Social Icons

"Perhatian ibu bapa mampu lahir modal insan hebat" - DYMM Raja Zarith Sofiah


KOTA TINGGI 19 Jan. - Ibu bapa harus memberikan perhatian kepada anak-anak mereka dengan meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang secukupnya agar menepati hasrat melahirkan modal insan yang memacu negara.


Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, kemajuan sesebuah negara terletak pada generasi baru yang akan menggalas tanggungjawab membawa negara ke peringkat yang lebih tinggi.


"Kemajuan sesebuah negara terletak pada pembangunan aset utama iaitu modal insan. Anak-anak kita adalah modal insan untuk masa depan yang sekali gus menjadi pewaris bagi meneruskan agenda negara.


"Sebagai ibu bapa kita haruslah mengenali kekuatan serta kelemahan anak kita dan memupuk potensi mereka supaya menjadi insan yang berilmu serta berkemahiran," titahnya selepas berkenan merasmikan Seminar Kenali Anak Kita Petronas Zon Selatan , dekat sini hari ini.


Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Hamimah Mansor; Naib Presiden dan Pengarah Usahaniaga Kompleks Bersepadu Pengerang, Juniwati Rahmat Hussin dan Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd. Yunus Pathi.


Seminar yang dihadiri 500 peserta dari tiga buah negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan itu dianjurkan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan kerjasama Persatuan Pengasih Malaysia.


Program yang bermula sejak empat tahun lalu itu bertujuan menggalakkan hubungan sihat dalam kalangan ahli keluarga dan melengkapkan ibu bapa dengan kemahiran, maklumat serta pengetahuan bagi mengesan seterusnya menghalang tingkah laku tidak bermoral anak masing-masing.


Titah baginda lagi, ibu bapa seharusnya membimbing anak-anak mereka supaya mempunyai kekuatan dan ketahanan daripada terpengaruh dengan tingkah laku sosial yang memesongkan.


"Anak kita adalah satu amanah yang dikurniakan oleh tuhan. Mereka ibarat kain yang putih kita ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka," titah baginda.


Sementara itu, Juniwati dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah badan korporat yang bertanggungjawab, Petronas sentiasa berusaha meningkatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sekali gus menyumbang ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan masyarakat setempat.


Ujarnya, program berkenaan adalah pendekatan diambil Petronas dan Persatuan Pengasih Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan mencapai sebuah masyarakat bebas dadah menjelang 2015.


"Pembinaan jati diri melalui pendidikan dan keseimbangan sosial adalah mustahak dalam pembentukan sebuah negara dan bangsa," katanya.