Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap Presiden PBNJ menyerahkan watikah
perlantikan sebagai pengurus merangkap Ketua Jurulatih Pasukan Johor kepada Fandi Ahmad - Foto Bernama |
NAMA pasukan Johor FA akan ditukarkan kepada Johor United bagi saingan Liga Perdana 2013.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, penukaran nama berkenaan bertujuan mengelakkan sebarang kekeliruan terhadap nama dua pasukan dari selatan tanah air itu.
“Sekarang ini banyak yang keliru tentang nama Johor FC dan Johor FA. Ditambah pula dengan apa-apa lagi spekulasi.
“Oleh itu, pasukan bola sepak yang bermain untuk Liga Super adalah Johor, manakala di Liga Perdana pula adalah Johor United dan bukannya Johor FA (nama lama).
“Saya berharap tidak ada lagi kekeliruan berhubung perkara ini,” titah baginda semalam.
Mengulas lanjut berhubung penukaran nama berkenaan, Tunku Ismail berkata, perkara itu tidak akan menjadi masalah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana ia merupakan sebahagian daripada keputusan di peringkat negeri.