Social Icons

Tan Sri Othman Saat Perginya Bapa Pembangunan Luar Bandar


UNGKAPAN kalau hendak seribu daya kerap disebut baik semasa berucap kepada khalayak ramai mahupun ketika bermesyuarat dengan pegawai kerajaan. Bagi beliau, halangan utama untuk maju bukan kerana kekurangan peralatan tetapi sifat malas dan suka mencari alasan.

Berpegang pada prinsip itulah, Tan Sri Othman Saat membuka penempatan-penempatan baru menerusi Rancangan Tanah Felda dan Felcra di seluruh Johor sekitar tahun 70an. Berulang kali beliau menjelajah seluruh pelusuk negeri untuk menarik minat anak jati mencuba usaha baru ini. Memang tidak ramai yang berminat kerana untuk membuka penempatan baru, terlalu banyak kerja yang perlu dibuat termasuklah membersihkan hutan belantara yang pasti memenatkan.

Namun menyedari bahawa memajukan negeri ini dan rakyatnya adalah tanggungjawab seorang menteri besar, Othman tidak berputus asa malah meningkatkan usahanya.

Kini, Johor boleh berbangga sebagai antara negeri yang mempunyai kawasan Rancangan Tanah Felda paling besar dengan peneroka yang beribu bilangannya. Ini adalah antara buah tangan Othman sepanjang 15 tahun menerajui Johor.

Usahanya itu amat dihargai sehingga beliau diberi gelaran “Bapa Pembangunan Luar Bandar” di kalangan peneroka Rancangan Felda. Keperihatinan Othman terhadap pembangunan luar Bandar dan Rancangan Felda diakui Dato’ Abdul Ghani Othman, menteri besar sekarang.

“Johor amat beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin yang begitu perihatin dengan kawasan luar bandar. Rancangan Felda yang begitu berjaya adalah hasil usaha beliau,” katanya.

Othman adalah Menteri Besar Johor yang ke-11. Anak pedagang beras di Muar ini dilahirkan di Kampung Tengah, Muar pada 4 April, 1927. Sebaik sahaja menamatkan pengajian di Sekolah Tinggi Arab Al-Attas di Johor Bahru, beliau dihantar ke Mekah untuk meneruskan pelajaran dalam bidang agama. Othman kembali ke tanah air ketika berusia 16 tahun dan terus membantu perniagaan bapanya sambil berjinak-jinak dengan politik setempat.

Kian hari minatnya terhadap politik semakin mendalam yang mendorongnya menyertai Gerakan Nasionalisme Melayu yang aktif sekitar tahun 40an. Jika ramai masih tidak tahu, Othman juga adalah antara yang terawal menyertai Umno apabila parti itu ditubuhkan. Beliau mendaftarkan diri pada 11 Mei, 1946 – hari Umno ditubuhkan.

Sebagai anak muda yang bersemangat tinggi, beliau menggunakan kemudahan yang ada untuk bersama-sama para pemimpin Umno lain membakar semangat orang Melayu menyingkirkan penjajah melalui kekuatan parti. Kesungguhannya bekerja membuka mata pucuk pimpinan Umno yang membuka peluang untuk beliau menganggotai jawatankuasa Umno pada 1952.

Kerjaya politik Othman terus bersinar apabila dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum 1955 bagi Dewan Negeri kawasan Jorak. Beliau memenangi kerusi itu tanpa bertanding dan tiga tahun kemudian, dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan sebagai tanggungjawab pertamanya. Semasa memegang portfolio ini, beliau memperkenalkan skim rumah kos rendah untuk golongan miskin terutama masyarakat Melayu yang jauh ketinggalan dalam arus pembangunan ketika itu.

Ketokohan dan bakat kepimpinan Othman memang tidak dapat dinafikan lagi dan pada 1967, beliau dilantik sebagai menteri besar ketika berusia 43 tahun.

Jika dalam kerajaan beliau tidak suka mencari alasan untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab, beliau dikenali sebagai pemimpin yang Berjaya memantapkan Umno pada semua peringkat. Othman begitu disegani dan dihormati bukan sahaja di kalangan anggota Umno bahkan parti komponan Barisan Nasional.
Beliau meletakkan jawatan pada 1982 dan sejak itu banyak menghabiskan masa bersama keluarga. 

Beberapa tahun kemudian, kesihatan beliau terjejas dan pernah dua kali diserang angina ahmar ringan iaitu pada 2001 dan 2002. Kesihatan beliau tidak pulih sepenuhnya sejak itu dan pada 2 Oktober lepas, kaki kanannya terpaksa dipotong akibat gangren.

Bersemadi...Isteri Allahyarham, Puan Sri Kamariah menabur
bunga di pusara suaminya.
Dua puluh lima hari kemudian, Othman menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7 pagi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada usia 84 tahun. Isterinya, Puan Sri Kamariah Bujang dan anak sulung, Zulkifli, adalah antara anggota keluarga terdekat yang berada di sisi Othman ketika itu. Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail, Speaker Dewan Negeri Dato’ Mohd Ali Hassan dan beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut menziarahi jenazah.

Johor amat terhutang budi dengan Othman. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau di kalangan mereka yang dikasihiNya.  

4 comments: