Social Icons

Pilih sertai PDRM... Tunku Abdul Jalil pernah menjadi penjaga zoo



ARKIB : 16/10/2012
Oleh AZRAI MOHAMMAD
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN

Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim (berkemeja T hitam) bergambar bersama anggota 
polis pengiring di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, baru-baru ini.

MELIHAT latar belakang dan personalitinya, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim bukanlah calang-calang orang kerana beliau memegang status sebagai anaknda Sultan Johor.

Namun realitinya apabila bersemuka, ternyata beliau ialah seorang yang bersahaja, 'sempoi' tanpa banyak protokol serta mudah mesra.

Maka tidak hairanlah mengapa anak keempat daripada enam adik-beradik ini selesa melalui kehidupan yang 'unik'.

Apa tidaknya, beliau dibesarkan sebagai putera raja, menjadi penjaga zoo dan akhirnya memilih kerjaya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Januari lalu, Tunku Abdul Jalil mencatat sejarah sebagai kerabat diraja Johor pertama yang berkhidmat dalam pasukan polis selepas menamatkan kursus latihan kepolisan selama sembilan bulan sekali gus bergelar Inspektor.

Lebih membanggakan, pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Siri 1/2011 di padang kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak itu, beliau yang berusia 21 tahun diberi tangung jawab mengetuai majlis perbarisan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, dua bulan kemudian, beliau memulakan pula latihan bersama pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM di Hulu Kinta, Perak selama tiga bulan.

Jika ada yang tertanya-tanya mampukah seorang putera raja melalui latihan yang lasak dan keras itu, sebenarnya ia bukan sesuatu yang pelik bagi individu seperti Tunku Abdul Jalil. Beliau sebelum ini pernah bekerja sebagai penjaga zoo di Singapura selama setahun dan di London hampir dua tahun.

Inspektor berkelulusan dalam bidang Zoologi dan Pemuliharaan dari sebuah universiti di United Kingdom itu berkata, cabaran sebenar yang dihadapi beliau ialah berdepan dengan persepsi yang mengatakan kedudukan beliau sebagai anaknda kepada Sultan Johor membolehkannya mendapat layanan istimewa, khususnya ketika menjalankan tugas.

"Saya tidak mahu apabila saya bertegas memberi arahan kepada anggota di bawah, ada pihak yang kata anak Sultan Johor sombong.

"Malah saya sendiri menerima arahan mengikut prosedur daripada pihak atasan ketika menjalankan tugas," katanya ketika ditemui di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru baru-baru ini.

Jelas Tunku Abdul Jalil yang bertugas di bahagian Urusetia Majlis Rasmi di Pulapol, beliau tidak pernah menyesal atau patah semangat memilih kerjaya polis walaupun terpaksa berdepan masalah seperti itu.

"Bila tertekan saya akan bersenam. Bagi saya tekanan itu perkara biasa cuma kita perlu pandai mengatasinya.

"Buat masa ini, saya akan terus bersama PDRM kerana ini adalah minat saya dari kecil. Malah saya juga menganggap ia sebagai pengorbanan bagi membalas jasa anggota UTK termasuk ada yang berkhidmat dengan keluarga kami sejak dari Almarhum nenda saya lagi," ujarnya.

Mengimbau kembali permulaan Tunku Abdul Jalil menceburi PDRM, jelasnya, beliau terpaksa mengambil tempoh beberapa tahun untuk menyatakan hasrat itu kepada ayahanda dan bondanya.

"Apabila kita ingin membuat sesuatu pilihan dalam kehidupan sudah pasti kita akan meminta restu ibu bapa. Begitulah juga saya apabila ingin menceburi kerjaya polis, saya dapatkan restu ayahanda dan bonda terlebih dahulu.

"Bagaimanapun saya terpaksa mengambil tempoh beberapa tahun kerana saya mahu ayahanda dan bonda benar-benar yakin dengan pilihan saya," ujarnya.

Ditanya reaksi Sultan Ibrahim mengenai hasratnya itu, Tunku Abdul Jalil berkata, ayahandanya agak terkejut dengan keputusan beliau itu namun amat positif serta terus memberi kata semangat dan galakan.

"Ayahanda dan bonda tahu saya memang meminati bidang zoologi, jadi sebab itulah baginda agak terkejut apabila saya menyatakan hasrat saya ingin memasuki latihan polis," ujarnya.


Apa yang menarik, pada permulaannya, beliau mahu menyertai kadet konstabel namun atas nasihat serta pandangan beberapa pihak, Tunku Jalil memilih untuk menyertai latihan asas kadet Inspektor.

"Kalau boleh saya mahu bermula dari bawah dan tahu asasnya. Bagaimanapun beberapa orang yang saya kenali telah menasihati agar bermula dengan latihan asas kadet Inspektor," ujarnya.

Sebagai satu-satunya anakanda Sultan Johor yang menyertai polis, Tunku Abdul Jalil berkata, beliau bersama adik-beradik yang lain saling menghormati pilihan kerjaya masing-masing.

"Kami adik-beradik memang mempunyai minat kerjaya masing-masing. Misalnya tiga adik-beradik lelaki saya menyertai tentera, kakak saya pula meminati fesyen, sementara adik lelaki bongsu saya akan sarungkan uniform polis," ujarnya berseloroh.

Dalam pada itu, menurut Tunku Abdul Jalil, jika di imbau kembali sejarah nenek moyang beliau di sebelah bondanya, memang sudah ada yang menyertai pasukan polis iaitu Almarhum Sultan Iskandar Shah dari Perak.

"Baginda pernah berkhidmat dengan polis dan banyak menggalakkan orang Melayu pada zaman British itu untuk menyertai polis, memang sebenarnya nenek moyang pernah mempunyai sejarah bersama polis," ujarnya berbangga.