Social Icons

1900-02-02 PERASMIAN MASJID SULTAN ABU BAKAR, JOHOR BAHRU


Pada hari ini dalam tahun 1900, bersamaan 1 Syawal 1317, Masjid Abu Bakar yang terletak Johor Bharu dibuka dengan rasminya oleh Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. 

Keberangkatan baginda ke upacara yang gilang-gemilang itu didahului dengan tembakan meriam sebanyak 21 das dan disambut oleh Menteri Besar Johor, Dato' Jaafar bin Haji Mohamad.  Masjid ini diberi nama Masjid Abu Bakar mengambil sempena nama Almarhum Sultan Abu Bakar yang telah menitahkan pembinaannya pada tahun 1892 dengan perbelanjaan lebih daripada $400,000. 

Masjid yang dibangunkan di atas sebuah bukit kecil di tepi Selat Tebrau, menghala ke Singapura ini mempunyai empat buah menara yang menyerupai beberapa buah masjid di negara-negara Asia Barat terutamanya di Mesir.

Menaranya berbentuk dua tingkat bulat di atas dan empat persegi di bawah serta berkubah berkeupayaan memuatkan kira-kira 3,000 jemaah.  

Bentuk seni bina bangunan masjid ini telah direka oleh Tuan Haji Mohamed Arif bin Punak di bawah penguasaan jurutera Yang Berbahagia Dato' Yahya bin Awalluddin. 

Sesungguhnya masjid ini merupakan mercu tanda yang membuktikan bahawa jurutera-jurutera Melayu juga berkeupayaan membina bangunan-bangunan besar yang indah dan kukuh seperti di Eropah dan Timur Tengah pada hujung abad ke-19. 

No comments:

Post a Comment