Social Icons

Teks Pengumuman Kemangkatan oleh Menteri Besar Johor



Innalillahi Wainnalillahi Rajiun

Adalah dengan sangat kedukaan dan kemasyghulan dilafazkan iaitu Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Sultan Johor yang amat dihormati dan dikasihi telah mangkat, berpindah daripada alam fana kealam akhirat yang baka pada jam 7.15 malam hari Jumaat tarikh 22 Januari 2010 bersamaan dengan 6 Safar  1431H di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.

Oleh itu ketahuilah bahawa dengan titah perintah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Pemangku Raja adalah ditentukan perkabungan kerana kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, iaitu mulai hari ini 22 Januari 2010 seperti di bawah ini:

(1) Bendera Negeri diturunkan separuh tiang dan hari berikutnya dinaikkan separuh tiang dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang dan sedimikian selama 7 hari dari tarikh dimakam Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

(2) Segala Bangunan-Bangunan Kerajaan hendaklah dinaikkan Bendera Negeri separuh tiang bagaimana waktu tersebut dalam (1) di atas dan demikian selama 7 hari daripada tarikh dimakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

(3) Segala bentuk hiburan dan permainan hendaklah dibatalkan pada siang dan malam tersebut pada hari memakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

(4) Semua masjid-masjid dan surau surau-surau di dalam Negeri Johor hendaklah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku itu selepas Fardhu Maghrib selama tujuh (7) hari selepas daripada dimakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

(5) Rakyat-rakyat dan penduduk negeri ini hendaklah berkabung dari tarikh ini dan kemudian daripada dimakamkan Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia itu selama tujuh (7) hari.

PERATURAN BERKABUNG
(a) Bagi orang-orang Melayu hendaklah memakai tanda perkabungan kain putih berlilit selilit sahaja, selebar 2 inci pada songkok.

(b) Bagi lain-lain bangsa dan agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.

(c) Bagi mereka-mereka yang berhak memakai uniform dan pada majlis yang tertentu, selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri.

(d) Bagi perempuan Melayu, hendaklah memakai tudung kepala warna putih.

(e) Bagi orang-orang perempuan lain bangsa atau agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri.

Ketahuilah juga bahawa Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, akan disemayamkan di Dewan Besar, Istana Besar,Johor Bahru hari esok di mana rakyat dan orang-orang awam bolehlah mengunjung ziarah bagaimana peraturan dan waktu yang disebutkan di bawah ini:

(a) Mulai pukul 9.00 pagi hingga 10.30 pagi - Untuk orang awam

(b) Mulai pukul 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari - Penghormatan terakhir oleh orang-orang kenamaan

Ketahuilah juga bahawa Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, akan dimakamkan di dalam Makam DiRaja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru pada hari esok pukul 2.00 petang.

Perangkatan Jenazah itu akan bermula daripada Istana Besar pada pukul 1.30 petang.

PAKAIAN DI UPACARA PEMAKAMAN

(a)    Uniform Istiadat yang berhak. Lilitan kain putih 2 inci di songkok.

(b)    Lelaki Melayu- Baju Melayu Teluk Belanga serba hitam, berkabung lilitan kain putih di songkok hitam.

(c)    Lelaki Bukan Melayu- Lounge Suit warna hitam, tali leher hitam, selilit kain hitam 3 inci di lengan kiri.

(d)    Segala Darjah-Darjah dan Pingat-pingat hendaklah dipakai.

Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas Roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan itu.

DATO’ HAJI ABDUL GHANI BIN OTHMAN
Menteri Besar Johor

2 comments:

  1. Salam,

    Kenapa dalam Utusan Malaysia melaporkan Istana Pasir Pelangi sebagai 'Kediaman Rasmi Sultan Johor'? Istana Bukit Serene bukan Istana rasmi untuk Sultan sekarang?

    ReplyDelete
    Replies
    1. istana pasir pelangi adalah kediaman rasmi tengku mahkota johor, tunku ibrahim (sebelum dilantik menjadi sultan bg menggantikan almarhum ayahandanya). s'rang ini, istana bukit serene dan beberapa istana lagi dalam proses baikpulih.

      Delete