Social Icons

IBU TUNGGAL SAKIT BUAH PINGGANG TERIMA RM34,800

TUNKU Temenggong Johor, Tunku Idris Ibrahim berkenan menyampaikan bantuan kepada
Siti Rodziah Amin sempena Kembara Mahkota Johor 2012 di Kampung Kesang Tasek,
Ledang, Johor, baru-baru ini.
 
LEDANG 17 Mei - Seorang ibu tunggal yang miskin dan menghidap penyakit buah pinggang dan tidak mampu menanggung kos rawatan setiap bulan kini mampu menarik nafas lega apabila mendapat sumbangan RM34,800 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Siti Rodziah Amin, 42, menerima sumbangan tersebut sempena jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 yang diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang singgah di Kampung Kesang Tasek di sini kelmarin.

Ibu kepada enam anak itu sebelum ini amat terbeban apabila terpaksa menyediakan RM180 setiap kali menjalani rawatan dialisis iaitu tiga kali seminggu.

"Saya terpaksa menggunakan sebahagian wang bantuan sara hidup pemberian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM450 dan Baitulmal RM400 sebulan untuk rawatan dialisis.

"Kadang-kadang saya terpaksa berhutang dengan pusat hemodialisis kerana tidak cukup wang. Wang sumbangan MAINJ akan digunakan untuk membiayai kos rawatan penyakit buah pinggang saya selama setahun," katanya yang bersyukur dan terharu dengan bantuan tersebut.

Dia yang bergantung hidup dengan wang bantuan JKM dan Baitulmal tidak mempunyai pendapatan atau rumah sendiri dan tinggal di Taman Serom Utama dengan sewa RM250 sebulan.

Bagaimanapun Siti Rodziah yang disahkan menghidap penyakit itu sejak setahun lalu mengakui, ahli keluarganya banyak membantu menghulurkan wang bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Dia berharap dapat sembuh secepat mungkin untuk memberi sepenuh perhatian terhadap anak-anak yang tinggal bersamanya selepas dia bercerai tiga tahun lalu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2012

No comments:

Post a Comment