Social Icons

01-01-1866 BANDAR TANJONG PUTERI (JOHOR BAHRU) DIJADIKAN IBU NEGERI JOHOR


TANJUNG Puteri (Johor Bahru) sebelum merdeka.

Pada hari ini dalam tahun 1866, Bandar Tanjong Puteri telah diubah namanya kepada Johor Bahru sebagai ibu negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Johor, iaitu menggantikan Teluk Belanga di Singapura. 

Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor adalah orang yang bertanggungjawab menukar nama Ibu Negeri. Baginda mengambil tindakan itu memandangkan Tanjong Puteri mempunyai kedudukan strategik untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan.  

Maharaja Abu Bakar, yang dikenali sebagai 'Bapa Johor Moden' telah berjaya membangunkan Johor Bharu dengan pesatnya. Corak pentadbiran Baginda Sultan Abu Bakar adalah mengikut cara pentadbiran Inggeris. 

Di bawah pentadbiran baginda, Bandar Tanjong Puteri atau Johor Bahru telah berkembang dengan pesatnya sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan. Sepanjang pemerintahan baginda pejabat-pejabat dan jabatan-jabatan kerajaan mula ditubuhkan. 

Menjelang tahun 1866 Johor Bahru telah mempunyai Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Audit, Mahkamah Besar, Pejabat Percetakan Kerajaan, Jabatan Kerja Raya, Polis, Pejabat Ukur, Pejabat Tanah, Pejabat Pelajaran dan lain-lain.