Idris telah belajar di Sekolah Melayu Johor Bahru bersama
dengan anak-anak pembesar dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah
Inggeris Bukit Zaharah hingga tahun 1903.
Pada
tahun 1904 beliau telah terpilih mengiringi rombongan Diraja Sultan Ibrahim
berangkat ke England.
Rombongan Diraja Sultan Ibrahim berangkat keEngland bertujuan meneruskan hubungan baik
dengan Baginda Queen yang dipelopori ayahanda baginda, Sultan Abu Bakar.
Rombongan Diraja itu juga bertujuan sebagai memenuhi undangan raja England dan mengiktiraf tahta sultan Johor
yang diwarisi Sultan Ibrahim. Selain itu, adalah untuk membincangkan pembinaan
jalan keretapi di Johor. Sultan Ibrahim juga meneruskan tradisi menghantar
pelajar-pelajar tajaan Sultan Johor belajar di England terutamanya dikota London.
Wan Idris dan Dato’ Onn adalah antara pelajar yang mengiringi putera-putera
Sultan Ibrahim iaitu Tengku Mahkota Ismail, Tengku Abu Bakar Bendahara dan
Tengku Ahmad Temenggong. Mereka belajar di Sulfork England.
Sultan
Ibrahim telah mengadakan majlis kenduri dan doa selamat secara besar-besaran
pada 1 Januari 1904 di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru sempena meraikan rombongan
Diraja yang akan berangkat ke England.
Wan Idris turut serta menjadi orang penting yang diraikan dari kumpulan pelajar
yang akan mengiringi putera-putera Sultan Ibrahim menuntut di England.
Rombongan Sultan berserta pembesar-pembesar Johor telah berangkat dengan kapal
melalui Singapura pada 15 Januari 1904 dan semua pejabat kerajaan diberi cuti
umum sempena menghormati hari keberangkatan Diraja itu.
Pada
tahun 1908, Wan Idris bin Wan Ibrahim telah berangkat pulang ke tanah air
mengiringi Tengku Mahkota yang enggan meneruskan pelajaran berikutan
penghantaran pulang Dato’ Onn oleh pihak Inggeris. Inggeris memberi alasan
bahwa Dato’ Onn dan pengiring putera raja yang lain, tidak sesuai bersekolah
bersama-sama putera-putera raja Johor kerana mereka dianggap orang kebanyakan
manakala tempat di Sulfork England hanya dikhususkan kepada putera-putera
raja saja. Apa yang berlaku sebenarnya ialah Tengku Mahkota Ismail tidak mahu
berjauhan dan berpisah dengan Dato’ Onn dan sahabat-sahabat baginda yang lain.
Mereka adalah kawan sepermainan dan membesar bersama sejak kecil di istana
Johor.
Pihak
Inggeris pula mempunyai agenda tersendiri untuk mempengaruhi putera-putera
bakal menjadi raja. Dato’ Onn didapati terlalu bijak
sehingga ada diantara guru-guru Inggeris di situ tidak menyangka bahawa beliau
adalah anak Melayu. Penguasaan bahasa Inggeris dan Perancisnya amat baik dan
diakui setaraf penutur ibunda. Begitu juga dengan akhlak putera-putera Sultan
Ibrahim yang lain dan juga pelajar-pelajar lain yang mengiring mereka termasuk
Wan Idris. Mereka didapati mempunyai kepintaran melebihi anak-anak pembesar dan
kerabat diraja Inggeris di situ. Kepintaran mereka menonjol adalah wajar kerana
mereka adalah anak-anak Johor yang terpilih. Sekembali mereka ke Johor, Dato’
Onn dan Tengku Mahkota Ismail telah dititah melanjutkan pelajaran di Maktab
Melayu Kuala, Kangsar. Manakala Wan Idris mula berkhidmat sebagai kerani di
Pejabat Setiausaha Kerajaan.
Pada
tahun 1911 beliau telah diserap ke Pasukan Timbalan Setia Johor menjadipegawai
kadet dan kemudian menjadi penolong pemungut hasil dan cukai pada tahun 1915.
Pada tahun 1919 beliau berkhidmat di Segamat dan telah membangunkan makam Dato’
Bendahara Tepok dan Makam Dato’Sagar Diraja yang terdapat di Kampung Lubok Batu, Segamat.
Beliau juga melibatkan diri dalam Pasukan Sukarela Askar Timbalan Setia (JVMF)
dimana saja beliau berkhidmat. Wan Idris sangat dihormati dan sangat
berdisiplin dalam menjalankan tugasnya.
Beliau
juga tidak melupakan saudara-mara dan asal-usulnya di Segamat. Kaum kerabat dan
penduduk Segamat sangat berbangga dengan kewibawaan dan ketokohan Dato’ Wan
Idris. Beliau dianggap benar-benar mewarisi peradapan keturunan bangsawannya,
iaitu darah Temenggong, Bendahara dan juga kerabat Diraja. Beliau juga amat
menitik beratkan keutamaan melanjutkan pelajaran di kalangan keluarga dan juga
penduduk Segamat. Beliau sering pulang dan menziarahi kampung halamannya di
Segamat sepanjang beliau berkhidmat dengan Kerajaan Johor di luar Segamat.
Berikutan dari itu ramai juga tokoh-tokoh terkenal dan cendikiawan lahir dari
Segamat.
Dato’ Wan
Idris juga berpegang kuat kepada agama. Beliau sangat menghormati para ulamak
dan sering mengadakan kenduri tahlil mengingati jasa-jasa mereka yang telah
meninggal dunia di masjid-masjid di Segamat. Beliau juga menggalakkan
pembelajaran agama sistem pondok dibangun di Segamat sebagai alternatif kepada
orang kampong yang tidak mahu atau mampu menghantar anak-anak ke sekolah
kerajaan. Pada tahun 1930, ketika Dato’ Abdullah Esa menjadi Persuruhjaya
Segamat, Dato’ Wan Idris telah meminta agar kubur datuk nenek moyangnya
dipulihara. Beliau amat peka kepada kepentingan sejarah dan asal usul.
Permintaan beliau telah dilaksanakan oleh Dato’ Abdullah. Makam-makam lama
didaftar, ditembok, dibuat bumbung dan pagar.
Ketika
berkhidmat sebagai Persuruhjaya Kastam Muar pada tahun 1920-an, beliau telah
menubuhkan Pasukan Gelap Kastam iaitu satu kumpulan penyiasat dan pengesan
kegiatan penyelupan barang-barang tanpa membayar cukai kepada kerajaan. Pasukan
ini berpakaian awam dan sering melakukan penyamaran. Mereka bukan sahaja
mendapat maklumat daripada orang awam tetapi juga daripada angota-angota kongsi
gelap Melayu dan Cina.
Di Muar,
kongsi gelap Melayu yang bekerjasama dengan kerajaan termasuk Jabatan Polis,
Jabatan Kastam, Pejabat Pemungut hasil dan Cukai dan Pasukan Sukarelawan
Timbalan Setia (JVMF) ialah Pasukan Rimau Muar yang diketuai oleh Mohd Yasin
JMF. Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Daato’ Wan Idris, Orang Kaya
Muar dan pegawai-pegawai kerajaan Muar. Kumpulan Rimau dipercayai ditaja oleh pihak Istana dan
pembesar Johor secara tidak rasmi. Ini adalah kerana Mohd Yasin sendiri adalah
bekas Askar Tuanku (JMF) dan mengenali hampir semua pembesar dan pegawai tinggi
kerajaan secara sulit termasuk Dato’ Wan Idris. Mereka pernah bersama-sama
semasa berada dalam Pasukan Timbalan Setia (JMF).
Mohd
Yasin JMF mengambilalih kepimpinan Rimau Muar dari bapa saudara pupunnya Hj Abd
Kadir bin Yusuf, bekas Askar Tuanku (JMF) dan anak Orang Kaya Yusuf Muar.
Kumpulan Rimau telah ditubuhkan oleh Abdullah Teuko, datuk Mohd Yasin JMF
sebelah ibu pada tahun 1895. Datuk Mohd Yasin sebelah bapa iaitu Hj Mohd Noh
ialah peneroka Bakri dari Bandar hingga ke Batu 5 dan menjadi naib penghulu
Bakri tidak bertauliah dari 1871 hingga 1900. Nenek Mohd Yasin JMF iaitu isteri
Hj Mohd Noh, Tun Zainab bt. Tun Mansor mempunyai pertalian darah dengan Wan
Idris Wan Ibrahim. Bapa Tun Zainab iaitu Tun Mansor adalah kekanda kepada
Sultan Ahmad Pahang dan keluarga ini mempunyai datuk nenek moyang yang sama
iaitu Bendahara Tun Habib Abd. Majid, Dato’ Skudai mahupun Bendahara Tepok.
Sehubungan
dengan itu Wan Idris mendapat kerjasama sepenuhnya dari Mohd Yasin JMF. Malah
kumpulan Rimau menjadi mata dan telinganya. Kumpulan Rimau ialah kongsi gelap
Melayu prokerajaan yang menguasai Bandar Maharani secara tidak rasmi. Kumpulan
Rimau telah dibubarkan oleh Mohd Yasin JMF pada Disember 1947. Pasukan Gelap
Kastam dengan bantuan Kumpulan Rimau, sering berjaya membanteras aktiviti
penyeludupan terutama terhadap getah pada masa itu. Jabatan Kastam dan Pejabat
Pemungut Cukai Muar mencatat rekod yang cemerlang membanteras penyelupan dan
telah memungut hasil yang tinggi sebelum perang hingga perang meletus pada
tahun 1945. Kerajaan berjaya memperoleh hasil yang banyak dari penggunaan
sistem kupon yang diperkenalkan.
Pada
tahun 1930-an, Wan Idris bin Wan Ibrahim bertugas di Johor Bahru. Kecekapan dan
disiplin tenteranya telah mempengaruhi etika beliau bekerja. Di Johor Bahru
beliau ditugaskan sebagai Pemungut Cukai dan Hasil Tanah Johor Bahru. Beliau
telah melaksanakan tugas tersebut dengan baik. Bandar Johor Bahru amat pesat
membangun dan dalam bidang ini beliau dianggap sampai kepada kemuncaknya
apabila beliau dilantik menjadi Pemungut Cukai dan Hasil Tanah Johor pada tahun
1935.
Mengikut
rekod, disepanjang perkhidmnatan beliau ketika berkhidmat di Pejabat Pemungut
Cukai dan Hasil Tanah dari tahun 1910 hingga 1935, hasil perbendaharaan
Kerajaan Negeri Johor meningkat dengan begitu tinggi. Sebagai perbandingan,
pada tahun 1912, pungutan hasil Johor ialah 4,348,642 ringgit, (Empat juta tiga
ratus empat puluh lapan ribu dan enam ratus empat puluh dua ringgit), pada
tahun 1920 pungutan hasil telah meningkat kepada 11,838,776 ringgit (sebelas
juta lapan ratus tiga puluh lapan ribu dan tujuh ratus tujuh puluh enam
ringgit) dan pada tahun 1934, pengutan hasil meningkat dengan perolehan
16,660,594 ringgit (enam belas juta enam ratus enam puluh ribu dan lima ratus
sembilan puluh empat ringgit).
Perbandingan
gaji bulanan berikut dapat membandingkan kuasa beli atau nilai ringgit ketika
itu yang dapat menggambarkan betapa banyak atau besar hasil yang dikutip oleh
kerajaan Johor. Pada tahun 1912, gaji serendah 18 ringgit sebulan dapat
menampung sebuah keluarga untuk menyara hidup selama sebulan. Pada tahun 1920 gaji 30 ringgit dan pada tahun
1934 gaji kakitangan kerajaan serendah 40 ringgit adalah cukup untuk menyara sebuah keluarga yang terdiri
ibu, bapa dan 4 orang anak dengan selesa.
Sehubungan
dengan kejayaan Dato’ Wan Idris yang telah meningkatkan kutipan hasil dan cukai kerajaan, beliau
telah menjadi antara pegawai kanan Sultan Ibrahim yang sangat dikasihi dan
dipercayai oleh baginda. Ini adalah kerana, ketika baginda mengambil teraju
pemerintahan, kedudukan kewangan perbendaharaan dan khazanah negeri Johor
berada di tahap yang amat membimbangkan. Pihak Inggeris sering mengambil
kesempatan menegur keadaan kedudukan kewangan negeri Johor dan menuduh
ketidakcekapan dan berlaku pemborosan. Ini adalah satu daripada helah dan
tekanan Inggeris untuk mencari peluang campur tangan dalam pemerintahan
Kerajaan Negeri Johor.
Pada
hakikatnya, Johor dikaca mata Inggeris adalah sebuah negeri yang kaya. Hasil
buminya dijangka dapat memberi keuntungan yang sangat besar kepada Inggeris
jika mereka dapat menguasainya. Ini disedari oleh Sultan dan pembesar-pembesar
Johor. Sultan telah menunjukkan kekayaan bagindadengan menghadiahkan kerajaan
Ingeris dua skuadron pesawat terbang ketika Perang Dunia Pertama yang bernilai
jutaan paun British. Pada tahun 1935, sekali lagi Sultan Ibrahim menghadiahkan
500,000 paun Inggeris (lima ratus ribu paun) kepada King George
sempena Hari Keputeraan baginda. Wang hadiah Sultan Ibrahim itu telah digunakan
membuat pengkalan tentera laut Inggeris di Singapura.
Kemakmuran
Johor yang kaya ini juga diperlihatkan oleh sultan Johor dengan membina
pelbagai bangunan kerajaan dan juga istana-istana baginda dan kaum kerabat
baginda diseluruh negeri Johor. Bangunan kerajaan yang paling banyak dibina di
seluruh Johor ialah bangunan sekolah. Istana-istana hinggap di setiap daerah
diperbaiki, diperbesar malah ada yang dibina baru. Sultan juga sering berangkat
ke Eropah berserta rombongan keluarga Diraja atau bersama rombongan
pembesar-pembesar baginda. Baginda juga sering keluar negara untuk menyertai
sukan lumba kuda yang sangat diminati baginda. Penasihat kewangan baginda
selain pembesar-pembesar kanan Johor yang lain ialah Dato’ Wan Idris sendiri.
Menjelang
tahun 1920-an hingga awal 1940-an, perbelanjaan dan kemewahan sultan Johor ini
mula mendapat perhatian dan kritikan rakyat Johor sendiri. Antara tokoh yang
sangat berani menegur sultan dalam urusan perbelanjaan kewangan ialah Dato’ Onn
Jaafar dan Dato’ Abd Rahman Mohd Yasin. Terdapat juga penulis-penulis Melayu
menulis ketidakwajaran Sultan Ibrahim menggunakan wang negeri mahupun wang
sendiri kepada perkara yang tidak berfaedah dan pembaziran. Pandangan dan
kritikan dari fikiran anak-anak Melayu yang bersamangat untuk memperbaiki
standard hidup Melayu ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh Sultan Ibrahim.
Beliau hanya mendengar dari Majlis Mesyuarat Negeri dan Majlis Jemaah Menteri
Johor.
Dato’ Wan
Idris adalah tokoh pembesar yang dilihat menyebelahi pendirian Sultan Ibrahim.
Beliau berpendapat, sultan telah menjalankan tanggongjawab baginda dan adalah
hak baginda bagaimana untuk membelanjakan wang milik baginda. Dato’ Onn pernah
mengkritik baginda sultan yang menggunakan tenaga Askar Timbalan Setia dan
tahanan-tahanan penjara berkerja di ladang baginda tetapi Dato’ Wan Idris tetap
mempertahankan tindakan sultan sebagai mengurangkan pembaziran kerana jika
tidak dikerah bekerja mereka tidak berbuat apa-apa manakala mereka diberi gaji
dan sara hidup samada Pasukan Timbalan Setia mahupun banduan di penjara.
Dato’ Wan
Idris pada era sebelum Perang sangat dekat dengan sultan. Ketika Perang Dunia
Kedua dan Johor diperintah Jepun, Dato’ Wan Idris menjadi ADC Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim dan pembesar Johor diberi keistimewaan memerintah mengikut
arahan Jepun kerana baginda pernah menerima Bintang Kehormat Maharaja Jepun,
pangkat satu yang bertaraf kerabat Diraja Maharaja Meiji. Dato’ Wan Idris
selaku pegawai ADC Sultan Ibrahim bertanggongjawab memastikan keselamatan
Sultan Ibrahim. Di bawah beliau, terdapat pegawai-pegawai dari
tentera Jepun yang ditugaskan khas menjaga keperluan Sultan Ibrahim dalam
menjalankan tugas baginda sebagai Sultan kepada rakyat Johor dan juga sebagai
Ketua Suku Peribumi Zon Selatan yang meliputi Tanah Melayu, Singapura dan
Sumatera.
Baginda
Sultan dan Wan Idris berulang alik dari Istana Hinggap di Batu Pahat dan Istana
Seri Pelangi di Pasir Pelangi Johor Bahru. Wan Idris juga juga kerap berurusan
di Singapura bersama sultan kerana Singapura menjadi ibu pejabat Pentadbiran
Tentera Jepun Zon Selatan. Mufti pribadi Sultan ketika Zaman Jepun ialah Kiai
Fadhil Banten. Manakala Menteri Besar Johor ialah Engku Abdul Aziz Engku Abd
Majid. Dato’ Onn ketika itu menjadi pegawai pengawal bekalan makanan Johor di
Johor Bahru.
Selepas
perang tamat pada tahun 1945, Dato’ Wan Idris memohon berkhimat di Segamat,
daerah tumpah darah dan kampong halaman beliau. Permohonan beliau telah
diperkenan oleh Sultan Ibrahim. Beliau telah balik ke Segamat menjawat jawatan
Pegawai Daerah. Tujuan utama Dato’ Wan Idris balik ke Segamat adalah untuk
memulih dan mengembalikan semangat penduduk Segamat khususnya kaum kerabat
beliau kerana Segamat dimasuki tentera Jepun dan menjadi pengkalan tentera
Jepun yang besar sebelum mereka berjaya menawan Singapura.
Ketika di
Segamat, Dato’ Wan Idris berjaya membagun semula Segamat dari segi fizikal
mahupun moral. Beliau berjaya menghidupkan semangat dan keyakinan penduduk
Segamat serta merancakkan semula aktiviti yang berupaya mengeluarkan hasil.
Sumber hasil bumi Segamat ialah pembalakan dan hasil-hasil hutan disamping
hasil-hasil pertanian. Masalah besar penduduk ialah gangguan pengganas komunis.
Dato’Wan Idris telah mempebesarkan Pasukan Sukarela Timbalan Setia (JVMF)
disamping berjaya memohon pelbagai operasi memburu pengganas dan latihan
ketenteraan diada dan dilakukan di hutan Segamat. Meskipun kedudukan Segamat menjadi
pilihan pengganas komunis membuat pengkalan atau pusat ketenteraan mereka,
tetapi pengganas komunis tidak dapat berkuasa mahupun dapat mempengaruhi
pemikiran penduduk Segamat.
Segamat
terus membangun dan berkembang seperti daerah-daerah lain di Johor. Dato’ Wan
Idris sangat bekerja keras dan telah menabur jasa di Segamat tetapi beliau
tidak menceburkan diri dan berminat dengan aktiviti politik. Beliau juga tidak
dapat lama berkhidmat di Segamat. Penduduk Segamat berasa sedih apabila
mendapati Dato’ Wan Idris telah dititah oleh Sultan Ibrahim untuk bertugas di
Batu Pahat menjadi Pegawai Daerah menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang dilantik menjadi Menteri Besar
Johor pada tahun 1946. Mereka terpaksa merelakannya kerana mereka tahu bahawa
Dato’ Wan Idris adalah orang kesayangan dan kepercayaan Sultan Ibrahim.
Di Batu
Pahat ketika itu, semangat perjuangan orang-orang Melayu menuntut pembubaran
Malayan Union adalah sangat hebat. Semua orang Melayu telah bersatu padu
memperjuangkan pemansuhan Malayan Union yang dianggap tidak sah dan biadab
kerana merampas hak orang Melayu dan kedaulatan raja Melayu di tanahair mereka,
Tanah Melayu. Orang Melayu Batu Pahat telah berjaya menubuhkan Pergerakan
Melayu Semenanjung Johor yang diketuai oleh Dato’ Onn bin Jaafar. Pertubuhan
ini berjaya mengadakan beberapa kongres Melayu yang besar pada tahun itu hingga
berjaya menyatupadukan semua pertubuhan Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah
Melayu yang dikenali sebagai UMNO. UMNO telah ditubuhkan dengan rasminya di
Johor Bahru pada 11 Mei 1946.
Ketika
Dato’ Wan Idris dititah sultan berkhidmat di Batu Pahat dan Dato’ Onn dipanggil
ke Johor Bahru menjadi Menteri Besar, terdengar desas-desus Sultan Ibrahim
sebenarnya bercadang menghadkan kegiatan dan populariti Dato’ Onn. Dato’ Wan
Idris pula dijadikan mata dan telinga baginda di Batu Pahat kerana ada antara
mereka yang ekstrim telah mula menuntut merdeka seperti Indonesia.
Mereka menolak kerajaan beraja atau sultan. Hal ini telah dilaporkan oleh Dato’
Wan Idris kepada baginda Sultan dan telah disahkan oleh Dato’ Onn . Dato’ Onn
sangat bijak mengambil kesempatan ini kerana beliau tahu bahawa Sultan Ibrahim
juga sangat berpengaruh dan ditakuti oleh pegawai Inggeris. Pengaduan Sultan
kepada pihak Inggeris telah memberi keuntungan kepada perjuangan UMNO. Ini
adalah kerana pihak Inggeris tidak sanggup berdepan dengan pejuang kemerdekaan
yang menggunakan senjata atau pertumpahan darah sebagaimana berlaku di Indonesia.
Dato’ Wan
Idris telah membuktikan kesetiaannya kepada Sultan dengan melaporkan segala
aktiviti politik yang berlaku di Batu Pahat. Beliau juga menyiasat dan
melaporkan segala titah yang dikehendaki Sultan. Manakala Dato’ Onn pula telah
menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor, menjalankan aktiviti
UMNO. Akhirnya beliau telah ditegur sultan dan pada tahun 1950, Sultan Ibrahim telah mencabar Dato’ Onn supaya mengutamakan
pembangunan negeri Johor daripada hal politik Melayu. Dato’ Onn telah menyahut
cabaran bapa angkatnya dengan meletak jawatan Menteri Besar Johor pada 18 Mei
1950 untuk menumpukan perhatian terhadap aktiviti UMNO menuntut kemerdekaan.
Terdapat
juga maklumat dari beberapa responden bahawa peristiwa ini berlaku adalah hasil
dari salah satu strateji dan jarum suntikan Inggeris untuk melemahkan Dato’ Onn
yang tidak digemari mereka melalui pengaruh Sultan Johor. Mereka juga berusaha
menggunakan pembesar-pembesar kesayangan dan kepercayaan Sultan Ibrahim seperti
percubaan mereka terhadap Dato’ Wan Idris. Inggeris juga cuba menghasut Dato’ Wan Idris supaya
menghalang atau mensabotaj Dato’ Onn tetapi Dato’ Wan Idris tidak memberi
apa-apa respon. Usaha Inggeris ini akhirnya dianggap berjaya juga walaupun
bukan dari bantuan Dato’ Wan Idris, apabila Dato’ Onn yang digeruni Inggeris
kerana kebijaksanaannya diketepikan oleh orang Melayu sendiri. Inggeris sangat faham
strateji mereka menggunakan sentiment emosi orang-orang Melayu sendiri dengan
memperkenalkan YM Tunku Abd Rahman Putra yang dianggap lebih toleren daripada
Dato’ Onn telah berjaya.
Sebelum
peristiwa perletakan jawatan Menteri Besar oleh Dato’ Onn, Dato’ Wan Idris
telah dinaikkan pangkat oleh Sultan Ibrahim sebagai Timbalan Menteri Besar pada
22 Mac 1948. Beliau adalah seorang yang jujur, cekap dan setia kepada Sultan.
Beliau sering dipuji Sultan dihadapan pembesar dan pegawai tinggi kerajaan
Johor. Diwaktu yang sama, Dato’ Wan Idris terus menjalankan tugas beliau
sebagai Persuruhjaya Cukai dan Hasil Tanah Negeri Johor. Beliau telah menganggotai Majlis Mesyuarat Negeri
dan juga menjadi Ahli Majlis Jemaah Menteri Johor. Kedua-dua Majlis ini
dipengerusikan oleh Sultan Johor.
Dato’ Wan
Idris Wan Ibrahim sangat terkenal sebagai seorang pegawai tinggi dan pembesar
negeri Johor yang agak pendiam tetapi sangat bijak mengenal segala masalah dan
bijak mencari jalan penyelesaiannya. Beliau mempunyai karisma kepimpinan yang
tinggi dan ini diakui oleh Dato’ Onn selaku adik angkat beliau. Mereka
sebenarnya amat rapat kerana sama-sama membesar dibawah bumbung yang sama.
Dato’ Onn pernah memujuk abang angkatnya, Dato’ Wan Idris supaya membantu
beliau melaksana dan menjalankan aktiviti politik orang Melayu memperjuangkan
kemerdekaan. Dato’ Wan Idris tidak menyertai Dato’ Onn tetapi beliau
tidak pernah menghalangnya malah diberi galakan, sokongan dan bantuan.
Terdapat
juga maklumat dimana Dato’ Wan Idris sendiri pernah dituduh tidak berjiwa
Melayu. Beliau pernah dituduh memberi nasihat yang salah kepada Sultan kerana
menandatangani penyerahan kuasa kepada Mac Michael. Tetapi dinafikan sendiri oleh Sultan kerana
baginda berpendirian, duduk dibawah naungan Inggeris adalah lebih baik daripada
menuntut merdeka dan bekerajaan sendiri jika belum berkemampuan. Satu perkara
dimana Dato’ Onn amat berterima kahsih kepada Dato’ Wan Idris ialah sokongan
Dato’ Wan Idris dan Tengku Mahkota Ismail sehingga pihak UMNO diberi izin
menggunakan Istana Besar Johor oleh Sultan Ibrahim untuk mengadakan Kongres
Melayu malah perbelanjaan juga dibantu biaya.
Meskipun
kadang-kala Dato’ Onn sering terasa bayang-bayang Dato’ Wan Idris selalu
mengekorinya kerana umum mengetahui bahawa Dato’ Wan Idris adalah mata-mata Sultan Ibrahim, bapa
angkat mereka, Dato’ Onn tidak pernah mengesyaki apa-apa yang berbentuk negatif
dan menghianatinya. Ini adalah kerana Dato’ Onn sebagai adik, juga mengambil
nasihat Dato’ Wan Idris dan menjadikannya sebagai dasar perjuangan iaitu supaya
jangan sampai Melayu menghapuskan kedaulatan raja mereka sendiri. Ini amat
terkesan di sanubari Dato’ Onn kerana mereka mengetahui asal-usul keturunan
mereka.
Setelah
Dato’ Onn meletak jawatan Menteri Besar Johor pada 18 Mei 1950, Dato’ Wan Idris
yang ketika itu sedang menjawat Timbalan Menteri Besar telah dititah Sultan
memangku jawatan Menteri Besar. Beliau telah menjunjung titah menjalankan tugas
Menteri Besar sehingga 20 Februari 1952. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan penuh
didikasi dan mendapat sepenuh kepercayaan dari Sultan Ibrahim. Walaupun begitu,
sultan tetap menghargai jasa Dato’ Onn yang telah menyelamatkan kedaulatan
raja-raja Melayu dan berjaya membubarkan Malayan Union dan menubuh dan
menyatukan persatuan orang-orang Melayu dari seluruh negara yang dikenali
sebagai UMNO. Baginda pada dasarnya mempunyai pandangan yang sama dengan Dato’
Onn iaitu menuntut kemerdekaan apabila telah bersedia menyiapkan segala
keperluan asas terutamanya tenaga professional dan golongan berpelajaran tinggi
serta ahli teknokrat yang mencukupi.
Baginda
telah menerima nasihat Dato’ Onn dan sokongan Dato’ Wan Idris, supaya melantik
Dato’ Syed Abd Kadir bin Syed Mohamed menjadi Menteri Besar Johor. Perlantikan
ini dianggap sangat penting dan unik kerana inilah pertama kalinya, seorang
Menteri Besar bukan dari kalangan kerabat, bukan berasal usul Melayu dan bukan
dari pegawai kanan kelas A1. Tetapi ini telah diterima oleh Sultan kerana Dato’
Onn juga amat bijak membuat strateji agar pemikiran orang Melayu dapat terima
dan berubah.
Saranan
Dato’ Onn kepada Sultan Ibrahim telah disokong kuat oleh Dato’ Wan Idris selaku
pemangku Menteri Besar dan penasihat kepercayaan Sultan. Dato’ Syed Abd Kadir
dari keturunan Arab-Melayu juga dijangka dapat mempengaruhi saudagar dan
jutawan Arab di Tanah Melayu dan di Singapura dan selain itu Dato’ Onn yakin
pengaruhnya terhadap Dato’ Syed Abd Kadir juga dapat memainkan peranan sebagai
Menteri Besar Johor di belakang Dato’ Syed Abd Kadir. Orang Melayu seluruh
Tanah Melayu ketika itu, semuanya sedang bersemangat untuk merdeka dan Negeri
Johor telah dijadikan kunci dan teladan untuk menyusun dan memulakan sebarang
tindakan. Sultan Ibrahim pula merupakan sultan yang
terkanan dan sangat berpengaruh dikalangan raja-raja Melayu. Jika kerajaan
Johor menunjukkan pengecualian dan tidak mengetuai perbincangan dan perjuangan
menuntut kemerdekaan, berkemungkinan besar pihak Inggeris tidak mempedulikan
bantahan rakyat terhadap dasar-dasar penjajahan Inggeris.
Kedudukan
dan pendirian Dato’ Wan Idris yang terlalu setia kepada sultan dijangka
memperlambatkan kejayaan dalam perundingan menuntut kemerdekaan. Di satu pihak
lain pula menganggap Dato’ Wan Idris adalah juga seorang patriot kerana sanggup
berkorban melepaskan jawatan dan kekanannya, tidak mementingkan diri. Dato’ Wan
Idris bersetuju dengan pandangan Dato’ Onn demi untuk kepentingan orang Melayu
bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh Tanah Melayu. Beliau telah melepaskan
tugas memangku jawatan Menteri Besar dan Dato’ Syed Abd Kadir bin Syed Mohamed,
sahabat seperjuangan politik Dato’ Onn telah dilantik oleh Sultan Ibrahim
menjadi Menteri Besar Ke-8 pada 20 Februari 1952 hingga 5 Jun 1955. Ketika itu
Dato’ Syed Abd Kadir sedang menjawat hanya jawatan Setiausaha Pejabat Daerah
Muar dan berada di kumpulan pegawai kerajaan kelas A3. Tetapi tidak menerima
sebarang bantahan kerana peranan dan jasa Dato’ Onn serta titah Sultan Ibrahim.
Apabila
Dato’ Syed Abd Kadir melepaskan jawatan Menteri Besar pada 5 Jun 1955 kerana
persediaan piliharaya Persekutuan Tanah Melayu 1955, Dato’ Wan Idris telah dilantik oleh Sultan Ibrahim menjadi
Menteri Besar Johor Ke-9 . Beliau telah bertugas dari 10 Oktober 1955 hingga 16
Jun 1959. Sebelum itu satu peristiwa bersejarah telah belaku dalam perkembangan
politik Melayu dimana Dato’ Onn Jaafar telah keluar dari UMNO pada tahun 1951.
Beliau bertindak keluar dari UMNO kerana ahli-ahli UMNO tidak bersetuju diatas
saranan beliau untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu.
Secara
otomatik, Dato’ Onn juga terkeluar dari kumpulan merundingkan kemerdekaan yang diketuai beliau. Ahli-ahli
UMNO telah memilih YM Tunku Abd Rahman menggantikan Dato’ Onn yang dituduh
sudah terpengaruh kepada Inggeris kerana termakan budi. Ketika Dato’ Onn sedang
kecewa inilah, Dato’ Wan Idris bersetuju menerima saranan Dato’ Onn agar
memberi laluan kepada Dato’ Syed Abd Kadir menjadi Menteri Besar.
Pada
tahun 1956, Dato’ Wan Idris juga telah memberi laluan kepada timbalannya iaitu
Dato’ Mohd Seth supaya menggantikan beliau mewakili Sultan Johor sebagai wakil
ahli Majlis Raja-raja Melayu dalam Rombongan Membincangkan Kemerdekaan di
London. Dato’ Wan Idris tidak menaruh hati dan dendam meskipun ada
khabar-kahbar mengatakan beliau tidak bersetuju merdeka dan dikhuartiri
berpendirian serupa seperti Sultan Ibrahim yang tidak menyokong kemerdekaan
segera.
Pada
ketika itu beliau telah berusia 68 tahun. Beliau telah memohon Sultan Ibrahim
yang menitahkan beliau mewakili baginda agar menggantikan dengan orang lain. Dato’ Wan Idris telah dengan ikhlas memohon beliau digantikan oleh
Dato’ Mohd Seth atas sebab usia dan kesihatan. Disamping itu beliau juga
memberi alasan yang sangat wajar terhadap keistimewaan Dato’ Mohd Seth yang
boleh dipercayai baginda kerana beliau adalah Timbalan Menteri Besar, pernah
menjadi setiausaha kerajaan Johor dan Dato’ Mohd Seth juga mempunyai hubungan
darah dengan kerabat Diraja, keluarga Dato’ Onn dan juga dengan keluarga Dato’
Abd Rahman Yasin yang menguasai UMNO bersama YM Tunku Abd Rahman. Permohonan
Dato’ Wan Idris ini telah diperkenan oleh Sultan Ibrahim. Persekutuan Tanah
Melayu telah merdeka pada 31 Ogos 1957.
Kesemua
rundingan kemerdekaan telah diwakili oleh Pemangku Sultan Johor iaitu Tengku
Mahkota Johor, YM Tengku Ismail Ibn Sultan Ibrahim. Manakala wakil kuasa
ekserkutif diwakili oleh Dato’ Mohd Seth. Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim telah
menumpukan perhatian beliau terhadap tugas-tugas Menteri Besar Negeri Johor dan
melaksanakan semua amanah Sultan Ibrahim mentadbir negeri ketika baginda tidak
berada di Johor. Sultan sering berada di luar
negeri atas faktor perubatan dan kesihatan. Ini adalah kerana baginda sering
uzor kerana usia tua. Setelah Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957,
kesihatan Sultan Johor yang telah berusia 84 tahun bertambah buruk.
Baginda sering gering dan telah mangkat di London pada 8 Mei 1959.
Berikutan
dari kemangkatan Sultan Ibrahim, Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim telah melepaskan
jawatan beliau sebagai Menteri Besar Johor Ke-9 pada 16 Jun 1959 untuk memberi
laluan kepada penyandang baru mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu
merdeka. Tan Sri Hassan Yunos yang telah menang dalam pilihanraya
Persekutuan telah dilantik menjadi Menteri Besar Johor Ke 10pada 27 Jun 1959
dan berkhidmat sehingga 31 Jan 1967. Beliau merupakan Menteri Besar pertama
pilihan rakyat mengikut sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.
Semenjak
bersara, Dato’ Wan Idris banyak berehat dan mengurus Jemaah Kerabat Diraja
Johor yang dianggotainya. Beliau merupakan ahli berdarah kerabat dan juga
berjiwa rakyat tertua yang aktif sehingga 1965. Pada tahun 1973, Dato’ Wan
Idris Wan Ibrahim telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan diiringi
kesedihan dari seluruh rakyat Johor terutamanya kaum kerabat beliau dan penduduk Segamat. Beliau adalah ikon keluarga Temenggong Muar dari zuriat
Bendahara Tepok dan bendahara Melaka. Beliau telah menunjukkan taat setia yang
begitu berhemah dan tidak pernah menderhaka atau mengambil kesempatan membalas
dendam terhadap perlakuan Sultan Johor ke atas keluarganya.
Dato’ Wan
Idris Wan Ibrahim adalah seorang pembesar Johor yang amat berjasa dan sangat
bijaksana terlahir dari dasar dan perancangan teliti Sultan Abu Bakar dalam
bidang pelajaran. Beliau juga merupakan salah seorang pembesar Johor yang
berjaya membuktikan kebolehan dan kecekapan Melayu mentadbir dan memerintah
negeri secara moden. Kejayaan dan jasa beliau yang terbesar ialah mengawal
perolehan hasil Johor sehingga menjadikan Johor sebagai negeri Melayu yang
terkaya di era perkhidmatan beliau. Beliau sangat dikasihi dan dipercayai oleh
Sultan Ibrahim Johor dan beliau telah menunjukkan ketaatan dan kesetiaan yang
tidak berbelah bahagi hingga ke akhir hayat. Jasa dan bakti beliau telah
dikenang dengan menamakan bangunan sekolah, jalan raya, taman perumahan dan
kampong di Segamat, Batu Pahat dan di Kota Tinggi.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara