Social Icons

MASJID SULTAN ABU BAKAR, JOHOR

             
jbcool-masjidsultanabubakar-1

Masjid Abu Bakar bukan sahaja terkenal kerana seni binanya yang menarik tetapi juga kedudukannya di pinggir Selat Tebrau dan kedewasaan usianya. Walaupun kini usianya telah melebihi 100 tahun namun keaslian bentuk seni binanya tetap tidak berubah dan sentiasa teguh berbanding dengan bangunan Istana Besar yang berhampiran dengannya yang telah pun diubahsuaikan.


jbcool-masjidsultanabubakar-2











Masjid ini mula dibina pada tahun 1893. Upacara perletakan batu asas Masjid Abu Bakar telah disempurnakan pada 1 Muharram 1310 Hijrah bersamaan 26 Julai 1892 Masehi dan siap sepenuhnya pada tahun 1900. Jurutera yang bertanggungjawab ke atas pembinaan masjid ini ialah YB Dato' Yahya Awaluddin. Manakala pelukis pelan dan kerja-kerja pembangunan masjid oleh Tuan Haji Mohamad Arif bin Punak.


Masjid yang menelan belanja sebanyak RM 400,000 ini telah dibuka dengan rasmi oleh DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dan diberi nama Masjid Abu Bakar mengambil sempena nama ayahanda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar yang menitahkan pembinaan masjid ini.


Masjid Abu Bakar ini mula digunakan buat pertama kalinya pada hari Jumaat 1 Syawal 1317 Hijrah bersamaan 2 Februari 1900 Masehi untuk Sembahyang Jumaat. Masjid ini dapat menampung lebih 2500 orang jemaah bagi satu-satu waktu. Masjid yang masih teguh dan digunakan sehingga kini ini mempunyai ciri-ciri rekabentuk masjid-masjid di Asia Barat. 


Masjid Abu Bakar mempunyai menara dua tingkat iaitu bulat di bahagian atas dan empat segi di bahagian bawah serta berkubah.



Empat buah menara berkubah masjid ini juga dihiasi dengan lampu-lampu yang diimport dari Turki serta ukiran-ukiran yang menarik pada tiang-tiangnya khasnya pada mimbar tempat khatib membaca khutbah. 


Manakala batu marmar yang menghiasi masjid juga diimport dari Itali dan tempat bara dari Negeri China. Ukiran-ukiran yang terdapat di masjid ini dikatakan ada persamaannya dengan ukiran-ukiran yang terdapat di Masjid Sultan Hassan, Mesir dan juga Masjid Imam Shafie.

jbcool-masjid-sultan-abu-bakar-3





















Selain itu, ruang beranda juga disediakan untuk pelawat-pelawat yang ingin melihat di sekeliling masjid dan untuk para jemaah beristirehat. 


Bagi tujuan menjaga kebersihan masjid, tempat mengambil wuduk dikhususkan di bahagian bawah masjid. Di sebelah tempat mengambil wuduk ini disediakan satu ambin untuk para pelawat atau musafir beristirehat. 


Satu lagi keistimewaan masjid ini ialah suasananya yang sejuk dan nyaman sepanjang masa walaupun ketika musim panas, ini disebabkan kedudukannya di atas bukit.


Kini masjid yang hampir mencapai usia melebihi 100 tahun ini tetap setia mengabadikan diri kepada penduduk-penduduk bandar Johor Bahru dan sentiasa mengajak orang ramai mengingati Tuhan menerusi azan yang berkumandang dari puncak menaranya pada setiap kali masuknya waktu solat.