Social Icons

Aeronautik bakal ke Batu Pahat


ARKIB : 28/12/2011


SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bersalaman dengan penuntut-penuntut program Aeronautik UTHM di LIMA 2011 di Langkawi, baru-baru ini.

BATU PAHAT 27 Dis. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli melawat gerai pameran Aeronautik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011, baru-baru ini.

Dalam sesi lawatan, itu, baginda diberi penerangan ringkas oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik (JKA), Profesor Ir. Dr. Abas Ab. Wahab bagi mendapatkan gambaran yang lebih dekat berkenaan perkembangan program Aeronautik di UTHM.

Baginda yang juga merupakan Canselor UTHM turut diberi taklimat tentang perancangan pembangunan Kampus Tanjung Labuh, Batu Pahat yang bakal menjadi lokasi utama pengajian aeronautik di universiti ini pada masa akan datang.

Sultan Ibrahim juga meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para penuntut Kejuruteraan Aeronautik UTHM yang turut berada di pameran tersebut.

UTHM juga berbangga apabila ruang pameran universiti itu dikunjungi oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berkesempatan meninjau bahan pameran dan mendapatkan penerangan berhubung perkembangan pengajian Aeronautik di UTHM.

Menurut laman web UTHM, pasukan Aeronautik UTHM telah dijemput oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) untuk menyertai pameran KPTM di LIMA 2011 baru-baru ini.

UTHM mempamerkan tiga program aeronautik yang sedang dan akan dikendalikan oleh UTHM iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Juruterbang Profesional, Penyelenggaraan Pesawat dan Kawalan Trafik Udara) dengan kepujian.

Universiti itu turut mempamerkan model pembangunan kampus Tanjung Labuh, model pesawat terbang dan video korporat aeronautik UTHM.

No comments:

Post a Comment