Social Icons

HSA terima sumbangan RM345,000


RAJA Zarith Sofiah menyerahkan mesin bantuan pernafasan atau ventilator kepada HSA sambil diperhatikan oleh Robia Kosai (tiga dari kiri) di Johor Bahru.


JOHOR BAHRU 10 Feb. - Hospital Sultanah Aminah (HSA) menerima peralatan perubatan bernilai RM345,000 hasil sumbangan empat agensi dan syarikat korporat di sini semalam.

Sumbangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Johor Corporation (JCorp), syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dan Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) itu disampaikan oleh Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Pengarah HSA, Dr. Rooshaimi Merican A. Rahim Merican mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak terlibat atas keprihatinan terhadap keperluan hospital tersebut dengan menyalurkan bantuan berkenaan.

Menurutnya, pihak hospital bertuah kerana menerima tiga buah mesin bantuan pernafasan atau ventilator, dua unit syringe pump, komputer dan enam unit troli.

"Kesemua sumbangan ini amat bermakna kepada HSA kerana peralatan berkenaan dapat dimanfaatkan oleh pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), Wad kanak-kanak serta Jabatan Kecemasan dan Trauma," katanya semasa ditemui pada majlis penyerahan sumbangan itu di Dewan Kenangan HSA di sini.

Menurutnya, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat menampung keperluan sedia ada sekali gus memberi bantuan lebih baik kepada pesakit apatah lagi bilang pesakit kian bertambah.

Terdahulu, Tuanku Raja Zarith Sofiah turut melawat dan menyampaikan bungkusan makanan sumbangan Hotel Thistle kepada kira-kira 120 pesakit di Wad Kanak-kanak.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman serta Pengerusi dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim.

No comments:

Post a Comment