Social Icons

Lada Hitam dan Gambir tuah kepada Negeri Johor


Di Johor, motif lada hitam dan gambir terdapat di banyak tempat.


Sebagai contoh perhatikan kerawan besi tiang lampu jalan di bandar-bandar di negeri ini. Jelas kelihatan corak awan larat yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan itu.


Di istana motif awan larat daun gambir dan lada hitam dalam warna kuning keemasan terdapat pada permaidani biru di Bilik Singgahsana. Bilik Persemayaman Istana Besar dan ruang istana-istana lain. Motif itu juga menghiasi peralatan jamuan istana termasuk pinggan mangkuk, sudu garpu, cawan dan gelas, serta kulit buku program istiadat.


Di luar istana pula motif itu dilorek sebagai hiasan pada tiang dan dinding bangunan (khursusnya bangunan Kerajaan Negeri), kad jemputan rasmi, kepala surat jabatan-jabatan kerajaan, kulit luar dan muka dalam buku surah Yasin dan jadual solat yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Johor.


Motif itu juga menghiasi permaidani biru di dalam pesawat peribadi Sultan Ibrahim, Masjid Sultan Abu Bakar dan Masjid Pasir Pelangi.


Apa signifikannya lada hitam dan gambir sehingga dijadikan motif pada begitu banyak benda di Johor?


Menurut buku Adat Istiadat Diraja Johor, motif lada hitam dan gambir dipopularkan oleh Sultan Abu Bakar sebagai tanda mengabadikan peranan yang dimainkan oleh kedua-dua tanaman itu dalam memajukan ekonomi negeri Johor.


Dato' Abdul Rahim Ramli
Penulis buku 'Adat Istiadat Diraja Johor'

Dalam buku yang ditulis oleh Dato' Abdul Rahim Ramli itu dinyatakan bahawa dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri moden, Sultan Abu Bakar membawa masuk ramai orang Cina ke negeri ini bagi menjalankan aktiviti pertanian lada hitam dan gambir secara komersial.


Dalam bab 3, "Wawasan Temenggung" halaman 30, dinyatakan bahawa dalam mengusahakan ekonomi berasaskan gambir itu, daun pokok gambir direbus di dalam besar sebaik saja dipetik. Jika tidak, daun itu akan bertukar warna dan tidak boleh digunakan lagi. Setelah hampir kering, baki air ditapis dan direbus lagi sehingga pekat. Tinggalannya kemudian dibuang ke dalam acuan leper dan dibiarkan kering, kemudian dipotong-potong kecil dan dijual.




Pada awalnya gambir dikatakan dalam buku itu diniagakan secara pertukaran dengan beras dari pedagang Jawa, kemudian dengan barangan yang dibawaoleh pedagang Cina seperti beras dan tekstil. Kepingan gambir dibawa ke negeri China untuk melembutkan dan mewarnakan kulit haiwan untuk dijadikan pakaian dan perhiasan.


Buku itu seterusnya menyatakan bahawa gambir mengandungi antigen, iaitu bahab yang boleh mengecutkan kulit dan dijadikan campuran bagi ubat sakit tekak. Sebahagian besar gambir it didagangkan keluar negeri, khasnya ke negara Barat untuk dijadikan bahan perubatan. Sebahagian kecil pula digunakan sebagai bahan ketika makan sirih.


Menurut penulis, lazimnya gambir ditanam bersama-sama lada hitam. Hampas daripada hasil pemprosesan gambir dijadikan baja bagi tanaman lada hitam. Oleh sebab pokok gambir tidak memerlukan perhatian rapi daripada pengusaha ladang, perhatian boleh ditumpukan kepada tanaman lada hitam.


Pada waktu itu, penulis menjelaskan lagi, Johor merupakan pengeluar gambir dan lada hitam terbesar. Oleh sebab itu, ekonomi Johor berkembang maju disebabkan oleh hasil pengeluaran tanaman tersebut.


Hari ini meskipun sudah berlalu, lada hitam dan gambir bukan lagi penting yang menyumbang kepada pendapatan Johor, namun jasanya kepada kerajaan negeri tetap diabadikan.